Gaya Hidup

‘Random Acts of Kindness’

Oleh Natirah Azira  •  5 Jan 2019  •  3 min baca

Beberapa hari lepas sewaktu turun dari bas, saya disapa oleh sekelompok kanak-kanak. Tangan kecil mereka menyuakan roti telur yang berbungkus rapi kepada saya. Serta merta bibir saya mengorak senyuman. Perjalanan ke tempat kerja hari itu berubah warna.

Saya tidak tahu aktiviti itu dianjurkan oleh siapa. Cuma mata saya sempat menangkap kelibat beberapa orang wanita sebaya saya yang mengawasi kanak-kanak tersebut. Apa pun saya gembira kerana masyarakat semakin sedar tentang pentingnya budaya kasih sayang dan nilai berkongsi yang perlu ditanam dalam diri kanak-kanak sejak kecil.

Di barat, aktiviti ini bukanlah aktiviti yang pelik untuk dilakukan. Perhubungan antara masyarakat awam, badan-badan kerajaan dan badan-badan bebas cuba dijalin baik. Setiap individu tidak kira kanak-kanak mahupun orang dewasa mempunyai peranan untuk mewujudkan suasana hidup yang lebih sihat dan harmoni.

Antara aktiviti yang dilakukan seperti memberikan bunga ros kepada warga tua, menyumbangkan pakaian terpakai kepada pusat perlindungan serta membayarkan kopi buat gelandangan yang kesejukan di jalanan.

Anak-anak perlu didedahkan dengan dunia luar yang berbeza dengan ruang lingkup kehidupan mereka yang biasa. Pelajaran sivik dan nilai-nilai kemanusiaan tidak boleh hanya diajar di bilik darjah. Ianya perlu diaplikasikan di dunia sebenar.

Di negara kita Malaysia juga ada aktiviti-aktiviti seumpama ini. Contohnya anak-anak diajar untuk mengutip sampah ketika keluar melakukan senaman di taman. Plastik sampah pula dibawa sendiri bagi memudahkan aktiviti. Ada pula yang menyediakan makanan buat gelandangan dan juga khidmat mengajar kanak-kanak yang kurang kemampuan kewangan secara percuma. Bahkan apa yang menarik, usaha-usaha sebegini dilakukan kerana kesedaran dan atas inisiatif sendiri.

Saya juga masih ingat dengan seorang sahabat yang sangat sukakan aktiviti seperti ini. Dia akan mengedarkan snek yang dilekatkan ‘sticky note’ bertulis kata-kata semangat kepada sesiapa sahaja yang dia jumpa dalam perjalanan ke kelas. Katanya, setelah banyak perkara yang dihadapi seharian, dia hanya ingin membuat orang tersenyum dengan hal-hal kecil sebegitu.

Random Act of Kindness

Maka di sini saya ingin membawa cabaran kepada para pembaca di luar sana untuk melakukan paling kurang sekali seumur hidup salah satu (atau lebih) aktiviti ‘random act of kindness’ di bawah:

1. Membersihkan meja makan apabila makan di restoran makanan segera.

2. Mengumpulkan pakaian terpakai daripada keluarga dan rakan-rakan untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.

3. Memasak makanan untuk rakan sekerja.

4. Membelikan lebih alat tulis buat rakan-rakan sekelas anak anda.

5. Tinggalkan nota terima kasih kepada rakan sekelas/sekerja.

6. Senyum kepada orang berbeza yang anda temui setiap hari.

7. Sebar luaskan mesej-mesej sumbangan/bantuan yang anda temui di media sosial.

8. Meninggalkan nota berisi kata-kata semangat dalam buku yang anda pinjam di perpustakaan.

9. Mengirimkan kad kepada kawan lama.

10. Mengambil kucing di jalanan untuk dirawat dan dijaga.

11. Sumbangkan buku-buku lama kepada perpustakaan di tempat anda.

12. Sediakan makanan kucing di dalam kereta supaya anda mudah memberi makan kepada kucing-kucing liar yang dijumpai.

13. Sediakan tabung tahunan atau ‘fund raising’ khusus untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Dunia ini sudah cukup banyak masalah, tugas kita adalah menambah lebih banyak kebaikan yang boleh dilakukan. Semoga dengan sedikit usaha yang kita lakukan, mampu menumbuhkan kebaikan di hati orang lain juga. Sesungguhnya kebaikan itu berjangkit!

Untuk mendapat lebih banyak maklumat atau idea tentang aktiviti yang boleh dilakukan, anda juga boleh rujuk laman web di bawah:
Random Acts of Kindness


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami