Gaya Hidup

Ramadan – Sabar Mengubah Diri Ke Arah Kebaikan

Oleh Suhana Amiril  •  28 May 2019  •  5 min baca

Saya mulakan artikel ini dengan sebuah pertanyaan untuk diri saya terutamanya dan kepada sahabat pembaca sekalian. Pernahkah seikhlasnya, kita merasakan bahawa ada satu sifat yang kurang baik dalam diri kita ini yang kita sejujurnya berperang dengan sifat tersebut secara naik surut?

Tabiat atau sifat diri kita yang kita tahu benar adalah sebahagian dari mazmumah dan kita sendiri tahu bahawa tabiat peribadi kita tersebut bukanlah salah satu tabiat atau sifat yang bakal mendapat tempat dalam perkara-perkara yang Allah S.W.T suka.

Pernahkah? Serta masih adakah sifat atau tabiat tersebut dalam diri kita? Jawabkan saja kepada diri kita sendiri. Dan artikel ini, kalian anggap sahaja sebagai satu bahan bacaan yang bukan secara kebetulan anda membacanya sehingga ke perenggan ini dan seterusnya.

Syukur ketinggian buat Kekasih Maha Tinggi, untuk bulan Ramadan yang disempatkan lagi buat kita semua. Bulan kegembiraan orang-orang Islam di seluruh dunia. Bulan kerinduan bagi setiap dari kita. Bulan kemeriahan ibadah kepada Allah.

Dan tidak lupa, Ramadan adalah bulan yang boleh dijadikan sebagai bulan penuh peluang untuk mengubah tabiat diri dan peribadi. Dengan usaha kerana Allah, insya-Allah semoga kita berjaya!

Ramadan Adalah Kesempatan Terbaik

Kita biasa mendengar, kenapa perlu tunggu bulan Ramadan baru hendak mengubah diri? Jawapannya, bukan begitu. Tiada sesiapa pernah menyarankan kalau hendak berubah atau mendekatkan diri kepada Allah, berbuatlah demikian di bulan Ramadan. Atau tangguhkan saja niat nanti dibulan Ramadan.

Tidak! Tetapi, waktu ini adalah waktu terbaik jika sesiapa diantara kita mahu meneruskan niat dan perjuangan untuk mengubah apapun yang kurang baik dalam diri.

Walaupun kedengaran tipikal, tetapi begitulah hakikatnya. Kita ini, walaupun maklum bahawa bulan Ramadan itu adalah kesempatan yang baik, namun sudah berapa Ramadan yang kita tidak manfaatkan sepenuhnya?

Hanyasanya, kita akan menyesal sendiri apabila Ramadan telah meninggalkan kita untuk 11 bulan yang akan datang. Berapa kali kita tidak memaksimumkan kehadiran Ramadan untuk dimanfaatkan dan dihayati? Banyak kali, bukan?

Maka, mahukah kita membiarkan sekali lagi Ramadan berlalu dengan rutin harian yang sama seperti bulan-bulan sebelumnya? Menjadilah kita orang-orang yang sangat rugi apabila kita masih dengan tabiat membiarkan Ramadan berlalu begitu saja. Sepertimana firman Allah S.W.T yang bermaksud :

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”Surah al Baqarah : 183

Sebagai orang awam seperti kita, seharusnya cukup kita terkesan dengan ayat, “agar kamu lebih bertaqwa” apabila Allah menyebut mengenai puasa yang diwajibkan kepada kita dibulan Ramadan. Agar kamu lebih bertakwa, adalah kesan kepada diri dan peribadi kita apabila kita memanfaatkan kehadiran ibadah puasa dibulan Ramadan.

Justeru, jika mahu menyegarkan atau memulakan titik perubahan, maka manfaatlah oleh kita setiap detik pada bulan Ramadan ini. Gandakan setiap perbuatan kebaikan. Fokus kita hanya satu. Allah. Hanya kerana Allah. Dalam sebuah hadis yang mafhumnya,

”Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan pahala (dari Allah ’Azza Wa Jalla), niscaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”Kitab Sahih al-Bukhari (II/228); Kitaabush Shaum bab Man Shaama Ramadhaana liman wa Ihtisaaban

Kita mahu memperbaiki diri? Perbaiki diri kerana Allah. Kita mahu banyak beribadah? Beribadah kerana Allah. Kita mahu mengubah peribadi? Berubahlah kerana Allah.

Kita Lebih Menjadi Diri Sendiri

Percaya atau tidak, sifat manusia apabila membuat dosa atau satu kesalahan, maka dia akan menyalahkan syaitan terlebih dahulu. Katanya, kenapa dirinya termakan hasutan dan bisikan syaitan? Atau alasan-alasan yang sama jenis dengannya. Ya, begitulah diri kita.

Seolah-olah, kita ini adalah manusia yang tiada tembok pemisah diantara kita dengan syaitan sehingga apa saja dosa yang kita lakukan, kita cuba meletakkan kesalahan tersebut pertama-tama sekali kepada syaitan. Kita memakai alasan tersebut untuk melegakan diri kita. Dan tanpa sedar sebenarnya kita sedang menipu diri sendiri.

Maka, bulan Ramadan ini adalah kesempatan untuk kita koreksi diri sendiri. Adakah selama ini dosa-dosa yang kita buat kerana ketidakrelaan kita asbab digoda oleh syaitan, atau memang peribadi kita yang perlu perubahan sejujurnya? Dalam sebuah hadis,

“Apabila Ramadan datang maka pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.”Kitab Sahih al-Bukhari (II/227) Kitaabush Shaum bab Hal Yuqaalu Ramadhaanu aw Syahru Ramadhaan

Pada saya, di bulan Ramadan inilah kita akan tertampar sendiri. Kerana apa? Kerana tiada lagi alasan untuk menyalahkan makhluk lain atas perbuatan diri kita sendiri. Di bulan ini, boleh kata hanya ada kita dan Allah.

Maka setiap tingkah laku kita, itulah peribadi kita. Maka, yang mana baik, tingkatkan. Yang mana buruk, ubah dan tinggalkan. Kenal pasti diri kita, sifat serta peribadi kita bagaimana sebenarnya. Apa yang perlu kita tinggalkan dan ubah untuk memperbaiki diri dan rutin harian kita.

Perjuangan Kita Di Bulan Ramadan

Saya percaya sungguh, tidak sedikit dari kita yang ada azam tersendiri bila menjalani hidup sehari-harian dalam bulan Ramadan. Ada yang mahu buat yang terbaik dalam hubungannya kepada Allah.

Ada yang mahu menzalimkan solat dhuha dan solat-solat malam. Ada yang mahu memperbaiki hubungan dengan adik beradik, saudara-mara atau sahabat handai. Tidak kurang pasti ada yang berazam untuk memperbanyakkan sedekah pada bulan Ramadan.

Tidak kurang juga yang mahu memperbaiki bacaan al-Quran, yang mahu mengkhatamkan al-Quran. Yang mahu solat diawal waktu. Yang mahu mendapat rasa lebih dekat dengan Allah S.W.T. Yang mahu merasakan perjuangan baginda Nabi Muhammad S.A.W dalam kehidupan.

Apapun azam dan perkara-perkara kebaikan yang mahu kita lakukan, tumpukan pemikiran kita hanya kepada Allah. Tidak kerana manusia.

Perjuangan kita ini, adalah perjuangan kerana Allah untuk meningkatkan kehidupan sebagai seorang Islam.

Bukan kerana hendak dipandang baik dan mulia oleh manusia. Tapi mahu Allah pandang kita dengan pandangan cinta! Semoga Allah merahmati kita semua, kawan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Suhana Amiril

Merupakan graduan Syariah dan Undang-Undang. Mempunyai azam dan kesungguhan yang mendalam dalam bidang penulisan untuk mengunci dan menarik jiwa-jiwa manusia untuk sama-sama kembali kepada Yang Esa.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami