Apabila tiada persefahaman dalam rumah tangga, maka kebanyakan pasangan akan memilih jalan penceraian. Ia merupakan pilihan terakhir dalam sesebuah rumah tangga. Malah, Malaysia pernah digelar sebagai negara janda dan duda disebabkan kajian yang menunjukkan bahawa terlalu banyak penceraian yang berlaku.
Sebuah statistik yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah pada Januari sehingga Ogos tahun 2015 menunjukkan bahawa 38,035 pasangan telah bercerai. Secara purata, sebanyak 156 pasangan Islam yang telah bercerai setiap hari di negara kita.
Menurut Jabatan Kehakiman Syariah ini, rata-rata penceraian berlaku dalam kalangan mereka yang berkahwin pada usia muda dengan usia perkahwinan yang tidak capai lima tahun. Antara faktor lain juga ialah tanggungjawab yang diabaikan, wujudnya campur tangan keluarga dan masalah kewangan.
Malah, baru-baru ini media tempatan telah melaporkan lebih daripada tiga kes pasangan artis Malaysia yang telah bercerai. Hal ini sungguh menyedihkan umat Islam, kerana ia ibarat meruntuhkan masjid yang telah dibina.
Malah, Islam tidak menggalakkan penceraian dilakukan. Selagi setiap permasalahan itu boleh diselesaikan dengan cara yang lebih baik, maka kita perlu berusaha untuk menjaga masjid kita, bukan meruntuhkannya.
Kita juga sering mendengar orang tua-tua berkata bahawa penceraian itu ialah suatu benda yang dibenci oleh Islam. Malah, berdasarkan sebuah hadis yang telah diriwatkan oleh Abdullah Ibn Umar, iaitu:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلَاقُ
“Halal yang paling dibenci Allah ialah thalak.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Penceraian juga merupakan salah satu agenda besar syaitan dan kaumnya untuk menghentikan keturunan dan cucu-cicit Nabi Adam. Ia juga disebut melalui hadis Jabir bin Abdillah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi:
إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً يَجِىءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا فَيَقُولُ مَا صَنَعْتَ شَيْئًا قَالَ ثُمَّ يَجِىءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ – قَالَ – فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ نِعْمَ أَنْتَ
Maksud: “Sesungguhnya singgahsana Iblis berada di atas laut. Dia mengutus para pasukannya. Syaitan yang paling dekat kedudukannya adalah yang paling besar godaannya. Di atara mereka ada yang melaporkan: “Aku telah melakukan godaan ini.” Iblis menjawab: “Aku belum melakukan apa-apa.” Kemudian datang lagi syaitan lain memberitahu: “Aku telah menggoda seseorang sehingga dia telah berpisah (talak) dengan isterinya.” Kemudian Iblis telah mengajak untuk duduk dekat dengannya dan berkata: “Sebaik-baik syaitan adalah kamu.” (Hadis Riwayat Muslim – Status hadis sahih)
Jika anak-anak anda atau ibu bapa anda tiba-tiba membuat keputusan untuk bercerai, apa reaksi dan perbuatan yang perlu anda tonjolkan? Adakah menyokong perbuatan tersebut atau membantu menyelesaikan isu rumah tangga mereka?
Sebenarnya, dalam hal-hal yang berlaku seperti ini, orang terdekatlah yang lebih memainkan peranan. Ia bukanlah bermaksud kita boleh sesuka hati mencampuri urusan rumah tangga mereka, namun kita boleh menjalankan tugas dan tanggungjawab kita sebagai kawan atau anak dengan baik.
Yang paling penting pada waktu itu ialah membantu mereka mengawal emosi dengan baik dan tidak hanyut dengan kesedihan. Hal ini kerana, mereka sudah mengalami banyak tekanan daripada pasangan masing-masing.
Penceraian bukan dilakukan secara suka-suka malah disebabkan oleh alasan tertentu. Oleh itu, sebagai orang yang terdekat terutamanya anak-anak sendiri, kita tidak boleh senang-senang menghukum dan menilai situasi itu dengan mata kasar sendiri.
Sebenarnya kefahaman merupakan sebuah komunikasi terbaik dalam setiap perkara. Manusia perlukan toleransi dan tolak ansur dalam setiap perhubungan. Apabila terjadinya suatu masalah, orang yang rapat di sisi mereka perlu menjadi pendengar yang baik dan memberi kata-kata semangat dengan cara yang baik, bukannya dengan menghukum mereka.
Kejadian seperti inilah yang akan menyebabkan terjadinya perkara yang tidak diingini seperti bunuh diri atau mengalami tekanan yang melampau.
Anak-anak sebenarnya memainkan peranan yang besar kerana mereka merupakan permasalahan utama selepas penceraian. Pasangan yang bercerai perlu memikirkan hak penjagaan anak-anak dan bagaimana cara untuk sara hidup mereka terutamanya kanak-kanak yang masih di bawah umur.
Bagi anak-anak yang telah menginjak umur dewasa dan matang, mereka tidak boleh terlalu manja dan mementingkan diri sendiri dengan menghalang penceraian tersebut dengan terlalu keras seperti mengugut untuk lari dari rumah atau bunuh diri jika mereka mengambil keputusan ini.
Dalam hal ini, anak-anak perlu sentiasa tenang, jika ada masa yang sesuai cubalah untuk bercakap dengan mereka secara baik tanpa meninggikan suara dan sebagainya.
Hal ini kerana, kita sebagai anak-anak tidak pernah boleh faham apa isi hati sebenar orang dewasa. Walau setinggi mana kematangan kita, ia masih lagi tidak boleh mengukur keputusan yang telah dibuat.
Walaupun kehidupan kita akan terjejas selepas itu tanpa kasih sayang yang cukup, namun berusahalah untuk berdamai dengan kedua belah pihak. Bak kata orang tua, walaupun suami isteri itu berpisah, namun darah yang mengalir tidak akan pernah terputus.
Suka untuk penulis mengambil kisah keluarga besar Norman Hakim dan Abby Abadi sebagai sumber inspirasi dalam hal ini.
Walaupun penceraian mereka pada suatu ketika menjadi bahan mulut yang agak besar buat netizen pada suatu masa dulu, namun kini mereka telah menjadi sumber inspirasi buat keluarga yang bercerai. Pendamaian mereka sehingga mewujudkan sebuah keluarga besar membuktikan bahawa tidak semestinya penceraian perlu diikuti dengan perasaan benci dan amarah buat selama-lamanya.
Keluarga dan anak-anak sebenarnya yang menjadi sumber kekuatan dan tertautnya kembali jalinan mesra di antara mereka.
Walaupun masing-masing sudah mempunyai keluarga baru, namun tanggungjawab dan kasih-sayang terhadap anak-anak tidak pernah diabaikan. Hal ini juga menyebabkan sesebuah pasangan itu boleh menjadi harmoni walau selepas bercerai.
Jodoh, rezeki, ajal dan maut semuanya adalah ketentuan tuhan. Malah, ia semua telah ditulis dan ditetapkan oleh Allah sejak dari azali lagi, iaitu apabila kita telah mencapai usia empat bulan dalam kandungan.
حَدَثَنَا رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم، وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوْقِ :إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا. ثُمَّ يَكُوْنُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ. ثُمَّ يَكُوْنُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ. ثُمَّ يُرْسِلُ الْمَلَكَ فَيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ. وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكُتُبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ. فَوَالَّذِي لاَ إِلَهَ غَيْرُهُ! إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلاَّ ذِرَاعٌ. فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ. فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ. فَيَدْخُلُهَا. وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ. حَتَّى مَا يَكُوْنُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إَلاَّ ذِرَاعٌ. فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ. فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ. فَيَدْخُلُهُا
Maksud: “Sesungguhnya setiap dari kamu mengalami proses penciptaan dalam perut ibunya selama empat puluh hari sebagai nutfah. Kemudian menjadi segumpal darah dan kemudian ia menjadi segumpal daging. Selanjutnya Allah mengutus malaikat untuk meniupkan roh ke dalamnya da diperintahkan untuk menulis empat perkara, iaitu rezeki, ajal, amal dan adakah ia yang bahagia atau sengsara.
Demi zat yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya salah seorang dari kamu telah melakukan amalan penghuni syurga sampai ketika jarak antara dia dan syurga tinggal hanya sehasta sahaja namun kerana sudah didahului takdir sehingga ia melakukan perbuatan ahli neraka maka masuklah ia ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Abdullah Ibn Mas’ud)
Jika penceraian dirasakan sebagai sebuah jalan penyelesaian yang perlu diambil, maka ia perlulah dilakukan dalam cara yang elok agar tidak menimbulkan persengketaan lain seperti musnahnya kehidupan anak-anak akibat kurangnya kasih-sayang ibu bapa.
Namun, jika masih wujud jalan penyelesaian lain, maka pasangan tersebut perlulah dilakukan dengan cara elok agar dapat mengekalkan keharmonian rumah tangga dan kedua-dua belah pihak.
Hal ini juga ada disebut melalui kalam Allah yang berbunyi:
وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّـهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
Mafhum: “Dan jika kamu bimbang akan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah ‘orang tengah’ (untuk mendamaikan mereka), iaitu seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua ‘orang tengah’ itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui lagi amat mendalam pengetahuanNya. (Surah An-Nisa, 4:35)
Rujukan: Mufti Wilayah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.