Gaya Hidup

Jalan Bagi Melakukan Kebaikan Amat Mudah

Oleh Fazli Abdullah  •  29 Apr 2019  •  4 min baca

Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan meskipun sebesar zarah, nescaya dia akan melihat balasannya.”Surah az-Zalzalah 99:7


Kebaikan walau sekecil mana sekalipun akan mendapat balasannya di akhirat nanti. Mungkin di dunia kita nampak kecil dan ia tidak memberi kesan kepada kita tetapi di akhirat ia boleh menjadi sebab yang melayakkan kita masuk ke dalam syurga (semua atas keizinan Allah S.W.T).

Oleh itu, janganlah memandang remeh sesuatu kebaikan yang dilakukan. Sesungguhnya Allah tidak pernah menjadikan kita sia-sia, biarpun sesaat, ada sahaja kebaikan yang boleh kita lakukan. Subhanaallah.

Di dalam hadis Rasulullah S.A.W, terdapatnya jalan-jalan kebaikan yang boleh kita lakukan untuk menambah ‘saham’ dan bekalan akhirat kita. Semoga artikel ini membantu meningkatkan semangat kita untuk terus melakukan kebaikan. Amin.

Hadis Pertama

Daripada Abu Hurairah R.A., beliau berkata, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Setiap jari (tangan dan kaki) manusia dibebani dengan amalan bersedekah pada setiap hari yang matahari terbit pada hari tersebut. Kamu mendamaikan di antara dua orang adalah sedekah. Kamu menolong seseorang yang ingin menaiki kenderaannya, lalu kamu mengangkatnya ke atas kenderaan itu, atau kamu mengangkat barangan kepunyaannya ke atas kenderaan adalah sedekah. Perkataan yang baik adalah sedekah. Setiap langkah kamu tempuhi menuju solat (berjemaah) adalah sedekah. Kamu membuang sesuatu (yang mengganggu) dari jalan adalah sedekah.”Riwayat Bukhari dan Muslim


Di dalam hadis ini terdapat beberapa perbuatan baik yang boleh kita lakukan. Ringkasannya:

#1- Mendamaikan antara dua orang

#2- Menolong orang menaiki kenderaannya

#3- Mengangkat barang seseorang ke kenderaannya

#4- Bercakap dengan perkataan yang baik

#5- Melangkah kaki untuk menunaikan solat berjemaah

#6- Membuang benda yang menghalang jalan orang ramai

Setiap hari kita boleh melakukan apa sahaja amalan sedekah. Dan amalan sedekah itu tidak bermakna dengan wang ringgit sahaja. Dalam hadis di atas telah dijelaskan kepada kita yang mana sedekah itu luas dan banyak cabangnya.

Antara amalan sedekah adalah bercakap dengan perkataan yang baik. Ia bukan bermakna mesti berzikir sahaja. Bercakap perkataan baik juga adalah memberi nasihat kepada rakan, mengajar sesuatu ilmu yang bermanfaat dan mengajak ke majlis ilmu.

Hadis Kedua

Daripada Abu Dzarr R.A., beliau berkata, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Janganlah sekali-kali kamu meremehkan suatu kebaikan meskipun ia adalah apabila kamu bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria.”Riwayat Muslim


Menunjukkan riak wajah yang manis kepada sesama manusia juga adalah satu jalan kebaikan. Dalam hadis ini, Rasulullah S.A.W mengajar kepada kita supaya tidak memandang remeh dengan sesuatu kebaikan. Walau kecil di mata kita, tetapi ia besar di pandangan Allah S.W.T.

Jangan malu untuk melakukan kebaikan walaupun kecil. Allah memandang keikhlasan hati kita ketika melakukan kebaikan tersebut. Apa gunanya apabila membuat kebaikan sebesar ‘gunung’ tetapi hakikatnya hati penuh riya’ dan tidak dilakukan kerana Allah S.W.T. Nauzubillah minzalik.

Hadis Ketiga

Daripada Abu Hurairah R.A., Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Orang yang menanggung keperluan janda dan golongan miskin adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah atau orang yang bangun malam dan berpuasa pada waktu siang.”Riwayat Bukhari dan Muslim


Menanggung keperluan janda dan orang miskin antara jalan kebaikan yang boleh kita lakukan. Ganjarannya sungguh besar sekali, ia seperti orang yang berjihad atau orang yang bangun malam dan berpuasa di siang harinya. Subhanaallah!

Kesimpulan

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.”Surah Al-Baqarah 2:202


Benarlah bahawa jalan-jalan kebaikan sudah terbentang luas kepada kita semua. Pelbagai bidang, cara, langkah, dan teknik boleh kita lakukan mengikut kemampuan sendiri.

Misalnya, kita mempunyai harta yang banyak. Dengan sebahagian harta itu kita boleh digunakan untuk memberi makanan percuma kepada golongan yang tidak berkemampuan, membantu pelajar untuk menyambung pelajaran dan pelbagai lagi.

Jangan hanya menganggap jalan kebaikan itu sekadar mencukupkan rukun Islam yang lima sahaja dan bukan sekadar beribadah di atas sejadah sahaja dan bukan hanya berpuasa sebulan di bulan Ramadan.

Tegasnya, jalan kebaikan itu luas dan tanpa had. Buatlah selagi ia tidak menyalahi hukum Islam. Waallahu a’lam.

Rujukan:
1. Ringkasan Riyadhus Shalihin Imam an-Nawawi
2. 300 Hadis Bimbingan Ke Arah Mencari Reda Allah
3. Al-Quran dan terjemahan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami