Site icon Tazkirah

Sambutan Hari Bapa, Adat Atau Perayaan

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Mafhum: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharannmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ha” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-Isra’, 17:23)

Hari bapa telah disambut oleh rakyat Malaysia pada tanggal 16 Jun setiap tahun selepas hampir sebulan sambutan hari ibu dilakukan. Tarikh sambutan hari bapa disambut secara berbeza oleh setiap negara bermula pada awal sehingga akhir Jun.

Di Malaysia, sambutan ini telah disambut secara sederhana oleh setiap rakyatnya, malah banyak iklan di televisyen dan juga radio yang mengutarakan penghargaan kepada golongan bapa.

Namun, sejak awal lagi, ramai yang mempertikaikan hukum sambutan hari bapa ini, ada di kalangan kita yang mengatakan bahawa hukumnya haram kerana mengikut sejarah dan sambutan orang Barat namun ada juga yang mengatakan bahawa hukumnya harus selagi tidak melanggar batasan syariat.

Jadi, apa hukum yang sebenar? Adakah berdosa sekiranya menyambut hari bapa ini? Bagaimana pula cara yang betul untuk menghargai bapa jikalau bukan melalui perayaan hari bapa ini?

Dari Mana Datangnya Sambutan Hari Bapa

Berdasarkan firman Allah melalui ayat yang telah dinyatakan di atas, kita diwajibkan untuk berbuat baik kepada ibu dan bapa pada setiap masa. Sebagai anak yang telah dilahirkan dan dibesarkan oleh mereka dengan penuh pengorbanan dan kasih sayang, kita tidak boleh berkira walau sedikit pun terhadap mereka apatah lagi ingkar akan arahan mereka walaupun dengan hanya berkata dan menyebut ‘Ah’.

Pasti kita semua takut untuk membawa gelaran sebagai anak derhaka. Hal ini kerana, restu dan rahmat Allah adalah bergantung kepada kedua ibu bapa. Tanpa restu dan doa ibu bapa, kemanalah kita. Pernah kan anda mendengar perumpamaan tersebut?

Malah, ramai di antara kita yang telah berkongsi sedikit sebanyak kisah mereka di laman sosial berkenaan berkatnya doa ibu bapa yang telah mengangkat dan membawa mereka sehingga ke hari ini. Kita perlu menghargai ibu bapa kita dengan menunjukkan tatasusila yang baik serta sepenuh kasih sayang terhadap mereka.

Oleh disebabkan itulah, wujudnya istilah hari ibu dan hari bapa untuk menunjukkan penghargaan kecil kepada mereka.

Umum mengetahui, sambutan hari ibu mula disambut di Amerika Syarikat pada tahun 1907 oleh Anna Jervis dari Philadelphia dan disambut secara rasmi oleh Rakyat Amerika yang telah dirasmikan oleh Presiden Woodrow Wilson pada tahun 1914. Ia telah disambut secara berterusan pada setiap minggu kedua hari Ahad dalam bulan Mei.

Bagaimana pula dengan hari bapa? Ada beberapa perbezaan sejarah yang telah dinyatakan. Namun, umum mengatakan bahawa ia telah diilhamkan oleh Puan Grace Golden Clayton bagi mengingati sejarah 210 orang bapa yang telah meninggal akibat pengeboman lombong di Monongah, West virgina pada 6 Disember 1907.

Ia kemudiannya telah disambut secara rasmi pada setiap minggu ketiga hari Ahad dalam bulan Jun bermula tahun 1972 dan dengan tarikh yang berbeza bergantung pada setiap negara. Sambutan ini telah diumumkan oleh Presiden Richard Nixon.

Malaysia kemudiannya mengambil ia sebagai sebuah adat untuk menghormati dan menghargai pengorbanan bapa yang sering dilupakan.

Jika diamati, kita lebih mengingati dan mengenangkan besarnya jasa seorang ibu sejak awal kita berada di alam rahimnya sehinggalah kita telah dilahirkan. Namun, pernahkah kita berfikir mengenai jasa dan pengorbanan bapa yang berkorban membanting tulang untuk kelangsungan hidup tanggungannya.

Seorang ayah itu mulutnya di hati, ia memendam segalanya sendiri, manakala seorang ibu itu hatinya di mulut, ia memberitahu segalanya.

Perumpamaan di atas membuktikan bahawa seorang ayah sedikit sekali memberitahu atau meluahkan apa yang dialami, namun dia akan berusaha untuk menyelesaikannya sendiri supaya beban yang ditanggungnya tidak dirasakan oleh orang lain.

Oleh itu, wajarlah jika kita mengambil sehari untuk menyambut hari bapa sebagai bukti kasih sayang. Namun, ia bukan disambut sebagai perayaan namun hanya sebagai adat sahaja.

Seperti yang sedia maklum, perayaan yang wajib disambut oleh umat Islam hanyalah dua, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sahaja. Selain daripada itu, ia tidak wajib disambut dan tidak boleh dilakukan secara berlebih-lebih.

Hukum Sambutan Hari Bapa

Berdasarkan jumhur ulama’, harus hukumnya menyambut sambutan ini, namun dengan syarat tidak melampau dan melebih-lebih dalam sambutan yang dilakukan. Ia juga perlu disambut hanya sekadar adat sahaja dan bukan sebagai perayaan.

Malah, ada sebahagian ulama’ yang berpendapat bahawa untuk tujuan memberi penghormatan tambahan kepada bapa, maka ia adalah disyorkan. Namun, perlu dielakkan daripada hanya menghormati bapa secara berkala sahaja.

Hal ini bermaksud, jangan hanya menghormati dan menyayangi bapa hanya pada hari tersebut sahaja, namun pada hari biasa kita melupakan mereka dan hilang hormat padanya.

Walaupun kedudukan ibu adalah lebih utama berdasarkan beberapa dalil dan hadis yang dinyatakan, namun kita juga wajib menghormati bapa dan tidak boleh melupakannya. Ini kerana, kedua ibu bapa merupakan salah satu pintu syurga kita.

Ini adalah berdasarkan hadis yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW:

الوالِدُ أوسطُ أبوابِ الجنَّةِ، فإنَّ شئتَ فأضِع ذلك البابَ أو احفَظْه

Maksud: “Kedua orang tua itu adalah pintu syurga yang paling tengah. Jika kalian ingin memasukinya, maka jagalah orang tua kalian. Jika kalian enggan memasukinya, sila sia-siakan orang tua kalian.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Kesimpulan

Berbuat baik kepada bapa merupakan suatu yang diwajibkan. Sambutan hari bapa merupakan suatu adat yang disambut untuk membuktikan kasih sayang dan pengorbanan mereka sentiasa dihargai.

Walaupun ia merupakan hari yang istimewa dalam setahun, namun kita perlu sentiasa menjadikan setiap hari sebagai hari yang istimewa buat mereka kerana hari-hari sebenarnya merupakan hari bapa.

sumber: Mufti Wilayah

Exit mobile version