Dia bagaikan mengetahui saat kematiannya. Pecutan ibadah ‘hablumminallah dan hablumminannas’ begitu laju sejak enam bulan sebelum tarikh kematiannya.
Ibu kepada sembilan orang anak itu begitu komited dengan majlis ilmu, qiamullail, membaca Al Quran dan berinfaq di jalan Allah.
Dia akan menangis di saat membaca Al Quran dan bertadabbur akan maknanya. Tabung bantuan untuk Palestin sentiasa dibawanya ke mana-mana.
Singgah dari masjid ke masjid untuk menimba ilmu. Dan kiranya dia dapati ada ibu-ibu yang tidak lancar membaca Al Quran, dia akan meluangkan masa untuk mengajarkannya. Suaminya berkata;
“Wang yang saya berikan untuk keperluannya begitu cepat disedekahkan. Begitu laju dia menghabiskannya untuk fisabilillah”
Sebelum suaminya bermusafir ke luar negara, sudah dibayangkannya bahawa dia akan pergi untuk selamanya.
Ketika suaminya bertanya, apakah ada barang yang mahu dipesankan sebagai ole-ole dari luar negara?
Sebaliknya dia berpesan agar suaminya menjaga syariat dan mempamerkan akhlak yang baik agar Islam dipandang tinggi di bumi Barat.
Di satu sudut khas di dalam rumahnya dia menghabiskan masa untuk solat, zikir dan bermunajat. Sungguh, dia seorang mujahidah yang istiqamah dengan kebaikan sejak zaman mudanya.
Kematiannya dalam kemalangan jalanraya tiga hari yang lalu itu pun semasa dia menumpangkan seorang pelajar yang ditemuinya di tepi jalan.
Dalam perjalanan menuju rumah pelajar itulah dia mengalami kemalangan dan meninggal dunia di situ juga.
Semoga Allah mengampuni dan mengasihani almarhumah Hajah Zaleha binti Zakaria isteri kepada Prof Dr Jamel Othman yang telah pulang ke rahmatullah.
Perginya meninggalkan kita satu pengajaran untuk istiqamah melakukan kebaikan.
Ya, cara hidup seseorang akan menentukan cara matinya. Dan cara mati seseorang akan menentukan bagaimana dia dibangkitkan kembali satu hari nanti.

