Inspirasi

Roh Orang Beriman Berkumpul Dan Bertanya Khabar Apabila Meninggal Dunia

Oleh Natirah Azira  •  24 May 2019  •  5 min baca

Apabila mendengar sahaja berita kematian, hati pasti diselubungi rasa sedih lebih-lebih lagi jika mereka adalah orang yang terdekat dengan kita atau yang pernah kita kenali.

Pemergian mereka lebih lagi dirasa seakan mimpi jika tidak ada tanda sakit, atau terjadi musibah seperti kemalangan yang menimpa secara tiba-tiba.

Apabila mendengar khabar begini, kematian terasa sangat dekat sebenarnya, dan boleh menjemput pada bila-bila masa. Ustaz Omar Suleiman dalam satu perkongsian video di Youtube pernah berkongsi tentang kisah kematian Rasulullah SAW dan juga para sahabat.

Diberitakan dalam satu riwayat, bahawa dalam tempoh empat hari sebelum Rasulullah SAW meninggal dunia, baginda memberitahu seorang sahabat yang bernama Abu Muwayhibah bahawa Allah telah mengarahkan baginda supaya pergi ke kubur Baqi’ dan mendoakan para penghuni pusara di sana.

Rasulullah SAW membawa Abu Muwayhibah bersamanya, lalu Rasulullah memberitahu beliau bahawa Allah telah memaklumkan dan memberi pilihan buatnya; sama ada ingin tetap tinggal di dunia dan diberi ‘kunci’ dunia, dan setelah selesai semuanya, akan dimatikan dan mendapat syurga atau terus kembali kepada Allah.

Lantas Abu Muwayhibah berkata, “Pilihlah kami Wahai Rasulullah! Tinggallah bersama kami, jangan tinggalkan kami”

Rasulullah SAW menjawab; “Aku telah memilih Allah”

Maka, setelah baginda wafat, antara impian besar sahabat dan pengikut baginda yang masih tinggal ialah untuk bertemu dan bersama-sama kembali bersama Rasulullah SAW di akhirat kelak.

Maka siapakah orang pertama yang menyertai Rasulullah SAW?

Dia ialah puteri Rasulullah SAW yang sangat disayangi baginda, Saidatina Fatimah r.anha. Beliau meninggal kira-kira dalam tempoh 4-6 bulan selepas kewafatan Rasulullah.

Muazzin yang masyhur dalam sejarah Islam, Bilal bin Rabah pula, ketika saat beliau ingin meninggal dunia, isterinya berkata bahawa itulah keadaan yang sangat menyedihkan. Tetapi tidak kata Bilal; “Inilah hari yang menggembirakan!”

غدى ألقى الأحباء ، محمدا وصحبه
“Esok aku akan menemui orang yang aku kasihi, Nabi Muhammad dan para sahabat baginda!”

Diceritakan juga bahawa Saidina Uthman dibunuh di rumahnya ketika dia dalam keadaan berpuasa. Hari terakhir sebelum pembunuhannya, dia telah bermimpi bertemu Rasulullah. Baginda memaklumkan di dalam mimpi tersebut;

“Jangan bimbang Uthman, malam ini engkau akan berbuka puasa bersamaku, Abu Bakar dan Umar”

Bermakna, Rasulullah dan para sahabat sedang menunggu kehadiran Uthman di alam sana.

Roh Mukmin Akan Saling Bertemu Dan Bertanya Khabar

(169) وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
(170) فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّـهُ مِن فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
(171) يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللَّـهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:”Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh(yang gugur syahid)pada jalan Allah itu mati.(Mereka tidak mati) bahkan mereka hidup(secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.

Dan mereka bersuka cita dengan kurniaan Allah(balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai(saudara mereka) orang-orang(islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal dibelakang yang belum sampai kepada mereka bahawa tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita.

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya,dan(ingatlah) bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.” (Surah ali Imran: 169-171)

Kata Ibnu Qayyim al-Jauziyah: ”Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita berkenaan perihal orang yang syahid bahawa mereka hidup di sisi tuhan dengan mendapat rezeki, mereka bergembira dengan berita baik mengenai(saudara mereka) orang-orang(islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal dibelakang yang belum sampai kepada mereka mereka juga bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya.Kesemua ini menunjukkan bahawa mereka bertemu melalui 3 perkara tersebut.”

Terang beliau lagi: dari segi bahasa, lafaz ‘Istibsyar’ tersebut membawa maksud saling mengkhabarkan antara satu sama lain – (Rujuk Kitab al-Ruh – m/s 18)

Kata Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di pula berkenaan ayat ini:

”Yang dimaksudkan dengan “يستبشرون بالذين لم يلحقوا بهم من خلفهم” adalah mereka saling mengkhabarkan antara satu sama lain tentang saudara mereka yang belum lagi tiba. Mereka juga memaklumkan bahawa mereka itu akan mendapat seperti mana mereka dapat.”

Beliau juga menafsirkan ayat “ألا خوف عليهم ولا هم يحزنون” dengan maksud bahawa mereka saling mengkhabarkan tentang terhapusnya kesedihan mereka dan saudara mereka dengan mendapat kegembiraan yang sempurna.

Begitu juga bagi ayat “يستبشرون بنعمة من الله وفضل” , beliau menafsirkan ayat ini dengan makna mereka saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan sebesar-besar tahniah – (Rujuk Tafsir al-Sa’di – 1/156)

Ayat dan keterangan di atas bukan tentang golongan yang syahid semata-mata, namun semua roh orang beriman. Dari Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis. Di antara kandungan hadis tersebut;

فَيَأْتٌونَ بِهِ أَرْواَحَ المُؤْمِنِينَ فَلَهُمْ أَشُّد فَرْحاً مِنْ أَحَدِكُمْ بِغَائِبِكُم يَقْدَمُ عَليه فَيَسْأَلُونَهٌ ما فَعَلَ فُلانٌ مَا فَعَلَتْ فُلاَنَةٌ

Maksudnya: “Mereka didatangkan dengan ruh-ruh orang mukmin. Mereka lebih gembira dengan kedatangan ruh tersebut berbanding kalian yang bersedih kerana pemergiannya. Maka mereka bertanya:apa yang dilakukan oleh orang lelaki ini, apa yang dilakukan oleh orang perempuan ini?”

Bermakna, apabila seorang mukmin meninggal dunia, maka rohnya akan disambut oleh orang-orang beriman yang lain. Dan mereka akan bertanyakan tentang keadaan orang yang masih tinggal di dunia.

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat) (Surah An-Nisa 4:69)

Kematian sudah pasti suatu yang menyedihkan kerana kita kehilangan orang yang disayangi di dunia. Namun mereka yang pergi hakikatnya tidak mati, tetapi hidup dalam bentuk yang lain (dalam bentuk roh). Yang berubah hanya tempat dan ruang.

Rasulullah SAW memberitahu bahawa seseorang itu akan dibangkitkan dan dikumpulkan bersama orang yang disayanginya. Maka perbaikilah amal ibadah kita selagi kita masih berada di dunia, dan berdoalah agar kelak kita dikumpulkan bersama orang yang kita sayangi, lebih-lebih lagi Rasulullah SAW.

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan
One Islam Production


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami