Semalam, kawan aku mengadu, katanya ibunya tidak pernah memahaminya. Selalu sahaja memarahinya dengan perbuatan yang dia lakukan.
“Aku buat ini tidak kena, itu tidak elok. Kalau aku diam pun, lagilah tak kena.”
Hari ini pula, seorang sahabat menelefon lagi lalu meluah nasib, tidak tahan asyik kena marah dengan rakan sebiliknya.
“Roomate aku ini asyik suruh aku bangun subuh awal. Selalu marah aku tidur lepas subuh. Aku penatlah, nak rehat sekejap pun tak boleh.”
Saban hari, macam-macam cerita yang aku dengar. Luahan demi luahan. Apa yang mampu, aku hanya boleh memberikan nasihat supaya lebih kental dalam menerima teguran yang telah diberikan oleh orang-orang sekeliling mereka walau ia pahit seperti pahitnya kopi.
Kawan-kawan, apabila ditegur, diamlah. Jangan sampai emosi kita pada waktu itu mengubah suasana sehingga menimbulkan persengketaan. Ambil dari sudut yang positif. Mungkin, sesetengah daripada nasihat atau teguran sahabat itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri.
Kadang-kadang rasa pahit untuk menelan teguran dan nasihat itu. Rasa nak marah kembali pun ada. Namun, sebenarnya sesetengah teguran yang diberi adalah untuk kebaikan diri kita sendiri.
Teguran itu adalah sesuatu yang baik. Allah juga menegur hamba-Nya dengan berbagai-bagai cara, kisah dan peristiwa untuk dijadikan teladan petunjuk.
عن أبي رقية تميم بن أوس الداري رضي الله عنه, أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: «الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ» قلنا: لمن؟ قال: «لله, ولكتابه, ولرسوله, لأئمة المسلمين وعامتهم». رواه مسلم
“Dari Abu Ruqayyah Tamim bin Aus ad-Daary RA, bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Agama itu nasihat.” Kami pun bertanya: “Hak siapa nasihat itu?” Baginda menjawab: “Nasihat itu adalah hak Allah, KitabNya, RasulNya, pemerintah kaum muslimin dan rakyatnya (kaum muslimin).” (Hadis Riwayat Muslim)
Islam itu sendiri adalah agama yang penuh dengan nasihat, agama yang wasatiyyah tetapi syumul. Lihat sahaja dalam al-Quran, penuh dengan kisah-kisah teladan dan pengajaran yang diselit untuk kita. Sirah-sirah dan kisah para nabi dan sahabat juga mampu memberi kita seribu satu makna. Jika diamati, banyak lagi yang boleh dipelajari dari Islam.
إِنَّ هَـٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا كَبِيرًا
Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. (Surah Al-Isra’, 17:9)
Apabila kita ditegur, tidak kiralah oleh ibu bapa, rakan sekerja, teman serumah hatta sesiapa sahaja sekalipun, jangan terus memberontak. Jika merasa diri tidak mampu untuk menerima teguran itu, terutamanya jika diberikan secara pedas, jangan marah. Redakan sekejap kemarahan anda dengan berlalu dari situ, bimbang terlalu lama berada di situ, ada pula pergaduhan yang bakal tercetus nanti.
Kemudian, lapangkan fikiran anda. Tarik nafas sedalam-dalamnya. Muhasabahlah. Kenapa dan mengapa seseorang itu memberikan teguran tersebut kepada anda.
Mungkin kerana kesilapan anda sendiri atau mungkin juga kerana kelemahan yang ada.
Ambillah nasihatnya itu dari sudut yang positif. Walaupun mungkin cara penyampaiannya terlalu kasar dan tidak sesuai dijadikan sebagai cara untuk menegur, namun ambillah input yang ada.
Walau sepahit mana pun nasihat yang keluar dari mulut ibu anda, walau kasar mana teguran yang keluar dari mulut kawan anda, namun terimalah dengan hati yang terbuka untuk memperbaiki diri anda.
Walau bagaimanapun, jika ingin menegur, maka tegurlah dengan baik. Ada beberapa adab yang perlu dipatuhi untuk seseorang yang ingin menasihati agar tidak mengguris mana-mana pihak yang mendegar apatah mengaibkan pihak yang ditegur. Antaranya ialah:
Setiap sesuatu itu dimulai dengan niat. Kenapa anda ingin menasihati seseorang? Adakah sebab anda benci kepadanya atau terlalu benci dengan perangainya sahaja atau mungkin kerana anda sayang kepadanya dan tidak suka perangainya menjadi sedemikian. Baikilah niat anda terlebih dahulu kerana dengan niat boleh mempengaruhi gaya penyampaian dan cara penerimaan seseorang kepada anda.
Mensihati seseorang itu adalah tanggungjawab semua orang yang perlu digalas. Ia perlu dilakukan tanpa mengira waktu dan tempat. Jika terlihat sesebuah kesilapan, maka tegurlah dengan baik dan secara hikmah. Anda juga boleh memberi nasihat secara terbuka di media sosial tanpa perlu mengaibkan seseorang.
Jagalah aib orang yang anda nasihati. Jangan menyebarkan kesalahannya kepada umum atau berbisik dengan orang lain mengenai kesilapan yang dilakukannya. Elakkan dengan menegur dengan nada suara yang tinggi dan di khalayak sehingga menjatuhkan air muka seseorang. Jika anda mahu seseorang itu menerima nasihat anda dengan baik, maka anda juga perlu menegur dengan cara yang terbaik.
Buat anda yang menegur, tegurlah dengan cara yang terbaik, dan buat anda yang sedang ditegur, terimalah dengan hati yang lapang dan terbuka untuk kebaikan diri anda juga walau ia pahit seperti kopi kerana dengan kepahitan itulah mampu membuka mata anda.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.