Gaya Hidup

Adakah Islam Menolak Kemodenan Dan Kemajuan?

Oleh Fazli Abdullah  •  27 Nov 2018  •  4 min baca

Sesetengah golongan manusia memandang Islam sebagai agama yang menghalang kemodenan dan kemajuan.

Islam dianggap hanya mahu menjatuhkan hukum halal dan haram sahaja. Sikit-sikit haram. Sikit-sikit berdosa.

Perkara ini menjadi antara punca kebanyakkan manusia menganggap Islam sebagai agama kebelakang dan tidak inginkan kemajuan.

Hakikatnya kenyataan ‘Islam menolak kemodenan dan kemajuan’ adalah satu kenyataan yang tidak wajar dan bercanggah dari kaca mata agama Islam yang sebenar.

Insha Allah, semoga artikel ini dapat membuka mata sesetengah mereka dan mungkin kepada diri kita sendiri sebagai umat Islam untuk tidak terhayut dan tertewas dengan hujah ‘bertunjangkan nafsu’ mereka semata.

Halal Banyak, Haram Yang Sedikit Dicari

Tahukah kita antara haram dan halal, ada banyak perkara halal daripada perkara haram? Contoh yang senang kita ambil, adalah arak.

Allah mengharamkan arak. Dan Allah tidak mengharamkan air selain arak (termasuk bersifat memabukkan).

Jika disenaraikan air yang halal diminum pasti penuh artikel ini terisi dengan daftar nama air sahaja. Yang halal banyak, kenapa masih mencari yang haram?

Islam tidak mudah mengharamkan sesuatu jika ia tidak memudaratkan kita. Yang haram itu pasti ada sebab yang kukuh.

Kini, kajian sains dan fakta-fakta kes turut membuktikan kebenaran Islam bahawa arak diharamkan mempunyai hikmah yang besar. Menurut laporan sebuah majalah di negara Britain melaporkan;

“Sebanyak dua ratus ribu nyawa terkorban setiap tahun di Britain adalah disebabkan benda-benda yang memabukkan. Kerugian dari sudut perubatan akibat arak mencapai sejuta pound setiap tahun! Kerugian secara keseluruhan daripada pengambilan arak adalah dianggarkan sebanyak 20, 000 juta pound setahun!”

Selain itu, di dalam sebuah buku yang bertajuk Safe Food memberitahu bahawa arak menyebabkan;
#1- ½ daripada jenayah-jenayah yang berlaku di Britain
#2- ⅓ berlakunya kemalangan di jalan raya
#3- ⅓ kemalangan di dalam rumah

Jika ingin disenaraikan lagi di sini memang banyak keburukannya daripada kebaikannya. Cukuplah hanya maklumat ringkas ini menjadikan kita lebih yakin dengan hukum hakam Islam.

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta menghalang orang-orang lain dari jalan Allah (ugama Islam), sebenarnya mereka telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”Surah an-Nisa’ : 167

Islam tidak menolak kemajuan selagi mana kemajuan itu tidak tercemar dengan perkara haram.

Perkara haram bukan satu kemodenan dan kemajuan tetapi hanyalah kehendak nafsu yang membutakan.

Orang Mengingati Mati adalah Orang Cerdik

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud;

“Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang-orang yang cerdik.”Hadis riwayat Imam Ibnu Majah

Ada yang salah anggap tentang hadis ini. Bagaimana pula orang yang mengingati mati dianggap cerdik?

Bukankah ingat mati menyebabkan manusia sibuk beribadah hingga tidak menghiraukan dunia?

Sebenarnya, mengingati mati bukan penyebab Islam kemunduran dan anti kemodenan. Dengan mengingati matilah kita lebih menghargai kehidupan kita. Bagaimana?

Orang mengingati mati tidak akan mensia-siakan hidupnya kerana dia tahu bahawa selepas mati dia akan menghadapi kehidupan di alam lain pula.

Masa yang ada diisi dengan sebaiknya. Selepas mati, kita akan menerima balasan atas perbuatan kita di atas dunia.

Jadi, Islam tidak mengajar umatnya berfikiran singkat. Dalam Islam, kita di ajar untuk memikirkan masa depan kita. Fikir keadaan kita pada 10-20 tahun, dan tahun-tahun yang akan datang.

Maka, baki hidup yang tersisa digunakan dengan melakukan kebaikan. Dengan majunya segala urusan di dunia, kita mampu menjana kebaikan masyarakat dunia.

Mengingati mati bukan syarat untuk berhenti dan meninggalkan dunia tetapi ia membawa motivasi pada kita untuk berjaya dalam kehidupan. Setiap kebaikan Allah akan balas di akhirat walau sekecil zarah.

Orang mengingati mati adalah orang yang bijak merancang. Apabila bijak merancang setiap langkah tidak mahu dirugikan.

Itulah Islam yang sebenar. Bukan memundurkan bahkan meningkatkan kualiti kehidupan. Ingat mati hidup diberkati.

Islam Tidak Tolak Kemajuan!

Islam memandang positif apabila sesuatu itu membawa kepada kebaikan. Begitulah dengan kemajuan. Ia bukan satu istilah yang ganjil dalam Islam.

“Agama tidak melarang sesuatu perbuatan itu kalau tidak merosak jiwa. Agama tidak menyuruh, kalau suruhan tidak membawa selamat dan bahagia jiwa.”HAMKA

Dengan perkembangan pesat teknologi masa kini, ia secara tidak langsung dapat membantu dan memudahkan kerja umat Islam.

Seperti telefon pintar yang dapat kita mengetahui maklumat-maklumat tentang agama, menyebarluaskan dakwah Islam dan pelbagai manfaat yang lain.

Tetapi silapnya manusia kini, kita hanya mengejar kemajuan dan kemodenan dari segi luaran dan pandangan zahir sahaja. Sehingga terlupa yang perlu diutamakan adalah kemajuan dalam diri kita sendiri. Iaitu kemajuan dari segi rohani.

Bagaimana dengan khabar iman kita? Kemajuan dalam ibadah seharian kita? Kukuhkah lagi pegangan akidah kita? Itulah yang sebenarnya perlu dititikberatkan terlebih dahulu. Itulah yang harus dimajukan dan diutamakan.

Kemajuan hati perlu ditekankan kerana darinyalah terhasil kualiti dan keberkatan sesuatu kehidupan.

Jika hati dicemari, tiada gunanya kemajuan zahir. Hanya luar nampak gah, tetapi dalam hanya kelam tak bercahaya.

Jika hati sudah kuat pasti kemajuan dapat ditegakkan. Dan kemajuan itu membawa kepada keredhaan Allah S.W.T.

Hasilnya kemajuan bukan sebarang kemajuan tetapi kemajuan yang membawa rahmat Allah yang tidak ternilai harganya. Waallahu a’lam

Rujukan;
Keindahan Islam-Hikmah-Hikmah di Sebalik Pensyariatan (Penulis: Dr Abdul Basit Abd Rahman)


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fazli Abdullah

Dilahirkan di Kedah. Hobi membaca dalam genre agama dan motivasi. Mengemari lagu nasyid. Menjadikan penulisan sebagai medan penyebaran ilmu dan kebenaran. tzkrh.com adalah ruangan penulisan pertamanya menulis dengan serius.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami