Inspirasi

“Saya Rindukan Saya Yang Dahulu”

Oleh Natirah Azira  •  24 Dec 2018  •  3 min baca

“Saya rindukan saya yang dulu”, dia memulakan bicara.

Saya jarang-jarang dapat berjumpa dengannya. Sesekali dapat bertemu mata, kami akan bertukar cerita- perihal kedewasaan dan hidup yang semakin menolak kami ke hadapan. Lewat ‘post-post’ di Instagram dan Facebook, saya mengikuti perkembangan dirinya.

Ya, saya tahu ada yang berubah, namun saya tidak pernah memaksa dia bercerita. Sekadar bertanya khabar, bercerita itu dan ini, namun pancingan ayat saya selalunya tidak mengena. Perbualan ringkas tidak meleret ke cerita-cerita yang lebih mendalam.

Namun kali ini dia bercerita lebih panjang. Katanya, ada yang ‘hilang’. Tuntutan kerjanya sebagai seorang yang bergelumang dalam dunia media, pergaulan dengan orang di sekeliling serta kekecewaan dalam cinta banyak mengubah dirinya.

Katanya, orang yang pernah merasa ‘dijaga’ Tuhan tahu bagaimana rasanya apabila semakin jauh dari jalan yang Tuhan tetapkan. Suatu kehilangan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Tidak banyak yang mampu saya katakan ketika itu, cuma saya yakin – Setiap orang yang ikhlas mencari jalan menuju Tuhan, pasti akan berjumpa. Seperti kata-kata penyair terkenal Jalaluddin Ar-Rumi;

“Apa yang kamu cari juga sedang mencarimu”

Apabila membaca kata-kata ini, saya kembali teringat dengan sepotong hadis yang cukup besar maknanya – Allah berkata- Jika hambaku mendekatiku sejengkal, maka aku akan mendekatinya sehasta. Jika dia mendekatiku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan jika dia mendekatiku dengan berjalan, maka aku akan mendekatinya dengan berlari.

Betapa Allah tidak pernah meninggalkan kita sebenarnya. Allah tetap ada. Apapun jalan yang kita pilih dalam hidup, siapa pun yang kita jadi, di mana pun kita berada – Allah tidak pernah meninggalkan kita. Soalnya adakah kita membuka mata hati kita untuk melihat dan telinga kita untuk mendengar seruan Allah yang sebenarnya.

Sebelum kami berpisah dia sempat bertanya; Bagaimana ingin berubah apabila kesilapan yang sama dilakukan berkali-kali.

Bagi saya, senjata yang paling ampuh dan jalan yang paling mudah adalah dengan berdoa. Tidak ada yang mustahil dengan doa yang benar-benar tulus dan ikhlas dari seorang hamba yang menginginkan pertolongan dari Allah.

Perubahan yang sebenar bermula dari dalam. Untuk berubah, mulalah dengan jalan yang paling mudah iaitu berdoa. Pintalah supaya diberikan kekuatan untuk berubah dan istiqamah dengan perubahan yang dilakukan.

Rasulullah SAW juga bersabda:

“Sesungguhnya jika engkau meninggalkan sesuatu karena Allah, nescaya Allah akan memberi ganti padamu dengan yang lebih baik.” (HR. Ahmad 5: 363. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahawa sanad hadis ini sahih)

Tidak ada pertukaran yang lebih menguntungkan daripada apa yang telah dijanjikan oleh Allah. Betapa ramai orang yang telah berubah memilih jalan mendekati Allah lalu Allah menggantikan kehilangan duniawi yang dialami dengan suatu yang lebih besar, rezeki yang lebih berkat dan hidup yang lebih menenangkan.

Berdoalah supaya Allah mencampakkan ke dalam hati perasaan benci kepada keburukan. Berdoalah supaya perkara-perkara di sekeliling tidak menghalang kita untuk berubah. Berdoa dan teruslah berdoa. Percayalah bahawa Allah akan membuka jalan sedikit demi sedikit untuk kita berubah.

Allah bukan menyuruh kita untuk meninggalkan terus hal-hal keduniaan, tetapi Allah menyuruh kita untuk menguruskannya dengan bijak. Ada orang yang mampu melakukan perubahan besar, menukar 360 darjah cara hidupnya. Tetapi ada juga yang masih belum diberi kekuatan. Allah tahu hal itu dan Allah juga tahu di akhirnya kita mampu.

Untuk diri saya sendiri, dia sahabat saya dan juga sesiapa sahaja di luar sana yang berkesempatan untuk membaca perkongsian ringkas ini, saya berharap dan berdoa kepada Allah agar kita sentiasa diberi kekuatan untuk memperbaiki diri dan mencari redhaNya yang lebih utama.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami