Keluarga

Ini Kesan Positif Sentuhan Yang Anda Perlu Tahu

Oleh Natirah Azira  •  4 Mar 2019  •  3 min baca

Sentuhan adalah suatu yang penting dalam kehidupan. Namun semakin meningkat dewasa, ramai yang merasakan bahawa sentuhan bukan lagi suatu keperluan. Jika anda yang membaca adalah seorang ibu yang sudah mempunyai anak-anak di usia remaja, anda barangkali sedang menghadapi situasi ini – anak-anak semakin menjauh dan tidak suka disentuh kerana malu terutama apabila berada di hadapan kawan-kawan. Atau anda sendiri suatu masa dulu pernah mengalami pengalaman yang sama.

Walhal kajian menunjukkan bahawa sentuhan adalah penting bagi seorang manusia semenjak lahir hinggalah dewasa. Bayi yang lahir pra-matang dilihat mampu membesar dengan lebih baik (berat bertambah) apabila menerima sentuhan yang positif.

Bayi dan kanak-kanak memerlukan sentuhan supaya mereka berasa selamat dan disayangi. Dalam satu teori psikologi, anak-anak yang mempunyai hubungan ‘attachment‘ (keterikatan) yang baik dengan ibu bapa akan berkembang menjadi seorang yang percaya diri dan ‘secure‘ dalam perhubungan ketika dewasa.

Malah Rasulullah SAW sendiri mengajarkan sahabat tentang kepentingan sentuhan kepada anak-anak seperti dalam hadis di bawah:

أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَبَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الْأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسًا فَقَالَ الْأَقْرَعُ إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنْ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ مَنْ لَا يَرْحَمُ لَا يُرْحَمُ

Bahawa Abu Hurairah RA berkata; “Rasulullah SAW pernah mencium Al-Hasan bin Ali sedangkan di samping baginda ada Al-Aqra’ bin Habis At-Tamimi sedang duduk, lalu Aqra’ berkata; “Sesungguhnya aku memiliki sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium mereka sekali pun, maka Rasulullah SAW memandangnya dan bersabda: “Barang siapa tidak mengasihi maka ia tidak akan dikasihi.” (HR Bukhari No: 5538, Hadis Sahih)

Antara faedah lain yang diperoleh daripada sentuhan seperti:

1. Dapat menambah baik kematangan emosi dan perkembangan minda.

2. Menumbuhkan rasa percaya antara anak-anak dan penjaga mereka.

3. Mengurangkan perasaan stres yang ada.

4. Menguatkan sistem imun badan.

Orang dewasa yang menerima sentuhan dan pelukan pula dapat mengurangkan tekanan darah, serta kurang risiko untuk mendapat masalah depresi (kemurungan) dan juga Alzheimer.

Tiffany Field, seorang pengarah di Institut Kajian Berkaitan Sentuhan di Universiti Miami berkata,

“Jika orang yang anda percaya memegang tangan anda, atau menggosok belakang sebelum anda menghadapi situasi yang tertekan – kadar degupan jantung akan menjadi perlahan dan tekanan darah dan hormon stres juga akan menurun”.

Cuba ingat, apa yang anda rasa apabila menerima pelukan atau sentuhan daripada orang yang rapat contohnya ibu atau sahabat baik. Jika waktu itu anda sedang sedih atau tertekan, pasti anda akan berasa lebih tenang seolah-olah beban terlepas sekejap daripada bahu.

Mungkin ada dalam kalangan kita tidak sukakan sentuhan – tidak suka dipeluk, dipegang atau orang berada dekat. Menurut kajian dalam bidang kaunseling, ia mungkin berpunca daripada kurangnya aktiviti melibatkan sentuhan sewaktu masih kanak-kanak.

Namun, sikap ini masih boleh diperbaiki sedikit demi sedikit dengan membina kepercayaan dengan orang di sekeliling. Malah anda masih boleh mencipta masa depan yang positif dengan membina hubungan yang lebih sihat dengan anak-anak anda melalui sentuhan.

Semoga artikel ini mampu memberi pencerahan dan panduan buat anda berkaitan kepentingan sentuhan. Semoga kita mampu mencipta hubungan yang lebih sihat dan positif dalam keluarga dan orang lain secara umumnya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami