Gaya Hidup

Ya Allah Aku Sedih, Hanya Engkau Tempat Aku Mengadu

Oleh Syafiq Salim  •  10 Jul 2019  •  6 min baca

Manusia adalah merupakan makhluk yang lemah. Lihatlah seorang bayi yang baru dilahirkan. Tidak berdaya untuk makan dan minum bahkan tidak mampu berdiri sepertimana haiwan yang lain.

Lembu, ketika mana baru dilahirkan sudah mampu berdiri. Hakikat ini Allah S.W.T rakamkan dalam firmanNya yang bermaksud:

“… manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.”Surah An-Nisa’ : 28

Kerana sifat lemah kita maka Allah S.W.T mencampakkan sifat kasih sayang dan rahmatNya dalam hati seorang ibu dan ayah, maka anak yang dilahirkan dijaga dan disayangi sehingga kita boleh makan dan minum dengan sendiri, berjalan bahkan berlari.

Tetapi kekuatan serta keyakinan yang ada pada manusia adalah kurniaan Tuhan yang menujukkan kita sebenarnya selama-lamanya makhlukNya yang lemah.

Kerana sifat lemah itulah melahirkan sifat kebengantungan yang mutlak kepada Allah. Hakikat ini tiada siapa yang menafikannya hatta kepada orang yang tidak beragama sekalipun dan itulah sifat fitrah setiap manusia.

Maka lihatlah intipati setiap kesukaran kita hadapi kerana apabila kita melaluinya pasti kita akan berdoa:

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan” Surah Al-Fatihah : 5

Manusia Itu Sifatnya Lupa

Walaupun hakikatnya kita makhluk yang lemah dan kita kerap lupa yang kita ini makhlukNya yang lemah. Maka antara sifat manusia adalah mudah lupa, kerana itu kita disebut sebagai insan, kerana sifat ‘nisyan’ (pelupa) yang telah melekat pada kita sebagaimana Allah S.W.T berfirman tentang bapa kita, Adam AS:

“Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu)….” Surah Thaha : 115

Kerana itu kita selalu lalai dengan nikmat yang dikurniakan bahkan dengan nikmat itu kita berjalan dalam keadaan sombong.

Lihatlah firaun yang diriwayatkan mengaku menjadi Tuhan kerana nikmat kuasa dan kesihatannya dan dia lupa itu merupakan kurniaan Allah S.W.T. FirmanNya:

“Ingatlah, Sesungguhnya manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya)”Surah Al-‘Alaq : 1

Maka Allah S.W.T turunkan kepada kita ujian supaya kita tidak lupa untuk merayu kepadaNya dan supaya kita tahu ada Tuhan yang selalu mendengar rintihan kita.

Sebenarnya ujian yang menimpa kita adalah lambang kasih sayangNya. Ia ibarah seperti seorang ayah yang marah kepada anaknya kerana ingin melihat anaknya menjadi manusia.

Mungkin kita sebagai anak tidak faham terhadap layanan ayah kita kepada kita tetapi apabila telah dewasa maka kita akan nampak mengapa ayah melakukan sesuatu yang kita tidak sukai kepada kita.

Bahkan akan menangis dan mengucapkan terima kasih kerana mendidik kita semasa kecil sehingga menjadi orang yang berjaya. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan marasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar”Surah al-Baqarah : 155

Allah pasti menguji kita agar kita mendapat hadiahNya yang agung dari sifat sabar kita. Tetapi siapa orang yang sabar yang dinyatakan oleh Allah? Allah S.W.T menyambung ayatNya:

“(iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” Surah Al-Baqarah : 156

Iaitu orang meletakkan semua kebenggantugan kepada Allah S.W.T.

Allah S.W.T Dekat Dengan HambaNya

Apabila kita ditimpa dengan musibah dan kedukacitaan, maka yang orang pertama untuk kita sering mengadu adalah orang-orang yang dekat dengan kita. Tetapi kita lupa Allah S.W.T lebih dekat daripada makhluk-makhluk yang lain.

