Ibadah

Anda Juga Punya ‘Bodyguard’

Oleh Tim Tazkirah  •  25 Mar 2019  •  4 min baca

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

(Bismillaahi Tawakkaltu ‘Alallaah Laa Haula wa Laa Quwwata Illaa Billaah)

Mafhumnya: “Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Nya.”

Kita Semua Ada Bodyguard

Pernahkah anda terdetik di hati, beruntungnya mereka yang kaya, boleh upah driver untuk ke mana-mana, boleh punya bodyguard apabila rasa tak selamat keluar rumah dan macam-macam lagi? Tambahan pula, dengan dunia yang semakin bahaya,setiap hari ada sahaja cerita yang tidak enak keluar di berita.

Apabila ditanya, adakah anda punya bodyguard?

Jawabnya, mestilah tidak. Upah untuk seseorang bodyguard atau pengawal periadi ini sudahlah mahal. Mana cukup duit nanti nak bayar bil rumahlah, nak beli makanan untuk anak-anaklah, nak kirim duit kepada ibu bapa di kampunglah dan macam-macam lagi jawapan yang bermain di minda anda.

Sedarkah anda, dalam diam sebenarnya, kita semua mempunyai bodyguard?

Pasti anda musykil, bukan? Siapa pula bodyguard kita?
Jawapannya, Allah ‘azza wa jalla. Dialah tuhan sekalian alam yang sentiasa memerhati dan melihat kita. Yang sentiasa melindungi kita dan mengetahui setiap gerak-geri hamba-Nya.

Menerusi satu wawancara yang telah dilakukan terhadap Muhammad Ali, Sang Lagenda Tinju Dunia apabila telah ditanya mengenai bodyguard.

Lalu beliau menjawab:

“Saya ada bodyguard. Dia tidak punya mata, namun dia Maha Melihat, Dia tidak punya telinga, namun Dia Maha Mendengar walau dalam diam dan jauh di sudut hati setiap makhluk, Dia Maha mengingat setiap yang terjadi walau Dia tidak punya memori. Apabila Dia berhajat kepada sesuatu, Dia hanya mengarahnya, dan ia akan menjadi kenyataan. Tetapi arahan-Nya tidak menggunakan mulut atau perkataan. Teka siapakah Dia? Dialah Allah. Tuhanku dan Tuhanmu.”

Bacalah Doa Ini

Setiap hari sebelum kita keluar rumah, adakah terdetik di hati kita, adakah aku dilindungi pada hari ini? Bagaimana kalau terjadi musibah padaku?

Wahai pembaca, ingatlah kita semua punya Allah. Allah itu sifatnya Maha Melihat, Maha Melindungi hamba-Nya walau di mana jua mereka berada dan Maha Mengetahui setiap apa yang terbuku di hatinya.
Jangan takut kepada benda lain, tapi takutlah hanya kepada-Nya. Mintalah perlindungan hanya kepada Allah. Bacalah doa sebelum melakukan apa jua perbuatan.

Pernahkah anda mendengar sebuah nasyid yang pernah didendangkan oleh sebuah kumpulan nasyid, iaitu Raihan yang cukup popular sehingga kini? Rentaknya berbunyi:

Dimulakan dengan Bismillah,
Disudahi dengan Alhamdulillah,
Begitulah sehari dalam hidup kita,
Mudah-mudahan dirahmati Allah.

Justeru, bacalah doa ketika keluar daripada rumah agar kita semua dilindungi Allah sentiasa.

Doa di atas diriwayatkan telah oleh Anas bin Malik, Nabi Muhammad saw bersabda, “Apabila seseorang keluar dari rumahnya lalu membaca:

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

“Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Nya.”

Baginda bersabda, dikatakan pada saat itu, “Engkau telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dijaga. Maka syaitan menjauh darinya sehingga syaitan yang lain berkata kepadanya, “Apa yang boleh engkau lakukan terhadap seseorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dijaga?”

Doa ini menunjukkan pergantungan kita hanya kepada Allah. Walaupun baginda merupakan seorang nabi yang sudah pasti dijamin keselamatannya, namun baginda tetap menadah tangan memohon perlindungan hanya kepada Allah sebelum keluar dari rumah untuk menyelesaikan setiap urusan baginda.

Manfaat Membaca Doa Ini

Selain daripada ia merupakan amalan sunnah yang perlu diamalkan oleh kita, ia juga mempunyai beberapa manfaat lain yang boleh diperoleh agar kehidupan seharian kita diberkati Allah. Antaranya ialah:

#1 – Sentiasa Mendapat Petunjuk

Petunjuk Allah itu Maha Luas. Allah sentiasa memberi petunjuk buat hamba-hamba-Nya yang bertawakkal kepada-Nya. Mohonlah petunjuk Allah ketika keluar daripada rumah supaya setiap perbuatan kita pada hari itu diberkati oleh-Nya

#2 – Dilindungi daripada Gangguan Musuh

Jika diamati, doa ini sangat pendek dan ringkas, namun ia mempunyai maksud yang sangat mendalam. ‘Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan-Nya’. Ini bermaksud hanya Allah sahaja yang mempunyai segala kekuatan dan kekuasaan di langit mahupun di bumi.

Berpeganglah kepada doa ini, insya-Allah akan sentiasa dilindungi oleh-Nya selalu.

#3 – Benteng Dari Syaitan

Tugas syaitan adalah untuk menggoda dan menghasut anak Adam dan seluruh keturunannya. Doa ini mampu menjadi benteng untuk melindungi diri kita daripada hasutan dan godaan syaitan. Setiap keburukan yang terjadi dan berlaku kepada diri kita sebenarnya adalah ujian daripada Allah. Tetapi setiap ujian itu mampu dielakkan jika kita bertawakkal kepada-Nya.

Sebuah riwayat ada menceritakan mengenai sabda Rasululllah saw, iaitu:

“Bagaimana mungkin kalian boleh mengganggu orang yang telah diberi petunjuk, dicukupi dan dilindungi?” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Al-Albani)

Semoga kita semua sentiasa berada dalam perlindungan-Nya. Yakinlah bahawa bodyguard anda sentiasa menjaga anda.

Sumber: Youtube


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Tim Tazkirah

tzkrh.com merupakan wadah untuk komuniti Islam saling berkongsi ilmu pengetahuan, pandangan dan pengalaman mereka sebagai satu peringatan untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami