Gaya Hidup

Seimbangkan Antara Akhirat Dan Dunia Dengan Qanaah

Oleh Fizah Lee  •  18 Apr 2019  •  4 min baca

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Maksud: Kekayaan tidaklah diukur dengan banyaknya harta, namun kekayaan yang hakiki adalah kekayaan hati.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Pernah kita dengar, kaya yang sebenar diukur melalui hati budi, adab dan nilai agama dalam diri seseorang itu. Setakat kaya dengan harta tetapi perangai macam sampah, lebih baik pergi jauh-jauh. Setakat ada rupa, ada harta tetapi dilabel biadab, lebih baik tidak dekat dengan sesiapa.

Jadi, lebih baik tak perlu jadi kaya, sebab hati budi dah ada, kan?

Tak perlu duit yang banyak sebab nilai agama dah ada, kan selalu pergi masjid?

Bukan itu yang dimaksudkan.

Bukankah Rasulullah SAW sendiri telah bersabda yang bermaksud:

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah; dan pada keduanya ada kebaikan.”
(Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Ibnu Majah)

Jadi, kedua-duanya ada kebaikan yang tersendiri, kedua-dua keadaan adalah pelengkap untuk hidup di dunia. Qanaah yang berharta. Allah menyayangi hambaNya yang boleh memberi manfaat buat semua dan Allah juga mengasihi hambaNya yang sentiasa gigih mencari rezeki.

Namun, dalam hal ini, kita perlu meletakkan nilai dan adab lebih tinggi daripada segalanya. Jika punya wang dan harta yang tidak terkira banyaknya, maka kayakanlah adab dan nilai dalam diri anda juga.

Bukankah Allah telah mengajar hambaNya supaya sentiasa bersifat qanaah?

Apa Itu Qanaah

Qanaah berasal daripada Bahasa Arab yang bermaksud berpada-pada. Manakala, dari segi istilahnya, ia membawa maksud sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang telah Allah kurniakan.

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ

Maksud: Beruntunglah orang yang berislam, dikurniakan rezeki yang cukup, dan dia dijadikan menerima apa pun yang dikurniakan Allah (kepadanya)

(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Abdullah bin’Amr di atas, Rasulullah SAW menyifatkan golongan ini sebagai golongan yang beruntung kerana mereka tidak pernah berlebih-lebihan dalam harta dan kekayaan yang dimiliki, malah sentiasa bersyukur dengan rezeki yang ada.

Orang yang bersifat qanaah ini sentiasa percaya dan yakin bahawa rezeki yang dikurniakan adalah milik Allah dan tidak akan pernah putus. Mereka percaya bahawa rezeki Allah akan sentiasa ada seperti mana rezeki yang sentiasa diberikan kepada ciptaanNya yang lain.

وَمَا مِن دَآبَّةٍ فِي الأَرْضِ إِلاَّ عَلَى اللّهِ رِزْقُهَا

Tidak ada satu pun makhluk bergerak (bernyawa) di bumi melainkan semuanya dijamin rezekinya oleh Allah

(Surah Hud :6)

Ciri-Ciri Qanaah

Orang yang bersifat dengan sifat qanaah ini sentiasa merasa lapang dengan hidupnya walaupun banyak kesempitan yang dialami. Antara sifat yang kita dapat lihat ialah:

#1 – Menerima Dengan Sabar

مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ آمِنًا فِي سِرْبِهِ، مُعَافًى فِي جَسَدِهِ، عِنْدَهُ قُوتُ يَوْمِهِ، فَكَأَنَّمَا حِيزَتْ لَهُ الدُّنْيَا

Maksud: Barangsiapa yang merasa aman atas keluarganya, sihat badannya, ada sesuatu yang dimakan pada harinya maka seakan-akan dunia menjadi miliknya. (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Setiap ujian yang ditempuh, kesusahan yang dialami dan masalah yang berlaku sentiasa diterima dengan hati yang sabar. Dirinya tidak pernah mengeluh dengan kehidupan yang dijalani itu malah sentiasa bersyukur kerana dia yakin dengan janji Allah bahawa setiap orang yang beriman akan sentiasa mendapat ujian.

Ini ada disebut melalui kalam Allah yang bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Surah al-Ankabut, 29:2)

#2 – Tidak Tertipu Dengan Duniawi

Golongan ini sentiasa bersyukur dengan rezeki dan nikmat yang diperoleh. Mereka tidak akan terpedaya dengan nikmat dan syurga dunia.

Setiap rezeki yang diperoleh akan sentiasa dilaburkan ke jalan yang diredai Allah, bukannya dengan menggunakannya ke jalan yang sia-sia.

#3 – Sentiasa Berdoa Dan Bertawakkal

Golongan ini akan sentiasa berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal dan diredai Allah, malah dijaga setiap urusan dan usaha yang membawa kepada rezeki tersebut agar menepati cara Islam. Mereka juga tidak merungut dengan apa yang telah diatur dalam hidupnya serta sentiasa berdoa dan bertawakkal bagi mendapatkan rezeki yang berkat.

Melalui firman Allah yang bermaksud:

“(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakkal). (Surah al-Imran, 3:122)

Kesimpulan

Dalam hidup ini, kita harus sentiasa yakin dengan rezeki dan nikmat yang Allah aturkan buat diri kita. Setiap perkara yang berlaku ada hikmah tersendiri yang Allah ingin berikan kepada kita – untuk menjadikan setiap dari kita sebagai seorang muslim dan mukmin yang kuat.

لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا يُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا

Maksud: Andaikan kalian benar-benar bertawakkal kepada Allah, nescaya kalian akan mendapatkan rezeki sebagaimana burung memperoleh rezeki. Dia pergi di pagi hari dalam keadaan perut kosong, lalu pulang di petang hari dalam keadaan perut kenyang.

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Rujukan:Rumaysho.Com


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami