Oleh Baha'uddin Hamizan • 18 Dec 2018 • 3 min baca
Dalam artikel yang lalu, saya sudah menerangkan dengan panjang lebar sudut pandang tentang orang yang ‘single’. Di sini saya ingin mengemukakan lima keburukan yang tidak dapat dielakkan apabila berada dalam hubungan yang tidak sihat, dan mengapa menjadi seorang ‘single’ yang berkualiti itu lebih baik daripada berada dalam perhubungan yang kosong atau bersama orang yang salah:
Kalau kita bersama dengan orang yang penuh toksik dalam hidup atau “the wrong person” ,dia tidak akan membiarkan kita berjaya sebagaimana yang kita mahukan.
Setiap kali kita berkongsi cerita tentang impian dan cita-cita kita, dia tidak akan memberikan sokongan yang sepatutnya.
Dari gaya badan pun sudah menampakkan yang dia dengar idea kita itu semata-mata hendak puaskan hati kita sahaja. Malah dia akan selalu berikan konotasi yang berbaur negatif dan agak menjengkelkan.
Bila kita wujudkan komunikasi dua hala dengan si dia, si dia bersikap acuh tidak acuh. Pepatah melayu ada menyebut “bagai melepaskan batuk di tangga”.
Dia tidak akan faham bagaimana hendak menarik perhatian kita, macam mana hendak menghargai kita, macam mana mahu mententeramkan kita jika ada masalah, apakah kelemahan kita, apakah perkara-perkara pantang larang kita, dan apakah perkara yang membuatkan kita selesa bila bersama dengan dia.
Kalau kita bersama dengan dia, kita akan sentiasa rasa insecure atau berasa tidak selamat kerana si dia tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia boleh melindungi kita sepenuhnya.
Si dia juga selalu mewujudkan syak wasangka dari dalam sudut hati kita. Apabila masalah syak wasangka ini melibatkan kepercayaan, sudah tentulah hubungan itu akan menjadi lebih rapuh pada akhirnya.
Menjadi diri kita sebenar ialah salah satu perkara yang penting sekali dalam hidup kita. Ianya adalah asas kebahagiaan sebenar hidup kita secara manusiawi.
Bila kita bersama dengan orang yang salah, si dia tidak mencintai kita sebagaimana diri kita sebenar.
Kita terpaksa meraba-raba mencari watak lain untuk memuaskan isi hatinya walhal secara asasnya konsep itu sudah salah, kita tidak akan berjaya akhirnya. Kerana diri kita adalah diri kita.
Kita unik kerana tiada siapa yang seperti kita, maka apa perlunya menjadi orang lain? Orang yang salah ini juga tidak akan menghargai perkara-perkara kecil dan istimewa yang ada pada diri kita kerana hakikatnya dia tidak mencintai kita seadanya.
Menjalani kehidupan bersama dengan orang yang salah juga merumitkan perjalanan hidup kita sebenarnya. Setiap masa kita akan dipenuhi dengan drama-drama mengalirkan air mata, sedu-sedan yang menyakitkan.
Umpama makanan yang sudah ‘expired’, jika dimakan juga kita akan sakit dan semakin teruk. Pengakhirannya akan berakhir dengan penuh sadis dan menyedihkan maka lebih baik dihentikan segera dari terus bersama dengan orang yang salah.
Justeru untuk ingatan diri dan kepada pembaca sekalian, jadilah ‘single’ berkualiti dari terus berada dalam perhubungan yang toksik dan bersama orang yang salah.
Buka mata dan luaskanlah pandangan kita tentang ‘single’. Pandanglah dengan perspektif yang lebih matang. Jadilah orang ‘single’ yang berkualiti, bahagia dan hidup terpenuhi dengan matlamat. Betulkan jadual kehidupan yang lebih berkualiti seperti kesihatan, amal ibadah, ilmu dan kewangan.
Percayalah, apabila kita perbetulkan semula tanggapan serong bahawa ‘single’ itu lonely kepada perspektif yang lebih matang dan terbuka, kita akan lebih merasai nikmat dalam menjalani hidup.
Resetkan jadual hidup yang belum tersusun kepada yang lebih tersusun dan garapkan diri kita menjadi yang lebih baik. Fokuslah dengan kejayaan diri sendiri terlebih dahulu. Orang yang tepat akan hadir satu masa nanti.
Baca juga:
Baik ‘Single’ Dari Berada Dalam Perhubungan Yang Kosong (Bahagian 1)
4 Ciri-Ciri Individu Toksik Di Sekeliling Anda
9 Tanda Anda Berada Dalam Hubungan Yang Tidak Sihat
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.