Oleh Natirah Azira • 28 Feb 2019 • 3 min baca
Ayuba Sulayman Diallo telah dilahirkan pada tahun 1701 di kawasan Timur Senegal dalam keluarga Islam yang terhormat. Sejak kecil beliau telah belajar tentang Islam dan menghafal Al-Quran. Beliau juga seorang yang terkenal bijak dan cerdas.
Ketika itu, aktiviti perhambaan manusia masih lagi wujud dan belum diharamkan sepenuhnya oleh undang-undang. Ayuba dan keluarganya juga terlibat dalam aktiviti tersebut, namun malangnya, pada suatu hari Ayuba sendiri ditangkap dan dihantar ke Annapolis, Maryland pada tahun 1731.
Beliau kemudian dijual sebagai hamba kepada keluarga yang menguruskan penanaman tembakau. Selama di bawah pemeliharaan mereka, beliau didera dan diseksa. Apabila Ayuba menunaikan ibadah solat pula, mereka meletakkan kotoran ke badannya ketika solat. Kerap kali beliau ke kawasan hutan terdekat untuk menunaikan solat tanpa gangguan. Hingga sampai ke satu tahap, Ayuba melarikan diri daripada keluarga tersebut tetapi ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.
Di dalam penjara, dia bertemu dengan Peguam Inggeris bernama Thomas Bluett. Thomas tertarik dengan keperibadiaan, kebijaksanaan serta ketaatannya kepada agama. Ayuba telah dikenali dengan nama Job ben Solomon di barat. Bluett menulis tentang Ayuba dalam bukunya yang bertajuk ‘Some Memoirs of The Life of Job’:
“Kemampuan dia mengingat menakjubkan; ketika usianya masih 15 tahun, dia mampu mengingat keseluruhan Al-Quran…”
Ketika di dalam penjara, Ayuba telah menulis surat kepada ayahnya yang telah berhijrah dari Annapolis ke England, namun surat itu sampai ke tangan James Edward Oglethorpe. Surat yang ditulis dalam bahasa Arab tersebut kemudiannya diterjemahkan di Oxford.
James tersentuh membaca surat tersebut dan akhirnya membebaskan Ayuba dengan membayar sejumlah wang dan membawanya ke England pada tahun 1733. Di sana, beliau dilayan secara sama rata sebagaimana orang kulit putih.
Pemandangan tersebut adalah suatu yang ganjil kerana kerana kebanyakan bangsa kulit hitam di sana masih ditindas dan dilayan lebih rendah daripada bangsa Inggeris. Namun, lain halnya bagi Ayuba, beliau bergaul dengan golongan bangsawan dan aktif berdebat dengan paderi tentang hal-hal berkaitan agama. Orang ramai pula kagum dengan kemahirannya berhujah, ketaatannya dalam beragama serta kecerdasan yang dimilikinya.
Gambarnya pernah dilukiskan oleh William Hoare sebelum beliau kembali ke Afrika pada 1734. Apa yang menarik, potret tersebut menunjukkan beliau dalam identiti yang sebenar – seorang Muslim yang terhormat, dalam pakaian tradisi Afrikanya berwarna putih, senyuman yang tipis dan juga Al-Quran kecil yang tergantung di lehernya (merupakan satu pertiga daripada Al-Quran yang ditulisnya sendiri dengan tangan daripada hafalannya sewaktu beliau masih di dalam penjara).
Gambar tersebut berlainan sekali dengan gambaran yang sering dipaparkan tentang bangsa berkulit hitam – digambarkan sebagai orang yang berwajah bengis, berpakaian compang camping dan juga bukan subjek utama sebuah lukisan – biasanya berada di bahagian belakang subjek utama dalam gambar.
Ayuba adalah contoh terbaik seorang Muslim yang tidak kehilangan identitinya sebagai seorang yang beragama Islam meskipun pernah menjadi hamba, dijual dan diseksa.
Rujukan:
Artikel ini telah diolah dan diterjemahkan daripada artikel asal bertajuk The Fortunate Slave dari Onepathnetwork.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.