Ibadah

Puasa Hari Arafah, Antara Amalan Utama Di Bulan Zulhijah

Oleh Fizah Lee  •  9 Aug 2019  •  4 min baca

Bulan Zulhijah sinonim dengan musim Haji dan ibadah korban. Setiap umat Islam yang diberi peluang untuk menunaikan Haji merupakan suatu nikmat terbesar dalam hidupnya. Orang kata, bukan senang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci.

Panggilan Allah itu merupakan rezeki dan kesempatan yang diberikan bagi menunaikan rukun Islam kelima buat muslim yang mampu.

Malah, kisah Haji pertama yang berlaku dalam sejarah Islam telah dinukilkan di dalam sejarah yang sinonim dengan Haji Wida’ kerana umum mengetahui bahawa ia merupakan haji pertama dan terakhir Rasulullah SAW sebelum wafatnya Baginda.

Manakala, ibadah korban pula akan dilakukan oleh umat Islam bagi menyambut Hari Raya Aidiladha untuk memperingati tulusnya keimanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail terhadap Allah SWT dan tingginya cinta mereka kepadaNya sehinggakan pertalian darah tidak menjadi halangan untuk patuh kepadaNya.

Banyak kisah dan sirah yang tersimpan di sebalik bulan Zulhijah ini seperti yang dinyatakan. Namun, ada satu lagi kisah yang tidak dilupakan umat Islam, iaitu kisah romantis dan pertemuan Nabi Adam dan Hawa di Jabal Rahmah, iaitu di bahagian timur Padang Arafah di Kota Mekah.

Ramai yang percaya bahawa berdoa untuk dijodohkan dengan orang yang baik-baik dan disampaikan jodoh pada masa dan waktu yang tepat di tanah ini pasti akan dikabulkan, kerana di situlah titik pertemuan semula Nabi Adam dan isterinya setelah berpisah bertahun lamanya ketika diturunkan ke bumi.

Malah, golongan yang menunaikan haji ini juga tidak akan melepaskan peluang untuk berdoa kebaikan dan jodoh sama ada untuk dirinya mahupun ahli keluarga sendiri.

Mereka yang menunaikan haji akan berada di sini beberapa di Padang Arafah sebelum Aidiladha untuk wukuf dan berbuat ibadah semampu mereka.

Manakala, bagi mereka yang tidak menunaikan haji, adalah digalakkan untuk berdoa sebanyak-banyaknya pada waktu ini.

Sebenarnya, ada satu lagi amalan yang sentiasa diamalkan oleh Rasulullah, malah diriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah meninggalkan amalan tersebut sehinggalah wafat, iaitu Puasa Hari Arafah.

Puasa ini dilakukan pada 9 Zulhijah setiap tahun dan diharamkan untuk berpuasa pada 10 Zulhijah kerana ia merupakan hari raya Aidiladha dan ia merupakan antara perayaan umat Islam yang perlu disambut.

Pada waktu ini, ia merupakan kemuncak kepada jemaah Haji untuk melaksanakan wukuf di Padang Arafah. Puasa ini bakal jatuh pada hari Sabtu, iaitu 10 Ogos tahun ini.

Ia merupakan sunat muakkad, iaitu sunat yang dituntut untuk dilakukan ke atas setiap muslim. Namun, menurut pandangan golongan ulama’ Syafi’iyah, ia tidak sunat dilakukan ke atas golongan muslim yang sedang mengerjakan ibadah Haji kerana bimbang jika tidak larat atau sehingga mengganggu ibadah mereka di sana.

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلِّهِ تَعَالَى

Maksud: “Sahaja aku berniat puasa sunat hari Arafah kerana Allah Ta’ala.”

Kelebihan Puasa Hari Arafah

Mungkin kita pernah mendegar bahawa, jika berpuasa enam hari pada bulan Syawal, maka kelebihannya ialah diibaratkan seperti mereka yang berpuasa setahun.

Jadi, bagaimana pula dengan kelebihan buat mereka yang berpuasa hari Arafah? Rasulullah SAW ada menceritakan beberapa kelebihan berpuasa yang akan diganjarkan kepada mereka yang mengamalkannya, iaitu:

#1 – Menghapus Dosa

وَسُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ عَرَفَةَ فَقَالَ يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksud: “Rasulullah ditanya mengenai puasa hari Arafah, lalu Baginda bersabda: “Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun yang akan datang.” (Hadis Riwayat Muslim no 1162)

#2 – Amalan Rasulullah

أَرْبَعٌ لَمْ يَكُنْ يَدَعُهُنَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صِيَامَ عَاشُورَاءَ وَالْعَشْرَ وَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْغَدَاةِ

Maksud: “Ada empat perkara yang tidak pernah ditinggalkan Rasulullah, iaitu puasa Asyura, puasa Arafah, puasa tiga hari setiap bulan dan solat dua rakaat sebelum Subuh.” (Hadis Riwayat An-Nasai dan Ahmad n0 6422)

#3 – Amalan Utama Di Bulan Zulhijah

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksud: “Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijah).” Para sahabat bertanya: “Tidak pula jihad di jalan Allah?” Nabi menjawab: “Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya namun tidak ada yang kembali satu pun.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Kesimpulan

Banyak ibadat dan amalan yang diangkat oleh Allah untuk menjadi mulia di sisiNya mempunyai kelebihan yang tersendiri dan nilai yang besar di sisi Allah. Oleh itu, tidak rugi untuk mengamalkannya malah ia memberi seribu satu kebaikan, baik untuk kesihatan rohani dan jasmani sendiri.

Wallahu a’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami