Oleh Natirah Azira • 1 Mar 2019 • 2 min baca
“Pengutip Sampah di Turki Telah Membuka Perpustakaan Hasil Buku-Buku Terbuang”
Apabila terbaca tajuk berita di atas, ingatan saya kembali kepada sebuah filem yang sangat dekat dengan dunia buku, The Book Thief arahan Brian Percival pada tahun 2013, dengan latar belakang masa penguasaan Nazi di Jerman.
Saya masih ingat persis satu adegan dalam cerita tersebut – semua buku dikumpul dan ditimbunkan oleh pihak Nazi untuk dibakar. Dan Liesel sempat mencuri sebuah buku yang tidak sempat hangus. Sesiapa pun yang tinggal di situ tidak dibenarkan memiliki sebarang bahan tulisan selain daripada yang dibenarkan oleh pihak Nazi di sekolah.
“Words are life”
(Kata-kata adalah kehidupan)
Ringkas ucapan Max kepada Liesel, dua watak yang menghidupkan jalan cerita filem tersebut.
Tindakan yang sama diambil oleh para pekerja pembersih dan pengutip sampah di Turki iaitu menyelamatkan buku-buku terbuang. Akhirnya mereka mampu mewujudkan sebuah perpustakaan yang terletak di Cankaya, satu daerah di Ankara.
Pada asalnya buku-buku yang dikumpulkan hanyalah digunakan oleh para pekerja dan juga dipinjam oleh ahli keluarga mereka. Namun, apabila berita tersebut mula tersebar, orang ramai menyokong dan turut sama menyumbang buku-buku terpakai.
Pada awal tahun lalu, perpustakaan tersebut telah mempunyai lebih kurang 6000 buah buku daripada genre sastera hinggalah buku fiksyen. Bahagian lain yang juga diwujudkan seperti bahagian komik dan juga kajian saintifik, malah buku dalam bahasa Inggeris dan Perancis juga ada bagi pengunjung yang mahir dua bahasa.
Sumber gambar: aa.com.tr
Perpustakaan tersebut asalnya adalah kilang batu bata yang kosong tidak digunakan, berdekatan Ibu Pejabat Jabatan Pembersihan. Buku-buku yang ada biasanya diberi pinjam selama dua minggu dan boleh dipanjangkan jika mahu.
Bilangan buku yang ada di dalam perpustakaan tersebut semakin hari semakin bertambah, sehingga dapat dibekalkan kepada sekolah-sekolah di sekitar, program pendidikan dan juga penjara.
“Guru-guru sekolah di kawasan kampung banyak yang meminta bekalan buku”, ujar Datuk Bandar Cankaya, Alper Tasdelen. Malah pihak kerajaan mula bertindak menggaji pekerja untuk menguruskan perpustakaan tersebut.
Tempat itu biasanya dipenuhi oleh kanak-kanak, pekerja perbandaraan, dan juga para pelajar daripada sekolah terdekat. Kemudahan seperti ruang rehat awam juga ada disediakan. Biasanya penunggang basikal yang melalui kawasan tersebut akan berhenti sebentar untuk berehat dan minum teh sambil membaca.
Kata seorang lelaki yang bekerja sebagai pemungut sampah, dia teringin mempunyai perpustakaan di rumah. Namun sekarang, dia gembira kerana mempunyai perpustakaan di tempat dia bekerja.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.