Hukum

Bagaimana Puasa Orang Yang Musafir

Oleh Fizah Lee  •  9 May 2019  •  7 min baca

Tiba sahaja bulan puasa maka persoalan seperti berbuka ketika musafir banyak ditanya oleh orang ramai. Ini kerana hal ini sering disebut dalam hadis-hadis Nabi SAW. Musafir yang bagaimana sebenarnya dibenarkan untuk berbuka? Adakah ianya masih terpakai pada zaman sekarang yang mana kemudahan pengangkutan lebih selesa dan perjalanan lebih singkat?

Sebagai muslim yang sangat menekankan halal dan haram serta mementingkan hukum-hakam agar ibadah tidak terjejas, kita perlu beramal dengan ilmu yang betul dan diyakini.

Sebelum kita melihat rukhsah musafir, mari kita lihat maksud musafir terlebih dahulu. Musafir berasal daripada bahasa Arab, iaitu safara سفر yang bermaksud berjalan.

Dalam Islam , musafir ialah seseorang yang dalam perjalanan jauh melebihi dua marhalah atau 81 km. Tiada had hari untuk melakukan musafir, namun tempoh untuk melakukan solat jamak dan qasar ialah sebanyak 3 hari dan 3 malam sahaja.

Jika seseorang itu berniat untuk tinggal di tempat itu selama 4 hari atau lebih, maka dia tidak boleh jamak dan qasar solat ketika sampai di tempat tersebut kerana dia sudah dikira bermukim, iaitu seseorang yang menetap di suatu tempat lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari datang dan hari pulang.

Berdasarkan nas al-Quran, musafir diberi keringanan (rukhsah) dalam melakukan ibadah puasa. Namun, berdasarkan pandangan jumhur ulama’, mereka berbeza pendapat sama ada afdal berbuka puasa atau sebaliknya berdasarkan beberapa dalil yang telah disandarkan.

#1 – Afdal Berpuasa

Berdasarkan pandangan Abu Hanifah, Malik dan as-Syafi’e, afdal ke atas muslim itu untuk berpuasa jika mereka mampu dan tidak memberatkan mereka. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT yang berbunyi:

وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Mafhum: “Dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah, kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqara, 2: 184)

Mereka juga berpandukan hujah bahawa Rasulullah SAW juga pernah bermusafir ketika berpuasa dan baginda tidak berbuka.

#2 – Afdal Berbuka Puasa

Berdasarkan pendapat kedua, iaitu pendapat Al-Uzai’e dan Ahmad serta Ishak, afdal untuk tidak berpuasa, namun wajib mengqada’nya.

وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Mafhum: “Dan sesiapa yang dalam sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu memperoleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah Al-Baqara, 2:185)

Ia adalah berdasarkan rukhsah yang Allah tetapkan kepada kita berdasarkan sabda baginda dalam beberapa riwayat yang bermaksud: “Bagi kamu rukhsah Allah yang telah diringankan ke atas kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

#3 – Mengikut Apa Yang Mudah Baginya

Umar Abdul Aziz, Mujahid dan Qatadah berpendapat bahawa boleh mengikut kepada mana yang lebih mudah berdasarkan situasi. Berdasarkan Ibnu al-Munzir, ia adalah pendapat yang kuat dan boleh diikuti kerana nabi akan memilih berdasarkan apa yang mudah olehnya.

#4 – Diberi Pilihan untuk Berbuka Dan Berpuasa

Ini adalah berdasarkan pandangan sebahagian para ulama’ berdasarkan hadis yang bermaksud:

“Wahai rasulullah, sesungguhnya aku adalah pemilik tunggangan, aku merawatnya, bermusafir dengannya, meminjamkannya dan boleh jadi aku melaksanakannya dalam keadaan aku berada di bulan Ramadan, aku merasakan diriku kuat, aku mendapati lebih mudah untuk diriku berpuasa daripada aku menangguhkannya (qada’) yang akhirnya akan menjadi hutang. Lalu baginda berkata: “Mana-mana dari itu mengikut apa yang engkau kehendaki.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)

Berdasarkan penelitian oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qardawi berdasarkan apa yang telah disebutkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Nabi akan memilih mengikut apa yang mudah baginya. Dalam situasi ini, berpuasa akan menjadi afdal bagi si musafir kerana dia bimbang dirinya akan malas untuk menggantikan puasa atau sibuk dan tidak boleh menggantikan puasa.

Juga bagi mereka yang tiada kesusahan dalam perjalanannya atau mengalami perjalanan yang singkat sahaja, maka afdal baginya berpuasa.

Namun terdapat juga situasi seseorang musafir itu afdal untuk berbuka puasa iaitu, apabila ia mendapati dirinya terdapat kesukaran untuk berpuasa. Sebagai contoh perjalanan itu amat panas dan boleh meletihkan sehingga memudaratkan kesihatan dirinya atau bermusafir dengan melalui perjalanan yang terlalu lama seperti dari timur ke barat kerana wujudnya perbezaan waktu dan hari yang panjang, maka makruh ke atas puasanya akibat kesukaran yang berlaku dalam puasanya sehingga memudaratkan diri sendiri.

Ini adalah berdasarkan sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah, berkata: “Rasulullah SAW pernah dalam sebuah permusafiran melihat orang ramai bersama serorang lelaki diteduhi dengan cahaya matahari, lalu nabi bertanya: “Mengapa dengan lelaki ini?” Mereka berkata: “Dia berpuasa.” Lalu baginda bersabda: “Tidak ada kebaikan berpuasa ketika musafir.” (Hadis Muttafakun ‘alaih)

Waktu Berbuka Bagi Musafir

Bagaimana pula dengan mereka yang bermusafir ke tempat yang jauh atau dengan menaiki kapal terbang? Pasti anda juga tertanya, bagaimana puasa bagi mereka yang bekerja di kapal untuk mencari rezeki dan sebagainya.

Sebenarnya waktu berbuka (iftar) dalam penerbangan juga adalah tertakluk kepada beberapa faktor. Waktu berbuka bagi ibadah puasa adalah apabila tibanya waktu maghrib. Ini adalah berdasarkan firman Allah yang berbunyi:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

“Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).” (Surah al-Baqara, 2:187)

Rasulullah SAW juga ada bersabda yang bermaksud: “Apabila malam mendatang dari arah ini (sambil menunjuk ke timur) dan siang menghilang ke arah ini (sambil menunjuk ke barat) maka berbukalah orang yang berpuasa itu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain, berdasarkan kitab al Lu’ wal Marjan (0669) ada menyebutkan yang bermaksud:

“Abdullah bin Abi Awfaa RA berkata: “Kami pernah musafir bersama Rasulullah SAW pada bulan Ramadan. Ketika matahari sudah mulai terbenam, baginda memerintahkan kepada seseorang dengan bersabda: “Wahai si fulan! Turun dan siapkanlah hidangan.” Si fulan itu berkata: “Wahai Rasulullah, hari masih siang.” Baginda mengulangi lagi sehingga kali ketiga: “Turun dan siapkanlah hidangan.” Si fulan itu pun turun menyiapkan hidangan serta membawanya kepada baginda lalu dinikmati hidangan tersebut. Kemudian Rasulullah SAW bersabda sambil memberi isyarat dengan kedua tangannya: “Apabila matahari sudah mulai terbenam di arah sana dan malam pun telah datang dari arah sana, bolehlah berbuka bagi orang yang berpuasa.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Menurut fatwa Syeikh ‘Athiyah Saqar Rahimahullah, bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar, orang yang bermusafir itu sama sahaja dengan mereka yang tidak bermusafir, iaitu wajib berbuka apabila telah jelas terbenamnya matahari.

Oleh itu, seseorang itu perlu berpandukan kedudukan matahari sebagai waktu berbuka puasa yang tepat di tempatnya. Jika telah terbenamnya matahari, maka sudah boleh berbuka puasa. Para ulama’ berpendapat bahawa seseorang itu wajib yakin dengan waktu tersebut sebelum dia benar-benar berbuka, kerana bimbang jika tersalah waktu.

Bagaimana pula jika tersalah berbuka puasa. Sebagai contoh, pada awalnya diyakini telah masuk waktu berbuka namun lima minit kemudian disedari bahawa sebenarnya belum masuk waktu berbuka lagi.

Jika terjadi seperti ini, maka perlu berhenti daripada makan dengan serta-merta. Puasanya masih lagi sah kerana ia adalah kesilapan yang tidak disengajakan.

Jika perkara ini disedari pada keesokan harinya bahawa semalam dia telah tersilap berbuka puasa awal, puasanya masih dikira sah dan tidak diharuskan untuk mengqadanya. Ini adalah berdasarkan firman Allah yang berbunyi:

“Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani).” (Surah Al-Ahzab, 33:5)

Namun, berbeza dengan mereka yang berbuka puasa dalam keadaan samar-samar dan ternyata waktu itu sebenarnya masih belum masuk waktu, maka dia perlu mengqada’ puasanya kerana dia tidak berusaha untuk mencari waktu yang tepat dan berbuka puasa dalam keadaan was-was.

Kesimpulan

Islam itu merupakan agama yang tidak memberatkan hambanya malah terdapat rukhsah dalam sesuatu perkara yang telah ditetapkan. Begitu juga dalam persoalan ini.

Dibolehkan untuk memilih rukhsah jika dikhuatiri memudaratkan diri semasa dalam perjalanan manakala waktu yang tepat untuk berbuka puasa adalah dengan terbenamnya matahari di tempat yang sedang berada, bukan mengikut waktu tempat yang akan datang atau tempat asal si musafir. Puasa perlu diqada’ jika memilih untuk berbuka kerana ia adalah amalan wajib yang perlu dilakukan dan termasuk dalam rukun Islam kelima.

Rumaysho.com
Ukuran Waktu Berbuka


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami