Inspirasi

Hidup Kita Sesingkat Senja

Oleh Natirah Azira  •  27 Nov 2018  •  2 min baca

Saya gemar mengamati pemandangan matahari jatuh apabila berjalan pulang dari tempat kerja setiap hari, kira-kira 500 meter selama 7 minit dari pejabat ke LRT.

Sambil berjalan, saya akan nampak cahaya matahari memancar perlahan, menyusup di antara bangunan-bangunan kota raya yang tinggi, dan kadang-kadang jatuh di laluan pejalan kaki. Cahaya petang tidak lama, beberapa ketika ia akan hilang dan hari akan mula bertukar gelap.

Pulang dengan menggunakan LRT setiap hari pada waktu puncak, biasanya saya tidak akan dapat ‘spot’ yang baik untuk melihat pemandangan di luar. Namun semalam, saya berjaya duduk di bahagian gerabak paling belakang.

Mereka yang biasa menaiki kereta api atau mana-mana pengangkutan seumpamanya pasti tahu rasa teruja apabila dapat duduk di gerabak paling hujung dan dapat menyaksikan bagaimana kereta api laju bergerak meninggalkan landasan. Meninggalkan segala apa yang ada di belakang.

Mungkin hanya saya yang merasa ‘euforia’ ini. Perasaan teruja yang sama apabila anda menaiki roller coaster atau kereta yang dibawa laju. Atau mungkin juga kerana pergerakan dan perubahan sebenarnya sangat signifikan dengan kehidupan kita.

Jika kita menyedari bahawa masa sebenarnya bergerak sepantas (atau lebih pantas dari) kereta api bergerak meninggalkan landasan, pasti kita akan lebih menghargai setiap saat yang kita lalui dalam hidup, baik suatu yang menggembirakan atau yang menyedihkan. Hidup penuh dengan pengalaman, bukan? Dan pengalaman akan mematangkan.

Biasanya apabila dirundung kesedihan, kita mahu ia cepat-cepat berlalu. Apabila kita gembira, kita mahu ia kekal selama-lamanya. Namun hidup tidak begitu, kegembiraan dan kesukaran itu silih berganti. Ia sentiasa berubah.

Kata Jay Shetty, kehidupan seperti garisan pada mesin monitor degupan jantung. Bacaannya menaik dan menurun, bergelombang dan beralun. Jika garisan tersebut sudah mendatar, maka itu bermakna kematian.

Jika anda sedang dirundung kesedihan, diterpa kesukaran. Tariklah nafas perlahan-lahan. Allah ada, dan segalanya akan baik-baik saja. Segalanya akan berlalu. Ribut akan berganti mentari yang bersinar, terang dan menyamankan.

Dan kata Sasterawan Negara A.Samad Said, kita ini hanya seperti tetamu senja.

“Kita ini tetamu senja
Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah kita kepadanya
Kita datang ini,
kosong tangan kosong dada,
bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala”


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami