Apabila bercakap tentang hak, kita sentiasa menyebut tentang hak sesama manusia. Hak kita sebagai pengguna, hak sebagai rakyat, hak sebagai anak, hak sebagai ibu bapa, hak sebagai guru, hak untuk menyatakan pendapat dan sebagainya. Kali ini kita akan bercakap pula tentang hak Allah dan kita sebagai hamba yang perlu menjaganya.
عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ : كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْماً فَقَالَ : يَا غُلاَمُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ: اْحْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللهِ وَاعْلَمْ أَنَّ اْلأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوْكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ لَكَ وَإِنِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوْكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوْكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللهُ عَلَيْكَ رُفِعَتِ اْلأَقْلاَمُ وَجَفَّتِ الصُّحُفِ
Daripada Abu al-‘Abbas, Abdullah ibn Abbas, RA beliau berkata: pada suatu hari aku berada di belakang Nabi SAW, lalu Baginda bersabda kepadaku:
Wahai anak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kalimah:Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan mendapati Dia bersamamu. Apabila engkau meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada Allah.
Ketahuilah Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan mampu memberikan manfaat itu kepadamu kecuali sesuatu yang memang Allah telah tentukan untukmu.
Sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana keatasmu, nescaya mereka tidak akan dapat mendatangkan mudharat kepada kepadamu kecuali dengan sesuatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Telah diangkat qalam dan lembaran- lembaran telah kering (dakwatnya). (HR Tirmizi no. 2516, Hadis Hasan Sahih)
Memelihara Allah dalam hadis diatas bermaksud memelihara hak-hak kewajipan yang telah Allah perintahkan kepada kita berupa larangan, batasan, mahupun suruhan. Sifirnya mudah – jika kita melakukan apa yang Allah suruh, maka Allah akan menjaga kita melebihi upaya kita sendiri.
هَذَا مَا تُوعَدُونَ لِكُلِّ أَوَّابٍ حَفِيظٍ
“(Kepada mereka dikatakan), “Inilah nikmat yang dijanjikan kepadamu, kepada setiap hamba yang sentiasa bertaubat (kepada Allah) dan menjaga (segala peraturan-peraturan-Nya).” (Surah Qaf: 32)
Hal ini bersesuaian pula dengan hadis berikut:
Rasulullah SAW berkata kepada Mu’adz, “Wahai Mu’adz, tahukah engkau apa hak Allah atas hamba-Nya?” Mu’adz menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Kemudian Rasulullah bersabda, ‘Hak Allah atas hamba-Nya adalah beribadah hanya kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya.” (HR. Bukhari: 2856 dan Muslim: 48)
Maka memelihara hak Allah ini boleh difahami melalui banyak hal. Contohnya dalam urusan ibadah seperti solat, kita tidak melengah-lengahkan solat dan menunaikan solat di awal waktu. Dalam urusan kerja, kita menjaga amanah waktu yang telah ditetapkan dengan tidak mencuri tulang dan bermalas-malasan. Dalam urusan sesama manusia pula, kita menjaga keaiban orang, menjaga tutur kata dan juga hubungan silaturahim.
Maka jika kita telah memelihara setiap urusan hidup yang sememangnya berkait rapat dengan suruhan, perintah dan juga larangan Allah ini – Allah berjanji akan menjaga dan memelihara kita dengan sebaik-baik penjagaan.
Ibnu Rejab mengatakan bahawa penjagaan Allah itu mengandungi dua perkara:
1. Pertama, Allah akan menjaga hamba-hambaNya yang soleh dengan memenuhi keperluan dunianya – seperti terjaga badannya, anak, keluarga dan hartanya. Di antara bentuk penjagaan jenis ini, Allah menciptakan malaikat yang bertugas menjaga manusia. Allah berfirman,
لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ
“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu bergiliran menjaganya dari depan dan dari belakang, mereka menjaganya atas perintah Allah.” (Surah Ar Ra’du: 11)
Kadang kala, jika Allah ingin menjaga hambaNya, maka Allah juga akan memelihara zuriat keturunannya meskipun dia telah tiada.
2. Kedua, Allah akan menjaga agama dan imannya. Inilah penjagaan yang paling agung dan mulia. Kerana kasih sayang Allah, serta hak-hak Allah yang telah ditunaikan oleh hamba tersebut, maka Allah menjaga iman yang ada dalam hatinya, tidak terkesan dek kotoran dunia serta nafsu yang menipu daya.
Hal ini dibuktikan Allah dalam kisah Nabi Yusuf yang telah diselamatkan daripada godaan perempuan jelita, isteri kepada Aziz.
كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ
“Demikianlah kami palingkan Yusuf dari keburukan dan kekejian. Sungguh dia terasuk dari hamba kami yang terpilih.” (Surah Yusuf: 24)
Diakhirnya Allah telah berjanji bahawa ketetapan Allah ada dalam setiap perkara baik kebaikan mahupun mudharat.Jika telah ditetapkan kebaikan untuk seseorang manusia itu, maka pasti dia akan menerimanya, begitu juga dalam hal musibah. Manusia tidak akan ditimpa musibah jika Allah tidak menghendakinya.
Sumber rujukan:
Ditulis dan diolah semula daripada perkongsian di muslim.or.id
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.