Oleh Natirah Azira • 14 Feb 2019 • 3 min baca
Ramai orang menganggap bahawa mereka akan menemui kegembiraan apabila menemui ‘soul-mate’ atau pasangan sehati sejiwa. Tetapi, hakikatnya kebahagian di dunia bersifat relatif. Ada masa kita gembira, ada masa juga kita ‘sakit jiwa’ melayan kerenah pasangan yang bermacam jenis.
Sesetengah budaya di Malaysia pula menekankan tentang soal ‘berpunya’ apabila sudah mencapai tahap umur tertentu. Antara soalan yang sering menjadi bualan anak muda apabila ditanya ialah;
“Dah berpunya ke?”
“Bila nak kahwin?”
Relaks, anda tidak perlu gelabah apabila menerima soalan begini. Kehendak budaya dan masyarakat bukanlah sebab yang kuat untuk anda ingin mempunyai pasangan hidup. Dan jika saat ini anda masih sendiri, ia bukan suatu tanda yang buruk atau bermaksud anda tidak laku. Berikut beberapa faedah yang anda akan dapat jika masih sendiri.
Orang yang single boleh menfokuskan kepada pembangunan diri sendiri. Jika anda sudah mempunyai pasangan kelak, maka anda perlu menguruskan dua orang dalam satu masa (diri dan juga pasangan) tidak kiralah anda seorang lelaki atau perempuan. Masa berseorangan adalah masa yang paling tepat untuk anda memberikan fokus kepada keperluan dan kemahuan diri serta memperbaiki sudut hidup yang masih perlu diperbetulkan.
Masa single juga merupakan masa untuk anda fokus kepada ibu bapa dan keluarga. Bayangkan anda telah menghabiskan masa beberapa tahun untuk belajar jauh dari keluarga, maka masa bekerja adalah masa yang sesuai untuk anda membalas pula jasa ibu bapa – memberikan duit setiap bulan, membawa mereka keluar makan, belanja mereka bercuti dan sebagainya. Manfaatkan masa bersama keluarga sebaik mungkin!
Biasanya orang akan mula berfikir untuk mencari teman hidup apabila sudah mula bekerja. Namun jika jodoh masih belum sampai, maka anda dapat menggunakan masa single tersebut untuk lebih fokus membina kerjaya terutama jika anda mempunyai wawasan untuk membina empayar perniagaan sendiri.
Single juga menjadikan anda seorang yang lebih yakin dan percaya diri. Dalam banyak hal atau cabaran yang anda hadapi, anda akan bergantung kepada penilaian dan kemahiran diri untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Dengan pengalaman yang ada, InsyaAllah anda akan semakin berani menempuh kehidupan di hadapan.
Apabila bersendiri, anda tidak perlu setiap masa melaporkan kegiatan anda kepada pasangan. Anda boleh sahaja merancang untuk ‘travel’ dengan rakan, melakukan hobi yang telah lama anda tinggalkan mahupun aktiviti yang baru ingin dicuba seperti menyertai sukan ekstrem, memberi makan gelandangan atau menyertai misi sukarelawan.
Jika anda sebelum ini pernah bercinta, maka anda tahu betapa banyak masa yang terbuang hanya dengan melayan perasaan, ber ‘whatsapp’, ‘bergayut telefon’, ‘dating’ dan sebagainya. Masa ‘single’ adalah masa yang sesuai untuk mengumpul wang untuk kegunaan masa hadapan. Anda tidak perlu tunggu untuk ada calon baru hendak merancang dan menabung bersama.
Berhenti menganggap bahawa hidup sebagai seorang ‘single’ suatu yang menyedihkan. Ia sebenarnya mindset yang dicipta oleh minda anda sendiri dan bukan orang lain. Jika anda rasa ianya suatu yang menyedihkan, maka ia jadi menyedihkan. Jika anda menganggap ianya ruang dan peluang untuk anda lebih memaknakan hidup dan meraih pengalaman, maka itulah yang akan anda peroleh. Selamat memaknakan erti ‘single’!
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.