Keluarga

Media Sosial : Terbukanya Aib Keluarga

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  18 Jun 2019  •  3 min baca

Ketika menetap di Melbourne lebih kurang 20 tahun lalu, saluran TV di sana banyak menyiarkan rancangan ‘talk show’ dari Amerika Syarikat. Di antara rancangan yang masih saya ingat adalah ‘The Ricki Lake Show’, ‘The Montel Williams Show’ dan juga ‘The Jerry Springer Show’.

Ketiga-tiga rancangan ‘talk show’ ini banyak membincangkan isu perhubungan, kekeluargaan, keibubapaan dan juga persahabatan.

Namun antara ketiga-tiganya, saya menonton ‘The Jerry Springer Show’ hanya sekali dua sahaja sepanjang 3 tahun menetap di sana kerana format rancangannya sangat tidak menyenangkan saya.

Dalam rancangan ‘The Jerry Springer Show’, seorang tetamu yang mempunyai masalah berkaitan topik yang hendak dibincangkan dijemput ke set untuk diwawancara oleh Jerry di hadapan penonton.

Ketika perbincangan sedang rancak berlangsung, seorang lagi tetamu muncul secara mengejut. Tetamu kedua ini adalah individu yang mempunyai konflik dengan tetamu yang pertama tadi.

Contohnya jika tetamu pertama adalah ibu saudara yang mempunyai masalah dengan anak saudaranya, tetamu kedua yang muncul secara mengejut itu adalah anak saudara tersebut.

Bayangkan betapa kecohnya set rancangan tersebut apabila kedua-duanya bertelingkah, bergaduh, terjerit pekik hinggakan ada yang bergomol, tarik rambut hingga tertanggal rambut palsu, tarik baju hingga terkoyak di hadapan penonton. 

Peranan Jerry sebagai pengemudi adalah lebih sebagai seorang yang melakukan provokasi berbanding menjadi seorang yang mendamaikan. Penonton pula seumpama batu api bersorak, bertepuk, dan turut sama mencerca pihak yang tidak disukai mereka.

Selalunya masalah perhubungan yang dihadapi antara kedua-dua pihak ataupun mungkin tiga empat pihak yang dijemput ke set, tidak berakhir dengan perdamaian sebaliknya berakhir dengan persengketaan yang lebih buruk dan terputusnya hubungan.

Rancangan ‘The Jerry Springer Show’ ini sering mendapat kecaman dari badan-badan seperti American Family Association, Parents Television Council dan juga Independent Television Commision UK kerana memaparkan budaya yang tidak sihat untuk ditonton ramai terutamanya kanak-kanak.

Apabila menonton rancangan tersebut, apa yang terdetik di fikiran saya adalah betapa hancurnya kelompok masyarakat yang merelakan dan membiarkan masalah sesama ahli keluarga ataupun sesama rakan dipamerkan, dihebah dan diadili oleh orang asing (penonton) di kaca televisyen dan dipergunakan oleh media untuk meraih ‘rating’.

Pada masa itu juga saya bersyukur kerana amalan yang sedemikian tidak ada di Malaysia. Kita masih kekal menjaga adab yang menggalakkan kita berbincang secara tertutup ataupun menggunakan orang tengah yang dipercayai untuk menyelesaikan konflik yang dialami.

Kita digalakkan untuk menjaga aib dan maruah keluarga dan tidak membuka pekung di dada untuk diketahui umum. Namun, itu kisah 20 tahun lalu. 

20 tahun lalu kita masih cuba memelihara adab. Walau bagaimanapun dengan adanya media sosial sekarang, adab itu semakin lama semakin terhakis.

Kita membiarkan diri kita menjadi seperti tetamu dalam ‘The Jerry Springer Show’ dengan menghebahkan konflik, masalah dan ketidakpuasan hati terhadap ahli keluarga di media sosial untuk tatapan umum dengan ‘public setting’.

Dengan berbuat demikian, kita juga merelakan netizen atau orang asing seumpama penonton rancangan ‘The Jerry Springer Show’ untuk bersorak, ‘membawang’ dan mengecam kita dan ahli keluarga kita tanpa mengetahui duduk perkara yang sebenar.

Kita menjadi semakin galak berkongsi apabila ada yang menjadi batu api menyokong kita. Adakah konflik keluarga akan selesai dengan cara begini?
Tidak sama sekali.

Sebagaimana The Jerry Springer Show, perhubungan di antara ayah dan anak atau ibu dan anak ataupun ibu saudara dan anak saudara boleh menjadi semakin dingin kerana langkah yang salah ini.

Institusi keluarga yang seharusnya kita tatang seumpama minyak yang penuh akan hancur jika amalan membuka pekung di dada di media sosial ini berterusan. 

Jangan menjadi hamba media sosial dan mengorbankan maruah keluarga untuk meraih ‘like’, ‘follower’ ataupun populariti. Orang yang lebih tua tunjukkanlah teladan yang baik kepada yang lebih muda.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami