Gaya Hidup

Ayuh! Kita Warna-Warnikan Dunia Ini

Oleh Wan Zuriati Wan Jusoh  •  26 Mar 2019  •  6 min baca

Kebelakangan ini terlalu banyak isu-isu yang mulai timbul di sekeliling kita ini. Jelas terlihat bagaimana kelakuan dan sikap manusia sendiri yang menyumbang kepada pergaduhan, keganasan dan kerosakan.

Sedangkan manusia dijadikan khalifah untuk memimpin dan mencorakkan kehidupan dunia ke arah yang lebih baik.

Namun ternyata apa yang berlaku sekarang tidak lagi mengambarkan manusia itu sebagai pemimpin dan khalifah di muka bumi.

Media sosial serta di dada-dada akhbar banyak memaparkan tentang sikap dan perilaku keganasan manusia yang menimbulkan kerisauan dan agak membimbangkan.

Namun, itu tidaklah menjadi suatu masalah sekiranya kita semua berganding bahu, mahu dan bersedia untuk melakukan perubahan.

Selagi hidup, selagi itulah kita mampu mencipta peluang dan ruang untuk melakukan perubahan. Dan perubahan bermula dengan langkah pertama dan walaupun ianya kecil tetapi sedikit demi sedikit ianya pasti akan menampakkan hasilnya.

Dunia ini lebih indah apabila kita menanamnya dengan sikap-sikap yang positif. Sikap positif adalah kunci kepada semua pintu-pintu kebahagiaan. Sebarkan kasih sayang, toleransi, sikap ambil berat dan cinta antara satu sama lain.

Pada artikel kali ini, ingin dikongsikan kepada anda tips yang mudah namun mampu memberikan impak perubahan yang besar untuk menjadikan dunia ini indah berwarna-warni.

#1- Senyum Untuk Semua

Di dalam hadis yang bermaksud :

“Senyum manismu di hadapan saudara mu adalah sedekah”Riwayat Al Tirmidzi

Senyum bukan sahaja senang malah sesiapa yang memberi senyuman dianggap sedekah dan menjanjikan pahala.

Senyum ini sedikit pun tidak memerlukan tenaga. Jadi bilakah kita harus senyum? Ya jawapannya setiap masa.

Apabila kita berjalan hendak pergi kerja, apabila berkomunikasi dengan orang lain, apabila hendak melakukan urusan jual beli dan apabila berjumpa dengan sesiapa pun di jalanan maka sedekahkanlah senyuman manis itu kepada mereka.

Mungkin sahaja dengan senyuman yang kita beri, malah orang lain turut tersenyum seterusnya kita memberikan sedikit kebahagiaan ke dalam hati-hati mereka. Mudahkan?

#2- Jalinkan Silaturrahim Dan Persaudaraan

Daripada Abu Ayyub Khalid Bin Zaid Al Ansari R.A bahawasanya seorang lelaki berkata:

“Wahai Rasulullah, beritahu aku tentang amalan yang membolehkan aku masuk syurga.” Jawab Rasululullah S.A.W “beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan silaturahim”Riwayat Bukhari dan Muslim

Menghubungkan silaturrahim adalah antara perkara yang dituntut di dalam Islam. Islam sentiasa menyuruh ummatnya untuk menghubungkan silaturrahim sesama saudara dan ianya juga menjadi asbab untuk seseorang itu menempah tempat di syurga Allah S.W.T.

Abu Hurairah R.A berkata di mana Rasulullah S.A.W bersabda:

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan tetamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia menyambungkan hubungan silaturahim”

Perbuatan khianat, tikam belakang, pembohongan dan pendustaan biasanya berlaku kerana kurangnya rasa cinta dan kasih sayang di dalam diri.

Rasa cinta dan kasih sayang ini boleh diterapkan melalui hubungan silaturahim. Hubungan silaturrahim yang erat akan menambahkan nilai kemesraan dan kebahagiaan di dalam diri.
 

#3- Nikmati Dan Syukuri Walau Dalam Hal Yang Kecil

Di dalam al quran Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu” Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmatKU kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKU amatlah keras”Surah Ibrahim: 7

Sentiasalah mengucapkan kesyukuran kepada Allah S.W.T di atas segala nikmat kurniaanNya. Apabila kita tidak belajar untuk mensyukuri maka di hati kita akan timbulnya rasa tidak cukup di dalam apa sahaja yang kita punya sehingga pada akhirnya kita akan mencuba sesuatu yang ditegah dan dicegah oleh Allah asalkan kita mampu mendapatkan apa yang kita mahu.

Oleh itu, didiklah diri agar sentiasa melahirkan rasa kesyukuran dan salah satunya adalah dengan melihat orang lain yang lagi kurang nikmatnya daripada kita.

Jika kita makan nasi berlaukkan ikan, lihatlah masih ramai yang hanya makan nasi tanpa mempunyai lauk pun untuk dimakan bersama.

#4 – Keluarlah Dan Mengembara Melihat Keindahan Alam

Di dalam al quran banyak firman Allah S.W.T yang menyatakan tentang kelebihan serta galakan kepada manusia untuk mengembara ke seluruh dunia untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan melihat kecantikan serta keindahan alam yang diciptakan oleh Allah.

Sebagai hamba Allah perlu kita merasa kagum kerana dapat melihat bukti kebesaran dan keesaan Allah SWT. Allah menjelaskan yang bermaksud:

“Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal berlayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda kemurahanNya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti untuk kamu berfikir bagi tiap-tip mukmin yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur”Surah Lukman : 31

Erti mengembara adalah supaya kita dapat melihat segala nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita.

Manusia juga boleh saling berkenalan dengan bangsa-bangsa lain yang ada dan mampu mengambil pengajaran dan juga iktibar atas peristiwa-peristiwa yang pernah dahulunya berlaku agar manusia mengambil pengajaran dan memberi iktibar di dalam diri. Di dalam Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :

“Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu, mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan ingatlah kepada Allah jualah tempat kembali kamu sesudah dibangkitkan hidup semula, maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya”Surah al Mulk : 15

#5- Berprasangka Baik Di Atas Segala Sesuatu

Kita manusia sentiasa diuji dengan mempunyai berbagai keinginan dan juga kemahuan. Terkadang apa yang kita mahu itu tidak berjalan seperti yang kita inginkan. Namun cuba lihat firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan ingatlah, Allah jualah yang mengetahui semuanya itu, sedangkan kamu tidak mengetahuinya” Surah al Baqarah:216

Mungkin sahaja apa yang kita mahukan tidak dikurniakan segera, namun ada hikmah yang tersembunyi di atas sebab yang lebih baik.

Penangguhan dan ketidakcapaian kita di atas sesuatu adalah kerana Allah mahu menemukan kita dengan sesuatu yang tepat. Percaya dan yakinlah kepada Allah serta bersangka baik.

Amat penting juga untuk kita sentiasa bersangka baik dengan sesam manusia itu sendiri. Carilah alasan dan sebab untuk membuatkan kita tidak bersangka buruk kepada sesama saudara. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa”Surah Al-Hujurat : 12

Perkara yang besar bermula daripada langkah-langkah kecil yang kita lakukan. Ayuh kita bersama mulakan sedikit demi sedikit perubahan untuk membina masa depan dunia yang lebih baik untuk kita dan untuk generasi-generasi yang akan datang.

Selamat beramal dan ayuh kita warna-warnikan dunia yang ini dengan lebih indah!


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Wan Zuriati Wan Jusoh

Merupakan anak kelahiran Kelantan Darul Naim. Telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi Dan Dakwah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Berminat di dalam pembacaan buku pelbagai genre dan turut aktif di dalam bidang penulisan dan kini sedang bergelar sebagai seorang pendidik di Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kuala Krai Kelantan.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami