Gaya Hidup

Jika Raptai Dunia Penting, Raptai Akhirat Adalah Satu Kemestian

Oleh Abdullah Bukhari  •  15 Jul 2019  •  3 min baca

Berpeluh, gementar, takut, risau dan gelabah. Tidak tahu bagaimana langkah yang harus diatur, bila masanya kepala perlu menunduk hormat, bila masanya tangan perlu dihulurkan dan apa ucapan yang perlu dituturkan setelah anugerah kebesaran disambut tangan. Hati pastinya menyesal seraya berkata:

“Mengapalah aku tidak dipanggil untuk raptai terlebih dahulu?”

Bayangkan bagaimana jadinya jika di saat akhir anda diarahkan menggantikan orang lain menerima anugerah kebesaran dari Yang Dipertuan Agung tanpa raptai?

Jiwa bertambah bergetar apabila diberitahu upacara yang anda hadiri akan disiar terus secara lansung di TV ke seluruh negara. Dalam banyak urusan besar di dunia raptai memang sangat diperlukan bagi mengelak kesilapan yang bakal mengaibkan diri atau melanggar protokol majlis.

Dalam dakwah pun kadangkala perlu ada raptai. Lihat sahaja bagaimana nabi Musa A.S diraptaikan dengan 2 mukjizat besarnya sebelum berhadapan dengan Fir’aun.

Mengapa perlu raptai? Jika tiada raptai, sudah pasti Musa A.S akan bertempiaran lari terlebih dahulu apabila tongkatnya bergeletik bertukar menjadi ular ajaib.

Jika Musa membuka langkah seribu kerana terkejut dengan mukjizatnya, maka cacatlah seruan dakwahnya. Lalu bukan Fir’aun mendapat hidayah, sebaliknya Musa akan diperlecehkan Fir’aun sebagai si kecut perut. Lihat ayat ini:

وَأَنْ أَلْقِ عَصَاكَ ۖ فَلَمَّا رَآهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَانٌّ وَلَّىٰ مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ ۚ يَا مُوسَىٰ أَقْبِلْ وَلَا تَخَفْ ۖ إِنَّكَ مِنَ الْآمِنِينَ
“Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu”. (Ia pun mencampaknya), maka apabila dia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): “Wahai Musa, datanglah kemari dan janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau dari orang yang beroleh aman. Surah al-Qasas 28:31

Bagaimana pula gerak anda apabila menghadapan raja segala raja di padang mahsyar kelak? Sungguh raptai akhirat lebih utama dijalani.

Membaca dan menghayati al-Quran yang sarat dengan berbagai peristiwa akhirat sebenarnya suatu signifikan raptai akhirat bagi orang beriman.

وَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ جَعَلْنَا بَيْنَكَ وَبَيْنَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ حِجَابًا مَسْتُورًا
Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu. Surah al-Isra’ 17:46

Di kala orang yang mengingkari akhirat kegemparan sebangkitnya mereka dari kubur, orang beriman yang selalu membaca serta menghayati al-Quran akan berkata dengan tenang:

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُمْ مِنَ الْأَجْدَاثِ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يَنْسِلُونَ
Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya. Surah Yasin 36:51

قَالُوا يَا وَيْلَنَا مَنْ بَعَثَنَا مِنْ مَرْقَدِنَا ۜ ۗ هَٰذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ
(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): ” Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul! Surah Yasin 36:52

Juga firmanNya:

لَا يَحْزُنُهُمُ الْفَزَعُ الْأَكْبَرُ وَتَتَلَقَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ هَٰذَا يَوْمُكُمُ الَّذِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ
Huru-hara besar yang amat mengerikan (pada hari kiamat) itu tidak merunsingkan mereka, dan (sebaliknya) mereka disambut oleh malaikat-malaikat dengan berkata: “Inilah hari kamu (beroleh kebahagiaan), yang telah dijanjikan kepada kamu (di dunia) dahulu”. Surah al-Anbiya’ 21:103

Sentiasalah kita bersedia untuk menuju ke alam akhirat yang kekal abadi. Letakkan di dalam hati perasaan takut untuk melakukan kesalahan kerana takut-takut saat melakukan maksiat sewaktu itu nyawa kita ditarik Allah S.W.T. Nauzubillah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami