Gaya Hidup

Sungguh Beruntungnya Kita

Oleh Fazli Abdullah  •  27 Dec 2018  •  4 min baca

Beruntungnya kita dikurniakan daya ingatan yang dapat mengenang kisah silam. Mengenang kenangan indah dan ada yang membawa kabur kesedihan.

Kenangan yang indah biarlah disimpan rapi dan terus menjadi bahagian dalam memori kehidupan. Manakala peristiwa hitam, ingin terus dipadam dan dilupakan. Itu yang kita inginkan. Namun, ingatan itu masih bermain-main di fikiran.

Manusia mana tidak pernah melakukan kesilapan. Dan manusia mana yang sempurna dari setiap segi. Ada hitam dan ada putih. Ada baik dan ada buruk. Terimalah dan jadikan pengajaran. Bukan tangisan dan penyesalan yang tidak berkesudahan.

Sebenarnya kita beruntung, kesilapan dan kekecewaan yang kita hadapi ada hikmah yang tersembunyi. Memang pahit dan sedih itu ada tetapi kemanisan turut serta bersama.

#1- Gagal Dalam Peperiksaan

Ketika mahu mengambil keputusan peperiksaan, tidak kiralah UPSR, PT3, SPM atau peperiksaan yang lain, pasti ada debaran di hati kecil kita. Harapan tinggi semoga keputusan cemerlang dan tidak ada yang gagal.

Namun, tidak semua yang diimpikan menjadi kepastian. Ada saatnya, bertentangan pula dengan apa yang kita mahukan. Hasilnya, keputusan peperiksaan tidak cemerlang. Mudah dikata, keputusan gagal.

Usah bersedih, sebenarnya kita beruntung kerana kegagalan itu mengajar kita erti reda dan pengorbanan. Menunjukkan usaha kita selama ini bukan tidak berhasil tetapi belum berjaya. Kejayaan masih ada di luar sana. Teruskan usaha. Jangan berhenti.

Kita masih ada daya dan usaha. Lakukan sesuatu dan jadikan kegagalan itu satu semangat baru untuk melangkah maju. Jangan tangisi lagi. Bangkit dan berdiri. Genggamkan tangan dan katakan ‘Aku harus berjuang! Perjalanan hidupku masih lagi panjang!’

#2- Dalam Hubungan Percintaan

Dalam menuju hari-hari mendatang, ada saatnya perasaan cinta berputik di hati. Dan cinta yang disangka akan kekal hingga akhirnya, rupanya hanya mimpi di malam hari.

Perhubungan yang terjalin akhirnya putus dan bercerai. Senyuman yang diukir berubah sedih dan suram. Mulanya bahagia, berakhir kedukaan.

Sebenarnya kita beruntung Allah pisahkan kita dengan orang dicintai kerana menunjukkan cinta manusia hanya sementara. Cinta Allah itu yang kekal selamanya. Ada bercinta sebelum kahwin dan putus tanpa sempat menjadi suami isteri.

Alhamdulillah, Allah sedang selamatkan kita dari bergolak dalam rumah tangga. Allah selamatkan kita dari terus bergelumang dengan dosa. Dan putus cinta bukan pengakhiran kehidupan.

Jangan mencari jalan mudah memutuskan nyawa yang masih lagi gagah. Fikir sejenak. Ada hikmah Allah sedang letak pada kehidupan kita. Jangan mudah menghancurkannya.

#3- Melakukan Kesilapan Kecil Menjadi Besar

Tidak disangka hanya kesilapan kecil dapat mengundang satu ‘bencana’ besar dan menakutkan. Difikir dan di minda mustahil tetapi ia telah terjadi dan itulah realiti.

Melihat semula kejadian lampau seperti tersilap kata lalu terjadinya pergaduhan, hanya kerana satu kejadian kecil yang tidak diingini lalu berlaku penceraian dan pelbagai lagi.

Sebenarnya kita beruntung kerana kita diberi peringatan oleh Allah S.W.T supaya berhati-hati dalam setiap tindakan. Jangan mengambil ringan segala perbuatan kita yang akhirnya menyebabkan sengsara.

Selepas kejadian itu membuatkan kita berfikir panjang dan lebih berjaga-jaga. Carilah hikmah bukan masalah. Ketika hikmah yang dicari, kita pasti tidak akan kecewa lagi.

#4- Dibenci Orang Lain

Setiap perbuatan yang kita lakukan walaupun perbuatan baik, pasti ada orang yang tidak menyukainya. Ya, itulah realiti yang harus disedari. Bukan dongengan dan bukan perkara rekaan.

Dihina, dibenci dan dikutuk sudah menjadi makanan harian. Pada ketikanya, rasa ingin sahaja berputus asa. Memakai tudung labuh salah, membantu orang kesusahan dikata mengambil kesempatan dan bermacam ucapan yang menyakitkan.

Sebenarnya kita beruntung kerana segala perkataan yang tidak baik mereka lontarkan kepada kita menjadi pahala untuk diri kita. Maknanya kita mendapat pahala yang tidak disangka-sangka. Dan apabila kita bersabar, Allah bersama dengan kita. Subhanaallah.
Jika saatnya kita lemah dengan penghinaan mereka, kembalilah kepada Allah S.W.T. Banyakkan beristighfar, banyakkan berdoa, bacalah al-Quran serta maknanya dan bacalah kisah orang terdahulu yang diuji. Moga ada kekuatan halus yang akan meresap di hati.

Jangan Jadi Orang Yang Rugi

Ketika diuji, jauhkan diri dari merasa Allah jauh dengan kita. Menganggap hanya kita sahaja yang ditimpa musibah dan huru-hara. Sebenarnya ingatlah orang lain juga diuji, diuji dalam dimensi yang berbeza.

Rugilah orang yang ditimpa satu musibah dan dia melupakan Allah S.W.T. Meninggalkan kewajipan sebagai seorang Muslim dan terjebak dengan perbuatan yang dimurkai Allah S.W.T. Nauzubillah minzalik.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”Surah Al-Baqarah : 214


Waallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami