Keluarga

Filem Searching : Realiti Dan Dilema Ibu bapa Era Digital

Oleh Noor Afidah Abu Bakar  •  20 Apr 2019  •  7 min baca

“You don’t always know your kid. And that is never your fault”

Sudah lama saya mencari filem yang boleh menerangkan dan menterjemah istilah digital footprint, sharenting, online grooming, technoference dan pelbagai istilah baru era digital yang sering saya sebut dalam penulisan saya dan sesi-sesi saya. 

Baru kini saya berpeluang menonton filem Searching yang diterbitkan pada tahun 2018 dan kini ditayangkan di Netflix. 

Tidak ada adegan yang tidak elok atau tidak senonoh dalam filem ini. Tidak ada adegan bercium atau berpeluk. Bahasa yang digunakan juga elok. 

Filem ini diklassifikasikan sebagai 13+. Temanya mungkin berat dan tidak sesuai untuk tontonan bersama anak kecil tetapi digalakkan untuk ditonton bersama anak remaja dan berbincang dengan mereka. 

Filem ini banyak menterjemahkan istilah baru yang saya sebut di atas yang telah dicipta bagi menggambarkan amalan baru yang wujud dalam keluarga dan masyarakat pada era digital ini sejajar dengan perkembangan teknologi.

Filem bergenre thriller ini memaparkan ketegangan yang dihadapi oleh seorang ayah yang mencari anak perempuannya yang hilang. 

Jika anda mempunyai anak remaja perempuan dan anda tidak kuat semangat, jangan menonton filem ini. 

Ia menggambarkan realiti keluarga dan ibu bapa pada masa kini di mana kita dan anak-anak kita dikelilingi oleh teknologi dan budaya digital, sama ada kita suka ataupun tidak.

Sekiranya anda seorang ayah atau ibu yang mahir tentang teknologi, internet dan apps, anda tentu dapat kaitkan penggunaan teknologi dan media sosial dalam filem ini dengan diri anda sendiri dan anak-anak.

Sekiranya anda seorang ayah atau ibu yang hanya mengetahui Facebook dan Whatsapp, maka mungkin filem ini akan menyedarkan anda bahawa dunia digital adalah jauh lebih luas daripada itu.

Lebih-lebih lagi jika anak-anak anda diizinkan untuk melayari internet dengan peranti digital milik mereka ataupun milik anda. Mereka yang sering berkata;

“Aku dulu begitu begini… .aku jadi orang jugak, aku baik tak macam budak-budak sekarang…”

Anda juga dialu-alukan untuk menonton filem ini agar anda faham betapa berbezanya realiti kehidupan kanak-kanak dan remaja sekarang berbanding dengan zaman kanak-kanak dan remaja anda dahulu. 

Mungkin juga anda belum mempunyai anak remaja untuk memahami cabaran yang perlu dihadapi oleh remaja masa kini. 

15 Realiti Kehidupan Dan Keibubapaan Masa Kini

#1- Ibu bapa Perlu Mempunyai Pengetahuan Teknologi

Media sosial dan platform digital perlu ibu bapa ketahui kerana semua ini adalah sebahagian dari dunia anak-anak kita sekarang. Mereka hidup dalam zaman yang berbeza daripada kita.

Jika kita tidak mengambil tahu, kita tidak akan tahu pengaruh baik dan buruk ke atas mereka dan tidak akan faham dunia dan kehidupan mereka. 

Tahukah anda pada tahun 2019 ini terdapat lebih dari 60 platform media sosial, bukan hanya Facebook, Instagram, Whatsapp dan Twitter sahaja? Tahukah kita di platform manakah anak kita ‘merayau-rayau’ apabila melayari internet?

#2- Tidak Memahami Identiti Sebenar Anak

Mungkin akan tiba satu tahap di mana kita merasakan bahawa kita tidak lagi mengenali anak kita. Anak remaja akan melalui perubahan hormon dan juga perubahan struktur otak.

Keadaan ini yang akan menjadikan dia lain daripada dirinya sewaktu kanak-kanak. Ini adalah realiti yang perlu kita terima. Akui seorang ayah di dalam filem ini;

“She is acting like a totally different person”

#3- Memendam Rasa

Anak yang baik juga boleh tersilap langkah sekiranya dia bersangka-sangka dengan ibu bapanya sendiri dan tidak mahu meluahkan masalah yang ditanggungnya. 

#4- Perkara Luar Jangkaan Boleh Berlaku

Walaupun ibu bapa tegas atau garang dengan anak, perkara yang kita harapkan tidak berlaku boleh berlaku disebabkan oleh faktor yang di luar kawalan kita.

#5- Komunikasi Online

Komunikasi di antara ibu bapa dan anak-anak lebih banyak berlaku secara online sekarang ini.

Ini adalah sesuatu yang normal disebabkan oleh kesibukan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti mereka dan juga kesibukan ibu bapa dengan tugas masing-masing. 

#6- Kenali Rakan Anak-Anak

Pentingnya supaya ibu bapa tahu dan kenal rakan-rakan baik anak dan seeloknya kenal ibu bapa mereka juga.

Ibu bapa juga perlu menyimpan nombor telefon rakan-rakan baik anak kerana ia mungkin diperlukan ketika waktu kecemasan atau kemalangan.

#7- Mengenali Rapat Anak Anda

Apabila kita rapat dengan anak, barulah kita akan betul-betul kenal anak kita. Kata seorang ayah yakin tentang anaknya kerana dia mempunyai hubungan yang rapat dengan anak perempuannya dari kecil lagi.

“I know my daughter, she did NOT run away”

 

#8- Menjauhi Konflik

Sebagai ibu bapa anak remaja, adakalanya kita berada dalam dilema memikirkan cara untuk merapati anak kita.

Perkara yang penting bagi kita mungkin perkara remeh bagi anak, manakala apa yang penting bagi anak, kita anggap remeh. Konflik boleh berlaku disebabkan oleh perbezaan ini.

#9- Ibu Bapa Sanggup Berkorban Segalanya

Ada ibu bapa yang akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan anak dari kesusahan. Seorang ibu meyakinkan anaknya dalam filem ini;

“Mummy is going to take care of everything”

Adakah amalan Helicopter Parenting sebegini membantu anak ataupun membawa rebah?

#10- Ancaman Terhadap Anak Anda

Maksud ‘friend’ pada zaman sekarang memerlukan penilaian semula. Adakah kawan online dikira sebagai kawan? Perkara ini perlu dibincangkan dengan anak-anak yang terdedah kepada interaksi online.

Menganggap orang yang dikenali hanya secara online sebagai kawan mungkin akan mengancam keselamatan anak.

#11 – Pelbagai Sifat Netizen

Apabila telah tular sesuatu tentang kita atau anak kita, ada netizen yang akan memuji, ada yang akan mengecam dan ada yang akan mengkritik

Bahkan kita dan keluarga kita akan dihakimi oleh orang ramai tanpa mengetahui duduk perkara yang sebenar. Itu lumrah kehidupan di alam digital. 

#12- Individu Yang Mengambil Kesempatan

Ada individu yang akan mengambil kesempatan apabila sesuatu menimpa ke atas kita. Ramai yang cuba meraih populariti di media sosial sekarang ini dengan menangguk di air keruh.

Apabila kita terkenal, ramailah yang dahulunya tidak bersahabat dengan kita akan mula mendekati kita kerana ingin menumpang ‘glemer’ dan mendapatkan perhatian.

Begitu juga jika sesuatu yang buruk menimpa kita, mungkin ada yang tidak begitu mengenali kita akan menokok-tambah cerita seolah-olah mereka sangat mengenali kita. Itu juga lumrah di media sosial.

#13- Keselamatan Maklumat Peribadi

Semua data dan maklumat di akaun media sosial yang kita atau anak kita miliki, semua gambar, video dan teks tentang kita yang dimuatnaik ke internet, waima maklumat online banking sekalipun akan menjadi Digital Footprint kita sampai bila-bila. 

Dalam filem ini, digital footprint anak membantu ayah yang mahir tentang teknologi untuk menjejaki anaknya yang hilang. Digital footprint ini membawa kebaikan bagi keluarga tersebut.

Walau bagaimanapun kita perlu sedar bahawa Digital Footprint ini juga boleh disalahgunakan oleh orang lain sehingga mengancam keselamatan dan ketenangan kehidupan kita.

Ada yang boleh menggunakannya untuk mengugut, membuli dan memalukan kita atau anak-anak kita. Perkara ini perlu diperbincangkan dengan anak-anak. 

#14- Penyamaran

Ada individu yang akan menyamar di atas talian untuk mendekati anak-anak kita untuk menjadikan anak mangsa niat jahat mereka. Proses ini dikenali sebagai Grooming.

Mereka tidak menggunakan identiti sebenar malah ada yang akan menggunakan identiti orang lain untuk mendapatkan keyakinan anak kita.

Mereka akan menggunakan digital footprint anak kita untuk mencari maklumat peribadi. Mereka akan bermain dengan emosi melalui maklumat peribadi yang mereka perolehi sehingga anak yakin yang mereka memahami masalah yang dihadapi oleh anak. 

Anak akan merasakan ada persamaan di antara mereka, dan ada insan yang memahami, maka anak akan sanggup melakukan apa sahaja untuk pemangsa itu. 

Filem ini memaparkan proses tersebut dalam konteks yang sedikit berbeza namun konsepnya sama. Ini harus diperbincangkan dengan anak-anak juga supaya mereka tidak menjadi mangsa.

15- Pelbagai Platform Online

Antara platform online dan media sosial yang dipaparkan dalam filem ini adalah Gmail, Facetime, Youtube, Instagram, Twitter, Facebook, Venmo, Crowdchase, Youcast, Reddit, Tumblr dan beberapa lagi yang mungkin kita kenali ataupun mungkin kita tidak biasa. 

Anak-anak kita membesar pada zaman yang berbeza daripada kita. Oleh itu, berhati-hatilah dan ingati pesanan ini;

Didiklah anak-anak mengikut zaman di mana mereka dibesarkan. Sayyidina Umar Al-Khattab


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Noor Afidah Abu Bakar

Beliau merupakan 'Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)'. Beliau boleh dihubungi melalui FB Parent Connect. Lulusan MA Early Childhood Education di University of Sheffield.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami