Gaya Hidup

Bolehkah Menyokong Golongan LGBT

Oleh Fizah Lee  •  17 Jul 2019  •  8 min baca

Jika anda seorang yang selalu mengikuti perjalanan dakwah Ustaz Ebit Lew, pasti anda akan faham apa itu maksud dakwah yang sebenar. Beliau seorang pendakwah muallaf yang telah berjaya menarik ramai anak muda, golongan yang tinggal di lorong dan jalanan serta mereka yang mengalami kecelaruan identiti, iaitu golongan mak nyah atau LGBT.

Saban hari, saya melihat perkongsian beliau dan ia berjaya membuatkan jiwa ini makin tersentuh. Beliau pernah berkata, tujuan dakwahnya hanya satu, iaitu supaya kita dapat berkumpul di tempat yang sama di akhirat nanti, iaitu syurga.

Caranya yang hikmah dan tidak memaksa dalam menyampaikan sesuatu membuatkan ramai anak muda yang mula tertarik dengan beliau. Malah, saya merasakan bahawa kawannya adalah lebih ramai dari kalangan yang didakwahnya.

Orang kata, lebih senang untuk menyampaikan sesuatu jika seseorang itu mula meletakkan kepercayaan dan menganggapnya sebagai kawan. Mungkin itu salah satu cara yang digunakan oleh Ustaz Ebit Lew agar penerimanya mudah untuk menerima jalan dakwahnya.

Saya melihat, walaupun golongan mak nyah atau LGBT ini tidak semuanya kembali ke jalan yang lurus, namun mereka suka untuk bertanya dan meluahkan sesuatu kepada beliau. Malah, Ustaz Ebit Lew sendiri tidak pernah menghukum, namun terus-menerus menyampaikan tanpa pernah kenal erti penat lelah.

Inilah cara dakwah yang sebenar dan inilah sunnah. Malah, jika diamati perjalanan Rasulullah dalam menyampaikan Islam, baginda sangat bijaksana agar tiada mana-mana pihak yang tersinggung serta boleh menerima Islam dengan baik.

Namun, untuk entri kali ini, saya bukanlah ingin menceritakan mengenai cara dakwah yang betul dan bukan juga kisah mengenai Ustaz Ebit Lew, kerana masing-masing punya cara yang tersendiri dalam menyampaikan dakwah yang berkesan. Yang paling penting ialah, sampaikanlah walau hanya satu ayat, walaupun anda bukan golongan ustaz atau ulama’ kerana semua orang adalah khalifahNya.

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

“Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Saya sebenarnya tertarik untuk mengulas mengenai beberapa komen netizen yang bertanyakan bahawa bolehkah kita berkawan dengan golongan LGBT. Persoalan ini timbul apabila melihat video-video dakwah beliau yang memaparkan keakraban dengan golongan tersebut bahkan sehingga memeluk mereka.

Ada sesetengah netizen yang mengeluarkan pendapat dan pandangan sendiri bahawa, golongan LGBT adalah dilaknat Allah, maka kita juga perlu menjauhi mereka. Walau bagaimanapun, ada pendapat lain yang telah disuarakan bahawa, golongan yang tersasar jauh dari Allah tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Kita seharusnya sentiasa menarik tangan mereka dengan menyampaikan kebenaran, walau nampak susah, namun tidak salah berusaha ke arah kebaikan. Sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk melaksanakan kewajipan.

Jadi, adakah sebenarnya dibolehkan untuk berkawan dengan mereka atau menyokong perbuatan mereka seperti membeli produk yang dikeluarkan atau berbuat baik dengan mereka? Apa pula kesan berlakunya LGBT terhadap golongannya sendiri dan masyarakat?

LGBT Telah Lama Dimurkai Allah

Sejarah telah menceritakan bahawa kaum Nabi Luth ialah golongan pertama yang telah diazab dengan ditelan bumi akibat kejahilan mereka dan menolak ajaran yang sebenar. Golongan gay telah wujud seawal abad tersebut dan ia merupakan antara dosa besar sehingga dilaknat Allah dengan hukuman dan azab sedemikian rupa.

Sebelum Allah melaknat kaum ini, Dia telah menghantar seorang nabi dari kalangan mereka untuk menyampaikan wahyuNya. Walau bagaimanapun, golongan ini ingkar kerana terlalu asyik dengan dosa yang dilakukan.

Hal itu menyebabkan para malaikat meminta izin untuk menurunkan bala dan azab kepada mereka dengan cara yang terkutuk, namun Nabi Luth tetap meminta peluang dan ruang untuk beliau terus menyampaikan dakwah.

Walau bagaimanapun, keadaan mereka bertambah teruk apabila mereka ingin mendekati tetamu Nabi Luth, iaitu dua malaikat yang menyamar sebagai lelaki yang kacak dan telah ditumpangkan di rumah beliau.

Kaum Nabi Luth telah bergaduh untuk merebut tetamunya yang kacak itu agar tinggal bersama mereka. Disebabkan keadaan mereka yang semakin memburuk, Allah telah memutuskan untuk menghantar hukuman dan azab kepada mereka. Walau bagaimanapun, Nabi Luth dan beberapa pengikutnya terselamat. Hanya mereka yang ingkar telah dihukum dengan ditelan bumi.

Kisah ini ada diceritakan melalui kalamNya yang berbunyi:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ
إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ
وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan), ingatlah ketika Ia berkata kepada kaumNya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”

Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: “Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.” (Surah Al-A’raf, 7:80-82)

Melalui ayat ini, kita telah mengetahui bahawa kaum Nabi Luth ialah kaum pertama yang telah melakukan dosa ini. Namun, umat Islam pada zaman ini kembali dan menyambung melakukan dosa terkutuk ini dengan lebih dahsyat walaupun telah diceritakan bagaimana pengakhiran kaum Nabi Luth yang ingkar itu.

Mafhum: “Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar.” (Surah Al-Hijr, 15:74)

Mengapa LGBT Dilaknat

Allah telah menjadikan manusia secara berpasang-pasangan, iaitu diciptakan Adam dan Hawa, Siti Zulaikha dan Yusuf serta Nabi Muhammad dan Khadijah. Disimpulkan bahawa fitrah manusia ialah di antara lelaki dan perempuan.

Nabi Adam, meminta kepada Allah agar dihilangkan perasaannya yang bosan berseorangan ketika di dalam syurga dan dengan itulah, wujudnya Siti Hawa. Kita dapat mengetahui secara logiknya bahawa Allah menciptakan manusia adalah untuk melengkapi antara satu sama lain, iaitu wanita diciptakan untuk lelaki.

Jika lelaki diciptakan untuk lelaki, maka tiadalah perbezaan yang diraikan. Yang ada hanyalah persamaan, baik dari segi jantina, perlakuan mahupun hormon. Masing-masing diciptakan dengan kromosom yang berbeza dan fungsi yang berlainan.

Bagaimana umat manusia akan berkembang jika wanita bersama dengan wanita sedangkan kedua-duanya mempunyai rahim yang perlu disenyawakan.

ثَمَانِيَةَ أَزْوَاجٍ ۖ مِّنَ الضَّأْنِ اثْنَيْنِ وَمِنَ الْمَعْزِ اثْنَيْنِ ۗ قُلْ آلذَّكَرَيْنِ حَرَّمَ أَمِ الْأُنثَيَيْنِ أَمَّا اشْتَمَلَتْ عَلَيْهِ أَرْحَامُ الْأُنثَيَيْنِ ۖ نَبِّئُونِي بِعِلْمٍ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksud: “(Binatang ternak itu) delapan ekor – (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Surah Al-An’Am, 6:143)

Malah, kajian saintifik membuktikan bahawa, golongan yang melakukan seks songsang akan lebih mudah dijangkiti bakteria dan penyakit berbahaya seperti AIDS dan HIV.

Di Amerika Syarikat sendiri telah dilaporkan bahawa kadar peningkatan sebanyak 8 peratus setahun sejak daripada tahun 2001 dalam penyakit HIV. Ia sekaligus menjadikan Amerika Syarikat mempunyai kadar jangkitan yang paling tinggi sebanyak 15 peratus dalam kalangan pengamal homoseksualnya.

Jika diamati, penyakit HIV dan AIDS merupakan antara penyakit yang paling berbahaya di dunia dan sehingga kini, kaedah rawatannya masih lagi dalam proses kajian. Walaupun banyak lagi penyakit berbahaya yang boleh timbul dalam kalangan pengamal homoseksual ini.

Oleh itu, kita perlu menghindarkan diri daripada terlibat dalam perbuatan songsang ini kerana ia secara terang-terangan telah dilaknat oleh Allah.

Bolehkah Menyokong Golongan Ini

Jika dilihat dalam negara kita sendiri atau mungkin ada di antara kita yang berkawan dengan golongan ini kerana mereka semakin berkembang dan berani untuk mendedahkan diri sendiri seolah-olah tidak takut dengan hukuman Allah.

Malah, kebanyakan dalam kalangan mereka merupakan antara individu yang terkenal, mempunyai perniagaan yang maju dan disanjung tinggi oleh peminatnya sendiri.

Jadi, sebagai muslim yang berada dalam masyarakat ini, apa reaksi yang wajar diberi dan tindakan yang wajar dilakukan?

Menurut pandangan Mufti Perlis, iaitu Datuk Dr Mohd Ali Zainul Abidin, beliau berkata bahawa golongan yang dilaknat oleh Allah ini seharunya diberi kasih sayang yang berterusan agar mereka menyedari bahawa pintu rahmat Allah sentiasa terbuka dan pintu taubatNya sentiasa ada untuk hambaNya.

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Mafhum: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqara, 2:222)

Walau bagaimanapun, beberapa jumhur ulama’ dan golongan ustaz memberikan pandangan yang berbeza bahawa golongan ini telah dilaknat oleh Allah, maka kita perlu menunjukkan bantahan untuk memerangi golongan ini secara habis-habisan dengan memboikot produk mereka atau tidak menyokong setiap perbuatan mereka. Hal ini adalah bersandarkan kepada ayat al-Quran yang berbunyi:

فَأَنجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ

“Maka Kami selamatkan dia dan keluargaNya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isteriNya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan.” (Surah Al-A’raf, 7:83)

Melalui ayat ini diterangkan bahawa, isteri Nabi Lut juga tidak diselamatkan daripada azab Allah walaupun dia bukanlah seorang yang gay. Hal ini kerana, isteri beliau telah memberi sokongan kepada kaum Nabi Lut yang gay.

Isteri beliau telah membantu dengan membocorkan rahsia bahawa di rumah mereka sedang didiami dua orang lelaki kacak, tanpa diketahuinya bahawa itu adalah dua malaikat yang menyamar menjadi manusia.

Disebabkan itulah, azab Allah bukan sahaja ditimpakan terhadap kaumnya yang gay, malah diberikan kepada penyokongnya juga. Dari segi barangan jualan atau perniagaan, para ulama’ mengatakan bahawa, berusahalah untuk mencari dari jualan orang lain. Sekurang-kurangnya kita telah membantu muslim yang lain.

Malah, ada juga sebahagian ilmuwan yang berpendapat bahawa, jika kita mengikut atau follow mereka di laman sosial seperti Instagram dan sebagainya juga, dikira sebagai sokongan kepada mereka. Wallahu a’lam.

Namun, bagaimana jika golongan LGBT itu seorang yang banyak membuat amal kebaikan atau membantu masyarakat, adakah perlu diboikot juga? Sedangkan, kita tahu bahawa mereka mempunyai hati yang baik.

Dalam hal ini, ia adalah urusannya dengan Allah. Dosa dan pahala itu ditentukan oleh Allah sendiri. Sebagai manusia, kita tidak layak untuk menilai atau menghukum mereka.

Jika kita berkawan rapat atau mempunyai saudara dari kalangan ini, maka teruslah berkawan dengan niat yang baik. Mungkin Allah menghantar kita untuk mengajaknya ke arah kebaikan. Perancangan Allah, tiada siapa yang tahu, bukan?

Kesimpulan

Tidak salah berkawan dengan golongan ini. Malah, jika dirasakan mampu untuk menarik mereka sama-sama ke syurga, maka teruslah berdakwah. Semoga usaha murni ini akan dikira sebagai saham di akhirat kelak.

Sumber: Hadis Berkaitan LGBT


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami