Inspirasi

Dia Miliki Hati Yang Bahagia

Oleh Natirah Azira  •  20 Dec 2018  •  3 min baca

Bercakap tentang bahagia, semua orang inginkannya. Namun tidak semua orang mampu dan mahu memberikan kebahagian kepada orang lain. Kadang kala, ada kemahuan dan kepentingan diri sendiri yang kita mahu jaga.

Beberapa minggu yang lalu saya berbual dengan seorang rakan. Dia antara orang yang saya kagumi kerana sering mencari ruang waktu untuk terlibat dalam program-program kemasyarakatan sekalipun sibuk belajar dan juga bekerja. Mungkin masanya berkat, kerana itu banyak hal yang bermanfaat mampu dilakukan.

Dia bercerita pada saya tentang seorang wanita yang dikenalinya. Wanita tersebut ibu tunggal kepada beberapa orang anak. Dan apa yang membuatkan hati saya lebih kagum ialah apabila dia memberitahu apa yang dilakukan wanita tersebut, iaitu menubuhkan rumah perlindungan anak-anak yatim dan asnaf.

Wanita yang selesa dipanggil ‘ibu’ itu menerima anak-anak yang tidak ada ibu bapa atau yang tidak dimahukan oleh ibu bapa. Ya, dia menjaga mereka seperti anaknya sendiri tanpa mengira agama dan latar belakang anak-anak tersebut.

Apa yang ada padanya itulah yang dikongsikan bersama. Bilangan anak-anak yang mendapatkan perlindungan dan kasih sayang di rumah tersebut sekarang sudah melebihi 30 orang!

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana untuk menjaga anak-anak yang ramai begitu hanya dengan kudrat seorang wanita dan beberapa anaknya yang sedang di usia remaja. Hati apa yang dia punya, sehingga tidak kisah berkongsi kehidupan dengan orang lain. Sedang kita, untuk menyara beberapa orang anak, kita sudah sakit kepala. Untuk berkongsi rezeki yang kita dapat, kita berkira.

Dari Ibnu ‘Umar, Nabi SAW bersabda,

أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ , وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً, أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا ,أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

“Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan dari orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya.

Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk sebuah keperluan lebih aku cintai daripada ber’iktikaf di masjid ini -masjid Nabawi- selama sebulan penuh.” (HR. Thabrani di dalam Al Mu’jam Al Kabir No. 13280, 12: 453. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini hasan sebagaimana disebutkan dalam Sahih AlJaami’, No. 176).

Barangkali, wanita itu belajar daripada hadis ini. Orang yang membuatkan orang lain bahagia, yang tidak lokek memberi, yang murah hati, yang menghilangkan duka di hati orang lain, ialah orang yang akan disayangi oleh Allah. Dan apabila Allah sudah sayang, tidak ada perkara lain yang dapat mengatasi nikmat rasa bahagia itu. Apabila Allah berada ‘di sisi’, tidak ada perkara di dunia yang tidak dapat diharungi.

Pasti hidup akan jadi sedikit sukar dan tanggungjawab banyak namun hati tetap bahagia. Jika di dunia pun sudah mendapat bahagia dari Allah, di akhirat pasti lebih lagi.

Kita mungkin tidak dapat jadi seperti ‘ibu’ ini. Namun saya pasti bahawa setiap dari kita ada sesuatu yang kita mampu beri baik masa, wang, telinga untuk mendengar dan mungkin juga tenaga dan kepakaran kita. Jadi persoalannya, apa yang mampu kita ‘beri’?


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami