Dalam hidup bermasyarakat dan berkeluarga, terkadang kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan.
Begitu juga dengan insan lain, yang pada satu ketikanya mereka tidak sedar sedang menguriskan hati dan perasaan kita.
Fitrah manusia tidak lari dari perbuatan khilaf. Manusia bukan malaikat. Manusia ada nafsu dan iman. Jika iman menguasai diri, Insha Allah kehidupan kita dipandu ke arah kebaikan.
Namun, jika nafsu yang dituruti, maka hanya keseronokan sementara yang dirasai tetapi akhirnya akan kecewa dan merana.
Artikel kali ini membincangkan tentang dua sifat yang bertentangan iaitu pemaaf dan pendendam. Semoga ada sedikit sebanyak manfaat untuk kita bersama.
Pemaaf antara sifat mulia yang dimiliki oleh Rasulullah S.A.W. Peristiwa di Taif menjadi saksi bahawa sifat pemaaf Rasulullah S.A.W sungguh menyentuh hati kita.
Walaupun seruan baginda tidak diterima di Taif dan pelbagai perlakuan yang tidak baik dilakukan kepada baginda. Ejekan. Hinaan. Dihalau. Dibaling batu.
Semuanya itu, dibalas dengan bermunajat kepada Allah. Bukannya sifat marah dan bukan juga dengan sifat pendendam.
Baginda mengharapkan semoga Allah mengeluarkan sulbi-sulbi penduduk Taif, iaitu keturunan yang menyembah kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan lain.
Lihat, isi munajat baginda tidak menyebut tentang azab tetapi pengharapan walau penduduk Taif ketika itu tidak menerima Islam.
Baginda mengharapkan semoga suatu hari nanti, akan ada keturunan mereka yang menyembah Allah S.W.T. Subhanaallah.
Sifat pemaaf itulah sebenarnya membuatkan hati kita lebih tenang dan tenteram daripada sifat pendendam yang menambahkan lagi rasa pedih di sanubari. Ada sahaja yang tidak kena pada diri apabila ada dendam kesumat pada hati.
Sifat pendendam bukan mengurangkan masalah tetapi menyebabkan memburukkan lagi keadaan. Ia hanya dicampuri perasaan marah dan kecewa semata-mata.
Alangkah baiknya jika kita maafkan sahaja kesilapan mereka. Kita anggap sahaja ia sebagai ujian Allah pada diri.
Kita doakan semoga mereka berubah dan mendapat hidayah Allah. Insha Allah, dalam sifat pemaaf ada sabar. Dan Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar. Firman Allah S.W.T dalam al-Quran yang bermaksud;
“Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”Surah An-Nahl :126
Dendam tidak baik disimpan lama. Buanglah dan lepaskan ia. Kita tidak mahu terus mengenang kisah silam yang menyebabkan kehidupan seharian kita terjejas dan tidak harmoni.
Inilah antara cara untuk menangani dan merawat masalah dendam;
Mungkin mereka melakukan perkara tidak baik kepada kita adalah berpunca dan sebabnya daripada diri kita sendiri.
Salah satu puncanya, mungkin kerana dosa kita kepada Allah S.W.T. Disebabkan dosa kita, Allah hantar pengampunan dosa melalui ujian tersebut.
Dengan itu, apabila kita melihat dari sisi pandang positif tersebut, maka kita tidak akan mempunyai sifat dendam. Kerana ia disebabkan oleh diri kita sendiri.
Jadi, bukanlah melihat di mana mereka salah tetapi di mana salah kita. Dan perbetulkan ia dan banyakkan meminta ampun kepada Allah.
Sebelum mata terpejam, eloklah kita memaafkan kesalahan orang pada hari itu. Tidak kira kesalahan besar atau kecil, baiklah dilepaskan sahaja.
Tarik nafas dan hembuskan perlahan-lahan. Keluarkan segala dendam dan bersihkan segala masalah. Kerana kita tidak tahu, mungkin malam itu adalah malam terakhir kita.
Oleh itu, baiklah memaafkan orang lain. Tiada guna untuk membalas dendam kerana masa kita hanya sebentar. Baiklah fokus pada amalan hidup kita. Fokus arah perjalanan kita selepas mati nanti.
Ingat di hati, setiap manusia tidak sempurna. Ada lebih pasti ada kurangnya. Janganlah terlalu memikirkan kesalahan orang itu sehingga terlupa kebaikannya kepada kita.
Begitu juga diri kita, di mana silap kita harus diperbaiki bukan hanya melihat salah orang lain.
Lihatlah diri kita sendiri dahulu dan perbaikilah dengan menambahkan kebaikan kepada orang yang membuat tidak baik kepada kita. Semoga dia akan berlembut hati dan tidak akan mengulangi perbuatannya lagi.
Ingatlah setiap perbuatan buruk yang dilakukan mereka akan dibalas dan dihisab di hari akhirat kelak. Kita sepatutnya tidak perlu merasa kecewa kerana terus teraniya dan terasa tidak ada hukuman yang setimpal kepada mereka.
Sedarlah diri bahawa setiap kita pasti akan menerima balasannya. Tidak di dunia, Allah akan membalasnya di hari akhirat nanti yang kekal abadi. Oleh itu, janganlah bersedih hati. Allah bersama kita.
Jadilah pemaaf bukan pendendam. Pemaaf sifat terpuji dan Allah kasih kepada orang pemaaf.
Manakala, pendendam hanya menambah kecewa pada diri bukan mengurangkan beban di jiwa. Bahkan, akan menambahkan lagi luka di dada dan menjadi racun secara tidak sedar.
Jadilah seperti pokok yang mengeluarkan buah yang lazat. Walau dibaling batu, walau dipatahkan rantingnya, ia tetap berbuah lebat.
“Demikianlah (janji balasan Allah yang melimpah-limpah itu). Dan sesiapa yang membalas kejahatan orang, sama seperti yang dilakukan kepadanya, kemudian ia dianiaya lagi, demi sesungguhnya Allah akan menolongnya. (Dalam pada itu ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”Surah Al-Hajj : 60
Waallahua’lam.
Rujukan;
1. Kelembutan Hati Rasulullah(Penulis: Miftahul Asror Malik)
2. Majalah Solusi isu 26
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.