Terlalu banyak definisi dan pandangan yang diberikan tentang orang yang ‘berjaya’. Ada yang menggariskan tentang ciri-ciri yang ada pada mereka, sikap mereka dan juga amalan yang dilakukan. Artikel ini akan menambah satu lagi sudut pandang berkenaan cara fikir orang yang ‘berjaya’.
Orang yang berjaya jelas tentang tujuan hidupnya, dari mana dia datang, apa yang perlu dilakukan dan ke mana arah tujuannya. Mereka tidak lekas terkesan dan terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak penting. Masalah kecil yang dilalui setiap hari cukup dipandang hanya sekadar pengalaman yang akan mematangkan untuk meneruskan perjalanan di hadapan.
Orang yang berjaya bijak memilih teman yang mampu sama-sama beriringan menempuh kehidupan. Kata bijak pandai, antara kekayaan dunia adalah memiliki teman yang sejati.
Kata Buya Hamka dalam karya Falsafah Hidup:
“Kalau hanya semata-mata cinta, daerahnya terlalu sempit. Tetapi persahabatan mempunyai daerah lapangan yang amat luas, dalam mengharungi lautan hidup yang tiada tentu di mana tepinya ini. Beroleh kemenangan lantaran bertambah seorang sahabat, lebih mahal harganya dari kemenangan mendapat balasan cinta”
Orang yang berjaya menerima siapa diri mereka seadanya dalam masa yang sama sentiasa berkembang sebagai seorang manusia. Mereka tahu bahawa segala pengalaman yang membentuk siapa mereka, baik atau buruk segalanya telah ditakdirkan Tuhan.
Mereka sentiasa menjaga kualiti diri sendiri terutama perkara yang dapat mendatangkan kebahagian dan ketenangan hati seperti kesihatan badan dan juga minda. Mereka percaya kepada keupayaan diri sendiri dan sentiasa memandang ke hadapan.
Orang yang berjaya sedar bahawa apa yang telah berlaku adalah suatu yang tidak dapat diubah. Kata pepatah Inggeris “Let bygones be bygones”. Apa yang telah berlalu biarkan berlalu. Apa yang perlu adalah apa yang boleh dipelajari dari perkara tersebut.
Orang yang berjaya juga tidak hidup di masa hadapan. Mereka bukan tidak tahu apa yang ingin dicapai di masa hadapan, bahkan kerana mereka tahu ke mana ingin dituju lah, maka mereka menumpukan kepada usaha pada masa sekarang.
Orang yang berjaya lebih mengutamakan pengalaman dan nilai yang akan diperoleh dari kehidupan berbanding harta benda. Mereka menyahut seruan Tuhan untuk meneroka kehidupan dan mencari nikmat yang telah disediakan berupa kebijaksanaan dari pengalaman yang ditempuh.
Mereka menyedari bahawa kekayaan seperti rumah, kereta dan duit hanyalah secebis dari makna kebahagian yang wujud di dunia.
Orang yang berjaya, fikiran mereka terbuka dengan perkara baru. Mereka juga menumpukan kepada impian dan perkara yang ingin mereka lakukan, bukan semata-mata hasil yang akan diperoleh.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.