Jika diteliti dalam sirah baginda Nabi S.A.W, kita akan mengetahui betapa cinta baginda kepada Saidatina Khadijah R.A sangat mendalam dan tidak terhakis sama sekali.
Bahkan cinta itu mengundang rasa cemburu oleh Saidatina Aisyah R.A. Ini boleh dilihat dalam hadis yang menceritakan situasi tersebut.
“Aisyah R.A berkata, Rasulullah S.A.W selalu memuji Khadijah sehingga mengundang cemburu sayang padaku, lalu aku berkata kepada baginda S.A.W: Alangkah kerapnya engkau menyebut perihal wanita tua itu (Khadijah). Ketahuilah bahawa Allah sudah menggantikan kehilangannya (Khadijah) dengan isteri yang lebih baik.
Rasulullah SAW berkata:
“Sungguh dia (Khadijah R.A) tiada ganti”. Dia beriman kepadaku ketika semua manusia mengingkariku, dia membenarkanku ketika semua orang mendustaiku, dia membantuku dengan hartanya ketika manusia menghalangku dan Allah menganugerahkan padaku semua anaknya ketika wanita lain tidak memberikanku anak.”Musnad Ahmad
Bahkan dalam hadis lain juga ada menyebut:
“Aisyah berkata: Aku tidak cemburu kepada mana-mana isteri Rasulullah melainkan Khadijah walaupun aku tidak sempat bertemu dengannya. Apabila baginda menyembelih kambing, baginda akan berkata: Hantar sedikit dagingnya kepada kawan-kawan Khadijah. Ia menyebabkan aku marah sehingga pada suatu hari aku berkata: (Asyik) Khadijah (diingatimu).
Rasulullah S.A.W berkata: “Sesungguhnya aku telah direzekikan cinta kepadanya”Sahih Muslim
Jika kawan-kawan Saidatina Khadijah R.A pun Rasulullah S.A.W gembira dan melayani mereka dengan baik, apatah lagi orang yang mempunyai hubungan darah dengah Saidatina Khadijah R.A itu sendiri.
Dalam sebuah hadis lain di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim turut disebut, bagaimana pernah suatu ketika adik perempuan Saidatina Khadijah R.A yang bernama Halah binti Khuwaylid pernah meminta izin ingin bertemu dengan Rasulullah S.A.W.
Bila baginda mendengar hal itu, baginda begitu sangat gembira kerana Halah binti Khuwaylid ingin datang melawat baginda sehingga mengundang rasa cemburu Saidatina Aisyah R.A.
Imam al-Nawawi ketika menghuraikan hadis tentang kisah kunjungan Halah Binti Khuwaylid itu dalam Syarah Sahih Muslim menyatakan, mengapa Rasulullah S.A.W begitu gembira dengan ketibaan atau kunjungan Halah binti Khuwaylid adalah disebabkan ia mengingatkan kembali kenangan manis baginda bersama Saiditina Khadijah R.A.
Dalam riwayat lain juga ada menyebut;
Rasulullah S.A.W mempunyai seorang anak tiri yang juga bernama Halah bin Abu Halah iaitu anak lelaki Saidatina Khadijah R.A hasil perkahwinannya dengan Abu Halah.
Halah bin Abu Halah ini sangat disayangi oleh Rasulullah. Pada suatu hari Halah masuk menemui Rasulullah yang sedang berbaring. Baginda segera bangkit dan memeluk mesra Halah bin Abu Halah sambal berkata:
“Halah! Halah! Halah!”Mu’jam al-Awsat Imam al-Tabrani & Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari
Kesimpulan yang dapat kita ambil ialah cinta, cemburu dan sayang di antara suami isteri adalah suatu fitrah iaitu perasaan semulajadi yang tidak dapat dielakkan cuma kita perlu menguruskan perasaan itu dengan baik.
Rujukan:
Khadijah RA- Cinta Yang Tiada Ganti (Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim)
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.