Gaya Hidup

Terapi Buat Pesakit Koma Dalam Al-Quran

Oleh Abdullah Bukhari  •  1 Jun 2019  •  2 min baca

Al-Quran bukan sebuah buku sains yang bertanggungjawab mengulas segala fakta saintifik. Ia adalah kitab panduan yang membimbing manusia untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Walau bagaimanapun, dalam sesetengah ayat al-Quran Allah menyentuh aspek saintifik secara tidak langsung dan halus bagi menyerlahkan kemukjizatannya sebagaimana isu rawatan pesakit koma dalam tulisan ini. Ketika menceritakan cara tidur 7 pemuda gua Allah berfirman:

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا
Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami bolak-balikkan mereka (dalam tidur itu) ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri daripada mereka, dan tentulah engkau akan berasa sangat gerun takut kepada mereka. Surah al-Kahf 18:18

Pergerakan dan perubahan posisi dalam tidur adalah tindakan luar kawalan manusia. Ia membantu melancarkan pergerakan darah dan mengekalkan kesihatan. Tidur statik tanpa pergerakan tidak baik untuk kesihatan.

Ketika mengulas pergerakan tidur 7 pemuda tersebut, Abdullah ibn ‘Abbas R.A menjelaskan mereka digerakkan Allah secara semula jadi untuk memastikan tubuh mereka kekal selamat dan tidak dimakan oleh bumi (Tafsir al-Tabari).

Ketika mengajar ayat ini, seorang murid saya yang juga seorang Doktor perubatan Mej. Jen. Prof. Dato’ Dr. Zin bin Bidin (bekas dekan fakulti perubatan Universiti Pertahanan Nasional dan Vice-Chancellor Widad Kolej Universiti, Pahang) berkongsi maklumat tentang rawatan pesakit koma di hospital.

Pesakit koma biasanya terdedah kepada berbagai komplikasi kesihatan yang menjejaskan fungsi tubuh badan mereka seperti pengecutan otot (atrophy), pengerasan sendi badan, jangkitan kudis pada bahagian belakang dan perjalanan darah yang tidak lancar.

Sekiranya komplikasi ini tidak ditangani sewajarnya, para pesakit koma boleh mengalami lumpuh atau mati.

Bagi mengelakkan semua komplikasi tersebut, pihak hospital biasanya akan membantu para pesakit koma dengan melakukan aktiviti pergerakan secara berskala setiap hari.

Pihak hospital biasanya menggunakan mesin penggerak khusus yang dinamakan sebagai “passive movement machine”. Mesin ini datang dalam bentuk katil berenjin yang dikawal oleh computer.

Tilam berangin atau “ripple mattress” juga digunakan untuk meransang gerakan pada tubuh pesakit koma. Rawatan ini sedikit sebanyak membantu para pesakit koma untuk mengekalkan tahap kesihatan fizikal mereka kerana mungkin pada suatu hari nanti mereka akan kembali sedar seperti orang normal yang lain.

Maha Suci Allah, Tuhan Yang Maha Agung.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Abdullah Bukhari

Beliau merupakan seorang Sarjana Usuluddin (Tafsir Al-Quran) dan kini menjadi seorang pensyarah di Jabatan Tilawah Al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Beliau juga merupakan pemikir dan penulis Nota Tafsir Wartawan al-Quran yang kerap dikongsikan bersama pembaca, lebih-lebih lagi pengguna Facebook. Selain daripada itu, penulisan beliau juga kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami