“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” Surah al-Alaq :1
Masya-Allah! Setiap kali saya membaca ayat ini terasa di lubuk hati betapa pentingnya perintah membaca itu.
Membaca dalam arti kata lain membaca dengan penuh penjiwaan. Dan sebenarnya perasaan ini adalah satu anugerah dari Allah S.W.T. Tidak semua orang dapat merasai nikmat suka membaca ini.
Maka, kitalah seharusnya yang memotivasikan diri kita agar menyuntik jiwa kita agar ada perasaan dan keterujaan dalam membudayakan amalan membaca.
Soalan yang tidak asing lagi apabila seseorang bertanya kepada saya. Bagaimana ingin memupuk rasa suka dan minat untuk membaca?
Membaca itu sesuatu yang membosankan. Ya, memang majoriti merasakan membaca itu sesuatu yang membosankan. Lebih-lebih lagi apabila buku tersebut penuh dengan tulisan semata. Boringnya.
Berlainan dengan seseorang yang memang mempunyai hobi dan minat terhadap buku yang menggila! Membaca buku boleh menjadi sebuah terapi untuknya.
Baiklah sahabat sekalian, betapa pentingnya untuk kita memahami dan menghayati bahawa yang menjadikan diri kita mulia itu adalah dengan ilmu.
Tidak kiralah ilmu perubatan, ilmu kemahiran, ilmu kesenian, ilmu syariah dan perundangan serta pelbagai khazanah ilmu yang terlalu banyak untuk kita terokai dari usia muda ini.
Oleh sebab itu, dengan kesedaran itulah dapat menimbulkan perasaan ingin membaca buku. Dahagakanlah ilmu sehingga kita akan membaca dan menuntutnya di setiap waktu.
Jika diberi pilihan sama ada membaca atau menonton drama, pilihlah untuk membaca. Ini kerana, menuntut ilmu memberikan kenikmatan luar biasa di hatimu.
Bahkan menuntut ilmu itu menjadi sebahagian daripada hidupmu yang tidak boleh dipisahkan. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W (maksudnya);
“Barang siapa yang menempuh satu jalan untuk mendapatkan ilmu, maka Allah memudahkan baginya jalan menuju syurga.”Riwayat Muslim
Betul ke dengan membaca mampu menguatkan daya ingatan kita? Sudah tentu! Bukan hanya dengan mengambil vitamin atau produk tertentu untuk menguatkan daya ingatan tetapi dengan membaca dapat membantu proses perkembangan minda dan menajamkan daya ingatan.
Lebih-lebih lagi kalau kita menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran pada setiap hari. Jika masih dalam peringkat awal, lazimi menghafaz fakta-fakta yang sedikit dan mudah sebagai langkah awal untuk membantu proses perkembangan minda yang lebih baik. Insya-Allah.
Saya tersenyum simpul apabila membaca kenyataan bahawa lelaki yang kacak adalah lelaki yang membaca begitu juga dengan perempuan.
Oh ya, saya rasa kenyataan ini memang benar! Buktinya, saya rasa orang yang kacak dan cantik itu bukan tafsirannya pada kecantikan luaran sahaja.
Namun, lebih kepada ilmu yang dimiliki telah menghasilkan keperibadian yang unggul lahir daripada personaliti seseorang. Semakin banyak menuntut ilmu semakin tinggi nilai budi pekerti di dalam diri seseorang.
Menjadi remaja yang sibuk dengan ilmu benar-benar menjadi remaja yang super power! Wahai remaja sekalian, sibukkanlah diri kamu dengan kebaikan dan menuntut ilmu.
Nescaya tidak akan sempat untuk berbuat maksiat dan perkara lagha (sia-sia). Tuntutlah ilmu kerana ia dapat memberikan kepuasan jiwa dan minda yang luar biasa sekali. Daripada Umar al-Khattab R.A beliau berkata;
“Sesungguhnya seseorang keluar dari rumahnya dalam keadaan dia mempunyai dosa-dosa seperti Gunung Tihamah, akan tetapi apabila dia mendengar ilmu (iaitu mempelajari ilmu dengan menghadiri majlis ilmu), kemudian dia menjadi takut, kembali kepada Rabbnya dan bertaubat, maka dia pulang ke rumahnya dalam keadaan dia tidak mempunyai dosa. Oleh sebab itu, janganlah kalian meninggalkan majlis para ulama.”
Subhanallah! Indahnya menjadi remaja yang sibuk dengan ilmu. Bukan sibuk membuang masa dan bersuka-ria.
Ayuhlah bangkit agar kita dapat memulakan budaya membaca dan menuntut ilmu ini bermula daripada diri kita sendiri. Nescaya, usaha kita yang nampak kecil ini mungkin besar pada pandangan Allah S.W.T.
Remajaku sayang, kita tidak mahu diri kita tergolong dalam golongan orang yang sia-sia perbuatan amalannya. Takut-takut nanti di akhirat kelak kita muflis bekalan akhirat.
Segala nikmat usia kita dan masa lapang serta kesihatan yang Allah kurniakan tidak kita pergunakan sebaik mungkin.
Semoga kita dapat menjadi remaja di akhir zaman yang obses mencari ilmu pengetahuan, membudayakan amalan membaca dan mencintai majlis ilmu.
Insya-Allah remaja akhir zaman adalah remaja yang mengembalikan sebuah peradaban. Peradaban yang mantap dengan jiwa yang izzah dan hammasah dengan perjuangan mencari ilmu. Insya-Allah.
Rujukan;
Buku Kanvas 2, karya Muharikah.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.