Iman adalah satu anugerah Allah S.W.T yang sangat bernilai kepada hamba-hambaNya.
‘Iman tidak dapat dijual beli, ia tiada di tepian pantai’
Begitulah antara ungkapan jelas yang disebut dalam sebuah nasyid terkenal dari kumpulan Raihan. Iman bukan sebarang perkara. Ia diberi dan dikurniakan kepada insan yang terpilih sahaja.
Kita sepatutnya bersyukur apabila kita dilahirkan dalam keluarga Islam. Janganlah mensia-siakan anugerah Islam yang cukup besar dalam kehidupan ini.
Keimanan perlulah dipelihara daripada kesyirikan kepada Allah S.W.T dan sebarang perkara yang menjejaskan dan merosakkan iman.
Elakkan daripada menganggap apabila seseorang ayah itu baik maka akan baiklah anaknya (Secara umumnya, anak akan baik apabila keluarganya baik. Namun ada juga yang dikurniakan anak yang tidak baik).
Ada anak yang tidak mengikut ‘jejak keimanan’ ayahnya. Mengapakah ini boleh berlaku? Kerana iman tidak dapat diwarisi. Iman hadir kepada insan yang terpilih.
Oleh itu, kita janganlah mudah menghina dan mengutuk seorang ayah yang baik disebabkan anaknya seorang yang tidak sama perilaku seperti ayahnya.
“Apalah! Ayah ustaz, anak jahat!”
“Anak berserban. Ibu pula tak tutup aurat!”
Hentikan mulut kita daripada mendapat dosa dari terus mengumpat mereka. Lihatlah diri kita terlebih dahulu, ditahap mana iman dan kualiti ibadah kita.
Selain itu, berdoalah semoga mereka diberi taufiq dan hidayah. Berhentilah dari terus menghina. Gantilah dengan doa yang baik-baik.
Sebahagian manusia lagi, mereka tidak dapat menerima seruan kebaikan dari seseorang kerana sikap anak atau isteri penyeru tersebut.
Contoh mudah, seorang ustaz namun anaknya tidak menutup aurat apabila keluar rumah. Apa perlu kita buat? Terimalah seruannya selagi mana apa yang disampaikan olehnya adalah baik dan bermanfaat kepada kita.
Umur kita singkat. Masa kita janganlah dibazirkan dengan terus mengutuk dan menghina orang lain. Masing-masing ada kelemahan dan kekurangan.
Bersangka baiklah. Mungkin ustaz tersebut sudah memberi nasihat dan teguran kepada anaknya, namun anaknya tidak mahu mendengarnya. Fikir positif!
Mari sama-sama kita singkapi kembali kisah Nabi Nuh yang dirakam di dalam al-Quran. Kisah Nabi Nuh diceritakan panjang lebar di dalam al-Quran, penulis hanya mengambil beberapa petikan ayat terpilih yang bersesuaian dengan tajuk artikel ini.
“(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: “Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir. Anaknya menjawab: “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air”. Nabi Nuh berkata: “Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya”. Dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.Surah Hud 11:42-43
Pada ayat yang lain dalam surah yang sama.
“Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”. Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”Surah Hud 11:45-46
Nabi Nuh adalah kekasih Allah dan utusan Allah. Walaupun baginda seorang utusan Allah, anaknya tidak beriman kepada seruannya.
Jika kita mengambil pengajaran dalam ayat di atas, InshaaAllah kita tidak perlu hairan ada insan di dunia yang mempunyai sifat yang berbeza berbanding keluarganya. Inilah satu bukti iman tidak dapat diwarisi, meskipun ayahnya beriman.
Iman bagi manusia biasa seperti kita adakala bertambah dan berkurang. Beza dengan iman para rasul yang sentiasa akan bertambah. Dan iman malaikat pula sentiasa sama dan tidak berubah.
Persoalannya, iman memang tidak boleh diwarisi tetapi bagaimana untuk menambah keimanan kita? Untuk menjaga keimanan kita? Untuk memperbaiki iman? Antara amalan dan cara untuk menambah iman adalah:
#1- Menghadiri majlis ilmu, atau usrah yang diadakan. Dengan ilmu kita dapat mengenal mana yang betul dan mana yang salah.
#2- Memohon bantuan kepada Allah. Allah yang memberi keimanan maka janganlah ditinggalkan amalan berdoa memohon ditetapkan keimanan kita.
#3- Banyakkan membaca buku yang berilmiah (termasuk membaca al-Quran). Sering mengkaji dan membaca semoga apa yang dibaca memberi kebaikan kepada kita.
#1- Bersyukur kerana kita dikurniakan nikmat Iman dan Islam. Jagalah dengan sepenuh hati.
#2- Iman tidak seperti harta dunia yang boleh diwarisi. Ia adalah pemberian khusus dari Allah S.W.T.
#3- Jangan memandang serong seseorang yang baik kerana sikap keluarganya yang berbeza dengannya. Mungkin dia sudah berusaha semampunya dan telah berserah kepada Allah.
#4- Berhenti dari terus menghina tetapi berdoalah kepada Allah S.W.T. Berdoa lebih baik dari menghina.
#5- Ambil iktibar dan pengajaran dari kisah Nabi Nuh. Ayah atau ibu yang baik bukan jaminan anaknya turut menjadi baik.
Inspirasi dari:
Lagu Nasyid Raihan-Iman Mutiara
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.