تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ: لِمَـالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِيْنِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّيْنِ تَرِبَتْ يَدَاكَ.
“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Pasti kita semua pernah mendengar hadis sahih yang sangat popular di atas. Kebanyakan daripada lelaki yang ingin mendirikan rumah tangga dan membuat pilihan untuk berkahwin dengan perempuan pilihannya, pasti akan menjadikan hadis di atas sebagai garis panduan.
Saya juga pernah mendengar, wujud dalam kalangan sahabat-handai yang ingin melangsungkan perkahwinan mengatakan bahawa, jika ingin memilih perempuan untuk dijadikan isteri, maka pilihlah yang kuat agamanya, nescaya kita akan beruntung. Malah, jika perempuan tersebut bukan dari kalangan rupawan atau hartawan sekali pun, maka ia adalah tidak mengapa kerana ia bukan sunnah dan tidak disebut di dalam hadis.
Walau bagaimanapun, apabila ditanyakan kepada golongan tafsir hadis dan mereka yang mahir dalam perkara ini serta melalui beberapa carian yang telah dilakukan, saya mendapati bahawa maksudnya adalah berbeza.
Menurut jumhur ulama’, setiap perkara di dalam hadis tersebut perlu ditekankan dan diambil kira, namun yang paling penting ialah ia perlu berkait dengan agama. Hal ini bermaksud, harta, keturunan dan kecantikannya perlu diselarikan dengan agamanya.
#1 – Harta
Setiap harta yang ada perlu dilihat dari mana sumbernya, sama ada halal atau haram. Jika beliau merupakan seorang hartawan, ke manakah hartanya dibelanjakan, adakah lebih ke arah jalan yang bermanfaat atau tidak.
Di sini, ia bukan bermaksud kita perlu menjadi seorang yang terlebih busybody atau menyibuk dalam urusannya, namun kita perlu berhati-hati dengan setiap pekerjaannya. Perempuan yang baik dan mempunyai tahap keimanan yang kukuh pasti akan menggunakan hartanya ke arah yang baik atau ke jalan agama.
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Mafhum: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Surah Al-Baqara, 2:261)
#2 – Keturunan
Para ulama’ menerangkan maksud keturunan di sini ialah dengan melihat latar belakangnya, siapa ahli keluarganya dan adakah elok kaum kerabatnya. Adakah ahli keluarganya juga ramai, kerana ia boleh menentukan sama ada adakah perempuan itu boleh melahirkan keturunan yang ramai atau tidak.
إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ، أَفَأَتَزَوَّجُهَا، قَالَ: “لَا.” ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ، فَقَالَ: “تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ.”
Maksud: “Sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik tetapi dia seorang yang tidak boleh melahirkan anak. Maka, apakah aku boleh menikahinya? Rasulullah SAW menjawab: “Jangan.” Kemudian, lelaki itu datang buat kali yang kedua, maka baginda juga melarangnya. Lalu lelaki itu datang buat kali yang ketiga, maka Nabi SAW bersabda: “Kahwinilah kamu akan perempuan yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
#3 – Rupa Paras
Jika wanita pilihan kita itu cantik, maka ia adalah anugerah buatnya ditambah lagi cantik hati dan budinya.
Kecantikan wanita tersebut perlu dilihat, adakah dia menggunakannya ke arah kebaikan atau memperagakan diri sendiri ke arah yang tidak baik.
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ
Mafhum: “Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Surah An-Nur, 24:31)
#4 – Agama
Setiap daripada ciri-ciri yang kita letakkan untuk pasangan kita perlulah bersandarkan Islam dan melihat kepada agamanya. Jika baik seseorang itu, maka pastinya harta dan kecantikannya akan digunakan ke jalan yang betul dan akan lahirlah anak-anak yang baik dari rahimnya juga.
Maksud: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Kesimpulan
Islam telah meletakkan beberapa garis panduan yang baik dalam pemilihan kita untuk memilih calon isteri dan membina rumah tangga. Oleh itu, buatlah pilihan yang baik untuk membina masjid yang diberkati Allah sentiasa.
Tidak salah untuk kita memilih wanita yang cantik sebagai isteri jika kecantikannya boleh memberikan ketenangan kepada kita, namun adakah dengan kecantikan tersebut diselarikan melalui agama atau tidak, itu yang perlu dititikberatkan. Wallahu a’lam.