Sesungguhnya kita ada Tuhan yang sentiasa mendengar pengaduan, rintihan serta kesedihan kita. Firman Allah S.W.T:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Surah Al-Baqarah : 186

Maka apa yang berlaku kepada kita walaupun perkara yang kecil dan remeh dimata orang lain mengadulah kepada Allah S.W.T kerana rahmat Allah itu meliputi segala sesuatu perkara dan keadaan.

Ketikamana Ibnu Taimiyyah dimasukkan dalam penjara yang tiada apa-apa nilai bahkan tiada harapan lalu beliau berkata:

“Ketika aku dimasukkan ke dalam penjara dan sesaat kemudian para pengawal mengunci pintunya, aku seperti mendengar firman Allah S.W.T:

“… lalu diadakan di antara mereka dinding yang mempunyai pintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di sebelah luarnya ada seksa.”Surah Al-Hadid : 13

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku” Surah al-Baqarah 2:152

Maka beliau dikalongkan rantai emas yang berharga iaitu ketenangan jiwa walaupun di tempat yang penuh penyeksaan dan kegelapan.

Kasih Sayang Allah Kepada HambaNya

Cinta dan kasih sayang merupakan sifat yang penuh dengan keajaiban bahkan kadang-kala sifatnya misteri. Lihatlah orang yang penuh dengan sifat cinta dan kasih. Pelik dan ajaib.

Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk orang yang dicintai itu walaupun apa yang diberikannya itu belum tentu lagi dibalas. Itu cinta. kita sesama makhlukNya.

Lalu kita katakan itu hebat. Tetapi sifat cinta dan kasih sayang Allah itu lebih hebat. Umar bin Khattab meriwayatkan satu kisah yang agung, katanya:

“Beberapa orang tawanan dihadapkan kepada Rasulullah. Tiba-tiba ada seorang perempuan dalam kalangan tawanan itu tercari-cari anaknya. Setiap kali dia berjumpa seorang bayi, dia mengambilnya lalu didakap dan disusukan. Rasulullah pun berkata, ‘Pada pandangan kamu sekalian, adakah perempuan ini akan mencampakkan anaknya ke dalam neraka?’

Kami menjawab, ‘Demi Allah, Tidak’

Rasulullah berkata lagi. ‘Demi Allah, Allah sayangkan hamba-hambaNya lebih daripada sayangnya perempuan ini kepada anaknya’.”HR Bukhari dan Muslim

Bergantung haraplah kepada Allah S.W.T sepenuhnya kerana Dia sebenar-benar Penjaga yang penuh dengan sifat kasih sayang.

Sesungguhnya sifat terpuji Allah S.W.T tidak boleh kita bayangkan untuk menghitungnya kerana terlalu luas dan tidak terhitung dalam kehidupan kita berapa banyak Allah S.W.T telah mengeluarkan kita dari kesukaran hidup.

Sehinggakan hari ini kita bercerita kembali kisah kesukaran kita kepada orang lain dengan keadaan gembira dan ketawa kerana detik-detik itulah yang menjadikan kita insan yang belajar tentang kehidupan dan menjadikan kita manusia yang bermaruah.

Maka janganlah berasa gusar dan takut untuk menempuhnya kerana itulah kehidupan. Ada naik dan turunnya, ada suka dan dukanya. Tetapi dalam detik-detik itu letakkan pengharapan dan kebengantungan sepenuhnya kepada Allah S.W.T.

Supaya kehidupan kita ini sentiasa tahu ada Tuhan yang sentiasa menjaga kita dan menjadikan kita lebih tenteram kerana Dia tempaNya kita bergantung urusan hidup.

Sekalipun kulukiskan keagunganMu
Dalam goresan
Sebagai tanda kesucian yang utuh di jiwa
Engkau tetap yang teragung
Dan tempat segala yang bermakna.
Ya Tuhan, hanya pada keagunganMu
Segalanya terasa lapang.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Syafiq Salim

Graduan Sarjana (master) Kejuruteraan Pengurusan Pembinaan di UTM, Skudai. Suka melibatkan diri dalam aktiviti luar dan menjadikan penulisan sebagai sebahagian usaha kecil memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami