Inspirasi, Kesihatan

Revolusi Sains Perubatan – Doktor Ini Mampu Mendengar Bakteria ‘Berkomunikasi’

Oleh Natirah Azira  •  25 Jul 2019  •  2 min baca

Jika anda ditimpa sakit, preskripsi ubat antibiotik biasanya akan diberikan oleh doktor apabila anda ke klinik. Dan pesanan yang akan singgah di telinga ialah,

“Sila habiskan ubat antibiotik”

Namun terdapat revolusi yang sedang berlaku dalam dunia sains. Dr Fatima Al- Zahra Alatraktchi telah menemui cara untuk mengenal pasti bahaya bakteria.

Ujar beliau, alat yang dicipta mampu mendengar komunikasi yang berlaku antara bakteria pada peringkat awal sebelum ia berkumpul dan menyerang badan.

Bakteria berkomunikasi antara satu sama lain dengan mengeluarkan bahan molekul tertentu. Apabila dikesan adanya pengumpulan molekul tersebut, ia menandakan bahawa bakteria tersebut tidak bersendirian. Langkah sepatutnya dapat dilakukan sebelum jangkitan menjadi lebih teruk.

Ujian biasa mengambil masa yang agak lama untuk mengenal pasti apa yang sedang berlaku dalam badan sebelum diagnosis dikeluarkan.

Namun dengan alat ini, proses uji kaji dapat disingkatkan hingga 30 saat dan diagnosis dapat dikeluarkan serta merta. Seterusnya ubat yang spesifik dapat diberikan kepada pesakit untuk merawat masalah yang berlaku.

Walaubagaimanapun, alat tersebut masih dalam tempoh percubaan. Dikatakan apabila ia sudah diluluskan, ia mampu mendiagnosis banyak penyakit termasuklah jangkitan paru-paru dan juga mereka yang dijangkiti cystic fibrosis. Pengesanan awal penting lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai sistem imunisasi badan yang lemah contohnya pesakit kanser.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh Dr Fatima ke atas 62 orang pesakit yang menghidap cystic fibrosis, beliau mampu mendengar ‘komunikasi bakteria’ pada separuh daripada pesakit sedangkan pada awalnya ujian biasa ke atas mereka menunjukkan diagnosis yang negatif. Ini kerana ujian biasa tidak dapat mendengar apa yang disebutkan Dr Fatima sebagai ‘bisikan bakteria’.

Cara yang baru ini juga dapat mengurangkan masalah kerintangan antibiotik. Ia bermaksud, ubat antibiotik sudah tidak berkesan lagi untuk melawan bakteria kerana mereka telah beradaptasi dan menjadi lebih kuat.

Ia terjadi ekoran preskripsi antibiotik yang tidak perlu ataupun seseorang tidak mengikut jadual pengambilan ubat antibiotik dengan betul. Ia membawa kepada masalah lanjut seperti peningkatan kos rawatan dan juga tempoh masa yang lebih lama diperlukan untuk merawat pesakit di hospital.

Kata Dr Fatima lagi, masalah ini dapat diatasi jika pengamal perubatan tahu apa ancaman bakteria yang ada dan ubat yang khusus untuk merawatnya. Semoga dengan penciptaan kaedah baru ini, rawatan mampu dilakukan dengan lebih cepat dan tepat sekaligus dapat mengatasi masalah rintangan antibiotik yang dilaporkan semakin meningkat oleh World Health Organization (WHO).


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami