Gaya Hidup

Stress Is Awesome!

Oleh Rasyidah Rahmat  •  1 Jan 2019  •  4 min baca

Setiap hari ada sahaja yang membuatkan hari-hari kita penuh dengan tekanan ataupun yang selalu kita gelar ‘stresss’!

Adakah kita semua menyedari bahawa stress merupakan sesuatu yang luar biasa jika kita berjaya menghadapinya dengan cara yang betul.

Stress adalah rasa tertekan yang berpunca daripada masalah yang dihadapi dalam kehidupan. Dalam dunia yang lebih mengejar kecemerlangan, kecanggihan dan serba mencabar ini, tiada siapa dapat lari daripada mengalami stress. Lebih-lebih lagi remaja yang sedang berada di alam peralihan.

Anda pernah melalui stress bukan? Apakah yang sepatutnya dilakukan oleh remaja supaya tekanan yang dihadapi itu tidak menyeksa jiwa dan emosi? Ops! Sebelum itu, jangan tersalah faham dengan depresi (depression- kemurungan) ya.

Semua mahkluk termasuklah manusia adalah lemah. Sekuat mana pun manusia, pasti ada kelemahannya. Salah satu kelemahan manusia ialah mudah bosan, mudah ditimpa stress ataupun tekanan perasaan.

Oleh itu, stress ini adalah perkara biasa yang ada dalam hidup kita. Namun, yang menjadi luar biasa apabila kita gagal mengawal stress yang dihadapi.

Apa Kata Pakar?

Menurut pakar, stress berpunca daripada faktor psikologi, fizikal, sosial, emosi, kerja, kewangan, keluarga dan sebagainya. Sedikit rasa stress memang diperlukan untuk berjaya dalam hidup.

Tekanan takut gagal, menyebabkan kita bangun berusaha dengan lebih gigih. Tekanan yang melanda menjadikan kita sering mempelajari sesuatu yang membangunkan jiwa dan mendorong tindakan-tindakan positif bagi membetulkan keadaan.

Bayangkan kalau kita tidak ada stress, diri kita akan jadi insan yang berhati batu, tidak peka, tidak sensetif dan tidak pernah rasa bersalah. Akhirnya, kita akan menjadi seperti robot atau mesin yang hanya pandai berkata-kata.

Tetapi ingat! Jika sudah sampai ke tahap yang melampau sehingga stress yang dihadapi bertukar menjadi sebuah tekanan melampau yang menyebabkan kerisauan, kebimbangan dan ketakutan yang melampau.

Hal ini menjadi punca keletihan pada jiwa dan perasaan kita. Kalau jiwa tidak dibawa istirahat, dipaksa dengan seribu tekanan yang melebihi batas, lama kelamaan jiwa itu akan lemah dan akhirnya mati.

Pada tahap ini, manusia boleh hilang pedoman. Remaja akan mengalami kemurungan, tertekan dan kesepian dalam hidupnya.

Hal ini menjadi punca remaja terlibat dengan gejala yang negatif seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, arak, dan sebagainya yang mendorong diri mereka untuk melepaskan diri daripada tekanan tersebut tetapi menggunakan cara yang salah.

Tekanan Mendekatkan Kepada-Nya

Saya percaya semua manusia yang berpegang kepada agama masing-masing sentiasa menyedari hakikat hidup bertuhan.

Terutama sekali, remaja Islam yang percaya dan mengimani adanya Allah S.W.T yang sentiasa dekat dan membimbing ke jalan yang benar.

Allah S.W.T memberi rasa tekanan atau stress itu untuk membimbing hamba-Nya tentang makna tawakal dan rasa hidup perlu bertuhan.

Stress sangatkah kita kalau merasai Allah Yang Maha Kaya bersama dalam menghadapi masalah kewangan kita? Stress sangatkah kalau meyakini bahawa Allah Yang Maha Penyayang akan mengampunkan semua kesalahan yang kita lakukan?

Sentiasalah bertanya kepada diri apakah tujuan Allah menciptakan kita di dunia ini? Apakah panduan yang Allah telah berikan untuk menjalani kehidupan yang penuh cabaran ini?

Seharusnya kita kembali kepada fitrah diri supaya kita menyedari bahawa apakah suruhan dan larangan yang diperintahkan oleh Allah S.W.T agar kita dapat membina kembali kehidupan kita.

Seberat manapun tekanan dalam hidup, kita wajib yakin bahawa Allah S.W.T Maha Mengetahui kemampuan diri kita dan sudah pastinya setiap ujian yang berjaya kita hadapi akan meningkatkan darjat kita di sisi-Nya. Insya-Allah.

Kuncinya Dengan Solat

Doa dan terus berdoa. Solat dan terus mendirikan solat tanpa rasa lelah. Disitulah kunci bagi jalan keluar untuk menangani stress.

Malangnya, ramai remaja belum menganggap solat itu penting. Buktinya, kira sahaja dengan jari berapa bilangan pemuda kita yang ke masjid mahupun surau. Mengapa?

Hal ini kerana remaja belum nampak betapa pentingnya solat dalan kehidupan. Orang yang tidak nampak perlunya solat dalam kehidupan bererti dia belum nampak perlunya berhubung dengan Allah dalam kehidupan ini.

Back To Allah!

Asbab dari rasa sebegitu, ramai remaja dilalaikan oleh keremajaannya. Badan masih kuat, diri masih sihat, tenaga masih ada dan akal masih cerdas, jadi perlukah kepada Tuhan? Mungkin begitu agaknya rasa hati mereka.

Sedangkan bagi orang tua yang sudah mula sakit-sakit, mata sudah mula rabun dan badan sudah mula lemah, maka “terpaksalah” mengharap kepada Allah.

Ini pandangan yang salah. Hakikatnya dalam keadaan usia kita muda atau tua. Kita sihat mahupun sakit. Tenang atau sibuk, gembira atau duka. Kita semua sangat-sangat memerlukan Allah S.W.T dalam kehidupan kita.

Jika diberi ujian ucap kata syukur kerana Dia masih mengingati kita untuk kembali kepada fitrah.

Jika diberi nikmat pasti juga ucap kata syukur kerana Dia meraikan usaha kita bersungguh-sungguh taat kepada-Nya.

Oleh itu, kembalikan hati, emosi dan fikiran kita kepada Allah barulah kaedah yang dipelajari untuk menangani stresss dapat dilaksanakan.

Tekanan itu hakikatnya panggilan Allah untuk kita kembali kepada-Nya. Dalam erti kata lain, kembali kepada kekuatan, keamanan, kasih sayang dan ketenangan. Bukankah itu sangat baik? Bermakna stresss itu memang best dan awesome!

Rujukan;
Buku RNR Hati, karya Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Rasyidah Rahmat

Suka mencuba perkara baru dan sangat meminati bidang penulisan dan membaca buku dalam semua genre. Karya pertama yang diterbitkan iaitu dalam siri antologi cerpen Negeri Terengganu. Merupakan mahasiswa tahun akhir sarjana muda syariah di UIN STS Jambi, Indonesia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami