Gaya Hidup

Tangisan Di Bumi Islam! Di Mana Kita?

Oleh Fazli Abdullah  •  29 May 2019  •  4 min baca

Di awal bulan Ramadan yang lalu, kita dikejutkan dengan berita yang menimpa di negara Palestin. Pelbagai serangan balas dan tindakan yang menyebabkan bangunan runtuh dan musnah.

Bukan hanya bangunan bahkan nyawa anak kecil turut menjadi mangsa. Insan kecil yang baru melihat dunia telah ‘dipadamkan’ matanya dengan senjata tentera Israel.

Bukan sahaja di negara Palestin, negara-negara Islam yang lain turut menerima ujian dan cabaran yang menguji kesabaran mereka.

Ya, di bulan Ramadan penuh ujian dan diuji pula dengan ujian-ujian yang lain. Namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus hidup dan menjalani hidup sebagai hamba Allah.

Dalam artikel ini hanya mengumpulkan sebahagian kecil berita dan khabar saudara kita yang berada di luar negara. Walaupun jauh dan berbeza bahasa, namun kita tetap saudara seagama.

Kita tetap hamba Allah. Kita tetap menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W. Dan di akhir artikel ini diberi pelan tindakan yang boleh dilakukan untuk membantu saudara kita di sana. Insha Allah.

Palestin

Seorang wanita yang sarat mengandung dan bayi yang berusia empat bulan adalah antara mangsa yang maut dalam serangan. Menurut sebuah berita tempatan iaitu Berita Harian.

Gaza akan berada di ambang ‘bencana kemanusiaan’ dan sejuta penduduk Palestin akan berhadapan kebuluran tidak lama lagi, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Secara keseluruhan,  Agensi Bantuan dan Kerja untuk Penduduk Pelarian Palestin di Timur Dekat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) memerlukan AS$1.2 billion (RM4.9 billion) setahun untuk mengendalikan program sekolah, perubatan dan makanan serta bantuan kewangan kepada lima juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Syria, Lubnan dan Jordan.”Berita Harian

Syria

Syria turut dikhabarkan dalam kesusahan. Sebahagian daripada masyarakat Syria kehilangan tempat tinggal yang dibom pengganas. Mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan dan dalam keadaan daif.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana peritnya dan daifnya mereka dalam meneruskan kehidupan. Lihatlah makanan mereka.

Banyak video yang disebarkan dan dikongsi oleh pihak yang pergi ke sana memberitahu kanak-kanak Syria ada yang sampai memakan habuk roti yang berada di jalan-jalan. Jalannya penuh debu dan kekotoran. Walau kotor mereka makan juga kerana kelaparan yang menguasai mereka.

Turut dilaporkan juga ada yang memakan rumput kerana tiada bekalan roti untuk dimakan. Ya, rumput. Rumput itu direbus untuk dibuat makanan. Allahurabbi. Dibandingkan dengan kemewahan makanan kita di sini, jauh bezanya ibarat langit dan bumi.

Pelan Tindakan

Sebagai saudara seagama walaupun jauh sempadan negara, kita pasti turut merasa bersedih hati dan berduka dengan penderitaan mereka. Orang yang beriman pasti akan tidak ‘senang’ dengan keadaan yang sedang mereka hadapi sekarang.

Jadi bagaimana dan apakah yang perlu kita lakukan sekarang? Hanya turut berduka dan bersedih sahaja? Atau hanya memandang dengan wajah sayu lalu selepas itu melupakan tangisan mereka?

Ayuh, sekarang kita ubah daripada hanya memandang kepada bertindak. Semoga kita ada ‘jawapan’ tatkala ditanya di hari akhirat kelak mengenai apakah bukti usaha kita untuk membantu mereka.

#1- Berdoa Kepada Allah

Doa adalah senjata mukmin. Doa bukan sekadar kata tetapi ia mempunyai makna yang mendalam dalam diri kita. Pintalah dan mohonlah kepada Allah. Berilah ruang dalam doa kita khusus untuk saudara kita di sana. Jangan melupakan mereka dalam setiap doa kita.

#2- Berkongsi Berita Melalui Media Sosial

Setiap daripada kita mempunyai media sosial. Sebaiknya gunakannya untuk perkara kebaikan. Berkongsi berita mengenai negara Islam yang sedang diserang dan diganggu-gugat. Semoga berita ini tidak dibiar sepi dan terus mendapat perhatian masyarakat dunia.

#3- Memberi Sumbangan

Jika ada sedikit kewangan bolehlah memberi sumbangan melalui tabung-tabung yang sah dan diiktiraf. Semoga usaha kecil ini dapat membantu mereka yang memerlukan. Walaupun jumlah yang diberi tidak banyak tetapi keikhlasan hati itulah yang mahal harganya.

#4- Menjadi Sukarelawan

Jika berkesempatan bolehlah menjadi sukarelawan. Melihat sendiri bagaimana keadaan hidup mereka yang sebenar. Merasai sendiri aura negara mereka yang sedang kesusahan. Dan kita dapat belajar ketabahan mereka menghadapi ujian kehidupan.

Kesimpulan

Daripada Anas R.A., Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri.”Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Kita sebagai umat Islam diajar untuk saling mengasihi sesama manusia. Lebih-lebih lagi kepada saudara seagama kita.

Jika mereka berduka, kita juga turut merasai kedukaan itu. Apabila mereka mendapat kebaikan, kita perlu turut gembira dan bahagia. Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menyenangkan orang yang susah, Allah akan menyenangkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup keburukan seorang Muslim, Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan menolong seorang hamba selagimana ia berusaha untuk menolong saudaranya.”Riwayat Muslim

Bantulah mengikut kemampuan kita. Tidak banyak bantulah walau sedikit. Yang penting kita telah berusaha. Dan Allah melihat usaha kita. Sungguh setiap usaha baik tidak akan sia-sia selagi keikhlasan memenuhi jiwa. Waallahu a’lam.

Rujukan
1. 300 Hadis Bimbingan Ke Arah Mencari Reda Allah (Penulis: Ustaz Zahazan Mohamed, Ahmad Hasan Mohd. Nazam)
2. Gaza Hampiri Bencana
3. Derita Anak Syria
4. UNRWA
5. Serangan Israel Di Palestin


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami