Gaya Hidup

Pegang Erat Tali Ukhuwah Persahabatan Kita Hingga Hujung Nyawa (Siri 2)

Oleh Wan Zuriati Wan Jusoh  •  18 Apr 2019  •  3 min baca

Pada siri terdahulu telah disebutkan mengenai tiga tips mengarahkan persahabatan kita ke arah ketaqwaan kepada Allah, persis persahabatan baginda Nabi Muhammad S.A.W dengan para sahabatnya. Maka siri ini disambung kembali.

#4- Tidak Membuka Aib Sahabat

Menjadi sahabat yang baik juga mestilah dengan menjadi sahabat yang menyembunyikan aib dan keburukan sahabat kita. Setiap dari kita punya aib yang tersembunyi dan setiap keaiban itu hanya di sisi Allah lah segala pembalasan yang baik atau buruk.

Bukan tugas kita sebagai manusia untuk menghakimi dan menyebarkan keburukannya. Apabila tiba aib seseorang sahabat kepada kita. Maka biarkanlah berita itu terhenti sampai di situ dan usah menyebarkannya lagi. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Adakah kamu suka memakan daging saudara yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya” Surah al Hujurat :12

Menyebarkan keaiban dan keburukan seseorang adalah suatu perbuatan dosa yang seharusnya kita jauhi. Ianya diibaratkan seperti kita memakan daging saudara sendiri yang telah mati. Lalu sanggupkah lagi kita melakukan sedemikian?

#5- Mengungkapkan Cinta Dan Kasih Sayang

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

“Apabila seseorang itu mengasihi saudaranya, maka hendaklah ia memberitahunya bahawa dia kasih kepadanya”Riwayat Abu Dawud

Mengungkapkan rasa cinta dan kasih sayang akan membuatkan perhubungan persahabatan menjadi lebih erat dan rapat.

Ianya juga akan mewujudkan perasaan bahagia dan saling mempercayai di dalam perhubungan. Oleh itu, praktikkanlah untuk sentiasa mengungkapkan rasa cinta kepada sahabat kita.

#6- Sentiasa Mendoakan Kebaikan Buat Sahabat

Persahabatan juga harus diselangi dengan mendoakan kebaikan buat sahabat. Doa yang tulus dan ikhlas daripada seseorang sahabat akan sentiasa diperkenankan oleh Allah S.W.T. Malah orang yang sentiasa mendoakan kebaikan pada orang lain juga turut di doakan oleh para malaikat. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang berdoa buat saudaranya dalam keadaan tersembunyi, berkata malaikat yang menjaganya “Ya Allah perkenankanlah dan kamu (orang yang berdoa) juga beroleh seperti itu (seperti yang didoakan buat saudaranya)”

Mendoakan seseorang sahabat ini bukan sahaja ketika sahabat kita berada di sisi kita namun turut mendoakan walaupun sahabat kita telah pun meninggal dunia. Kerana kiriman doa akan sentiasa sampai kepada mereka.

Sebagai kesimpulannya, Islam begitu menyanjung tinggi mereka yang menjalinkan persahabatan ikhlas kerana Allah. Bahkan setiap dari sahabat ini mampu memberikan pertolongan kepada sahabatnya di akhirat kelak.

Rasulullah S.A.W adalah seseorang yang sangat baik terhadap para sahabat yang mana baginda sanggup berkorban demi kesenangan sahabatnya begitu juga sebaliknya.

Semoga perkongsian di atas membantu kita untuk menjadi seorang sahabat yang lebih baik bukan hanya di dunia dan di akhirat.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Wan Zuriati Wan Jusoh

Merupakan anak kelahiran Kelantan Darul Naim. Telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi Dan Dakwah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Berminat di dalam pembacaan buku pelbagai genre dan turut aktif di dalam bidang penulisan dan kini sedang bergelar sebagai seorang pendidik di Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kuala Krai Kelantan.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami