Gaya Hidup

Siang 24 Jam, Bagaimana Berpuasa Di Artik, Norway

Oleh Natirah Azira  •  28 May 2019  •  3 min baca

Pada minggu lalu, tular di media sosial apabila seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Imam Waleed Hakeem memuat naik satu video tentang puasanya di kawasan Artik, Norway.

Dalam video tersebut, beliau bercerita bahawa beliau baru sahaja menyelesaikan solat tarawih sedangkan latar pemandangan di belakangnya menunjukkan cuaca yang cerah seperti siang. Fenomena tersebut dipanggil ‘midnight sun’ atau matahari tengah malam.


Video oleh MetroTV

Begitulah keadaan di Artik, Norway apabila matahari muncul sepanjang hari. Ia biasanya berlaku pada bulan-bulan musim panas di bahagian utara bulatan Artik. Pada bulan yang lainnya, waktu malam dan siangnya boleh ditentukan di mana tempoh waktu siang boleh menjangkau 19 hingga 22 jam.

Memandangkan ini adalah bulan puasa, maka pasti kita tertanya-tanya, bagaimana mereka berpuasa di sana apabila siangnya terlalu panjang atau matahari tidak terbenam langsung. Bagaimana tempoh puasa dan berbuka ditentukan?

Menurut keterangan pihak Mufti Wilayah Persekutuan, dalam keadaan begini terdapat dua pandangan yang boleh diikuti:

#1- Berpuasa Seperti Biasa (Mengikut Waktu Terbit Dan Tenggelam Matahari)

Seseorang itu perlu berpuasa seperti biasa mengikut waktu terbit dan terbenam matahari di tempat tersebut. Hal ini kerana, waktu siang dan malamnya masih boleh ditentukan mengikut sistem 24 jam. Pendapat ini berdasarkan dalil di bawah:

أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمْسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيْلِ وَقُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya :” Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).” (Surah al-Isra’ 17:78)

Justeru, menurut pandangan ini, walaupun waktu siang di negara tersebut sangat panjang hingga menjangkau 19 jam atau lebih, tetapi waktu berpuasa tetap bermula daripada terbit matahari sehingga terbenam matahari mengikut waktu di tempat tersebut.

Ini kerana, waktu malam dan siangnya masih dapat dibezakan. Pendapat ini dikukuhkan lagi dengan firman Allah yang berbunyi:

كُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْأَبْيَضُ مِنَ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِ ۖ

Maksudnya:” Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.” (Surah Al-Baqarah 2:187)

#2 – Berpuasa Mengikut Waktu Kota Suci Mekah Atau Negara Terdekat

Pendapat kedua pula membolehkan seseorang itu berpuasa mengikut waktu Kota Suci Mekah atau negara terdekat yang masih boleh ditentukan waktu malam dan siangnya. Keadaan ini dipanggil ‘ikhtilal ‘alamah’ yang bermaksud kecacatan alamat. Ini kerana siangnya lebih panjang daripada waktu kebiasaan atau waktu terbit dan tenggelamnya matahari tidak dapat ditentukan.

Pendapat ini berdasarkan pandangan yang dikemukakan oleh Sheikh Muhammad Abduh, Sheikh Jad al-Haq, bekas Shaikhul Azhar, Sheikh Abdul Latif Hamzah, Sheikh Said Tantawi, Sheikh Ali Jumuah dan juga pandangan Sheikh Mustafa al-Zarqa’ – (Rujuk al-‘Aql wa al-Fiqh Fi Fahm al-Hadith al-Nabawi – m/s 124)

Pendapat kedua ini juga lebih menjadi pilihan pihak Mufti Wilayah Persekutuan kerana lebih menepati maqasid syariat (tujuan syariat) yang berfungsi menjaga kemaslahatan umat Islam. Ia juga dapat memberi keringanan kepada umat Islam dalam berpuasa.

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ

Maksudnya : “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama” – (Surah Al-Haj 22:78)

Sesungguhnya Islam merupakan cara hidup. Ia bukan hanya hadir dengan hukum yang perlu diikut oleh umat Islam, bahkan berserta ‘rukhsah’ atau keringanan yang dapat membantu umat Islam dalam melaksanakan ibadah, mengurus serta mentadbir kehidupan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami