Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.”Surah Al-Baqarah 2:281
Hari kiamat pasti terjadi atas kehendakNya. Ia berlaku tidak diberitahu. Waktu tepatnya hanya Allah S.W.T yang mengetahui. Kita hanya dikhabarkan tentang tanda-tanda kiamat.
Oleh itu, kita perlu bersiap sedia dan menyakini bahawa kehadirannya sangatlah dekat. Hari kiamat mempunyai pelbagai nama yang menggambarkan betapa dahsyatnya suasana dan keadaannya.
Di sini disenaraikan beberapa nama hari kiamat yang dipetik daripada al-Quran. Semoga pengetahuan ini menjadi peringatan untuk kita bersama agar tidak terleka dengan arus dunia.
1- As-Sa’ah (Waktu)
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Dan ingatlah, tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat. Dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang. Oleh itu, biarkanlah golongan kafir mendustakan kamu itu wahai Muhammad, serta layanlah mereka dengan cara yang elok.” Surah Al-Hijr 15:85
Kiamat dinamakan As-Sa’ah kerana waktunya adalah hampir dan dekat. Ada juga yang berpendapat bahawa ia dinamakan As-Sa’ah kerana kemunculannya datang secara tiba-tiba.
2- Yaum al-Ba’ts (Hari Kebangkitan)
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak, iaitu ragu-ragu tentang kebangkitan makhluk hidup semula pada hari kiamat, maka perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia kerana sebenarnya Kami sudah menciptakan kamu daripada tanah.”Sebahagian Surah Al-Hajj 22:5
Hari kiamat adalah hari akhir alam semesta dan akan menuju kepada hari akhirat. Pada hari itu akan dihidupkan kembali orang-orang yang telah dimatikan oleh Allah S.W.T. Disebabkan itu, ia juga dinamakan hari kebangkitan.
3- Al-Qari’ah (Hari Yang Menggemparkan)
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Hari yang menggemparkan. Apakah hari yang menggemparkan itu? Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui kedahsyatan hari yang menggemparkan itu.”Surah al-Qariah 101:1-3
Imam Al-Qurtubi mengatakan kiamat dinamakan sebagai Al-Qari’ah disebabkan ia adalah peristiwa kiamat yang begitu mengerikan sehingga memukul perasaan dan menggetarkan hati.
4- As-Sakhkhah (Suara Jeritan Yang Dahsyat)
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Kemudian ingatlah keadaan yang berlaku apabila datang suara jeritan yang dahsyat.”Surah ‘Abasa 80:33
Imam Ibnu Kathir mengatakan, Al-Baghawi berpendapat bahawa As-Sakhkhah itu ialah suara teriakan yang kuat pada hari kiamat. Kerana suara pada hari itu dahsyat sehingga memekakkan telinga, dan membuatkan seseorang hampir tuli.
5- Yaum Al-Khuruj (Hari Keluar)
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Iaitu hari mereka mendengar pekikan seruan yang mengatakan perkara benar. Hari seruan itu adalah hari masing-masing keluar dari kubur.”Surah al-Qaf 50:42
Hari keluar yang dimaksudkan disini adalah hari para penghuni kubur keluar dari kuburnya. Penghuni kubur akan keluar dari kuburnya dengan keizinan Allah S.W.T.
6- Yaum Al-Hasrah (Hari Penyesalan)
Allah S.W.T mengingatkan di dalam al-Quran:
“Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan, iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka tidak mahu beriman.”Surah Maryam 19:39
Hari penyesalan amatlah sesuai digambarkan pada hari tersebut. Orang-orang kafir akan menyesal kerana tidak beriman kepada Allah.
Selain itu, ada segolongan yang menyesal kerana tidak membuat persiapan dan bekalan untuk bertemu Allah.
7- Al-Haqqah (Yang Benar-Benar Terjadi)
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Saat yang tetap berlaku itu. Apakah dia sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu?”Surah al-Haqqah 69:1-2
Imam Ibnu Kathir berpendapat hari kiamat disebut dengan nama Al-Haqqah kerana pada hari itu janji dan ancaman benar-benar terjadi.
Kesimpulan
7 nama ini hanyalah sebahagian dan masih terdapat banyak lagi nama-nama lain bagi hari kiamat.
Terimalah hakikat bahawa dunia ini bukan tempat tinggal kita yang kekal abadi. Kita akan kembali kepada Allah S.W.T dan dunia akan menjauhi kita.
Buatlah persiapan sebelum hadirnya kiamat kecil iaitu kematian. Akhir sekali, mari kita hayati maksud firman Allah S.W.T ini:
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.Surah Al-A’raf 7:187
Waallahua’lam.
Rujukan:
1. Al-Quran dan Terjemahan
2. Ensiklopedia Kiamat (Penulis: Tim Gema Insani)

