Site icon Tazkirah

Sahaja Aku Bertawakal Kerana Allah

Dulu, saya tidak berapa faham konsep tawakal. Bagi saya tawakal bermaksud belajar untuk menduduki peperiksaan, doa dan tunggu keputusan. Itulah yang saya guna pakai sehingga saya benar-benar faham konsep tawakal.

Secara amnya, tawakal bukan bermaksud menyerah bulat-bulat kepada Allah akan takdir baik dan buruk sesuatu perkara. Maka di sinilah konsep usaha itu penting. Diikuti dengan doa.

Sesungguhnya doa yang dipohon kepada Allah Yang Maha Tinggi itu ada masa dan ketikanya, akan sampai kepada kita. Teruslah memanjatkan doa, jangan putus asa.

Selepas berusaha dengan sedaya upaya, berdoa dan berserahlah kepada Allah. Berserah kepada Allah dengan disertai usaha, demikianlah maksud tawakal dalam kamus Dewan, edisi kedua.

Namun ada segelintir anggota masyarakat, umat Islam yang menganggap tawakal bermaksud menyerahkan semua urusan dalam kehidupannya kepada Allah tanpa perlu berusaha. Gerak lakunya hanya berteleku di sejadah, beribadat dan mengangkat tangan dam memunajatkan doa.

Dalam hal ini, Sayidina Umar Al-Khattab pernah menasihatkan beberapa orang pemuda berkenaan hal ini. Beliau melihat mereka kusyuk beribadah. Apabila ditanya akan perbuatan mereka, salah seorang daripada mereka menjawab;

“Kami adalah kumpulan pemuda yang bertawakal kepada Allah. Sepanjang hari kami berzikir, berdoa dan mengerjakan solat sunat.”

Lantas Sayidina Umar menjawab dengan lantang;

“Wahai anak muda, keluarlah dari masjid dan bekerjalah! Ketahuilah olehmu, Allah tidak menurunkan hujan emas dari langit.”

Ucapan Sayidina Umar itu membuatkan mereka terkejut. Seseorang menjawab;

“Wahai Amirul Mukminin. Bukankah Allah memberikan kecukupan kepada orang yang berserah diri? Allah juga menjamin rezeki kepada sekalian makhluk-Nya.”

Namun Sayidina Umar membidas;

“Orang yang berserah diri kepada Allah adalah orang yang rajin bekerja tanpa meninggalkan berdoa kepada-Nya.”

Kemudian beliau menyambung dan antara ucapannya adalah;

“Wahai umat manusia, carilah rezeki di muka bumi, jangan kamu menjadi bebanan kepada orang lain. Bekerjalah dengan baik dan benar. Jika kamu berniaga, jadilah peniaga yang baik. Janganlah ada di antara kamu yang duduk-duduk bermalas-malasan lalu berdoa, “Ya Allah, berikanlah aku rezeki yang halal, banyak lagi berkat.” Ingatlah, Allah tidak menurunkan hujan emas dari langit. Allah memberikan rezeki kepada umat manusia yang berusaha. Rezeki tidak datang begitu saja. Seseorang akan memperolehi rezeki, sesuai dengan usahanya.”

Bukan itu sahaja, ketika Nabi Muhamad S.A.W berhenti rehat, baginda pun menambat untanya di pokok. Amr bin Umayyah R.A. berkata;

“Wahai Rasulullah, adakah patut aku ikat untaku lalu bertawakal kepada Allah, atau aku lepaskan sahaja dan aku bertawakal? Baginda menjawab, “Ikatlah untamu lalu bertawakallah.” Rasullullah S.A.W menerangkan kepadanya, “Sesungguhnya aku menambat untaku agar untaku tidak hilang. Kemudian barulah aku bertawakal kepada Allah S.W.T.”
Riwayat Ibnu Hiban

Jadi di sini fahamlah kita, tawakal itu bukan bermaksud menyerah bulat-bulat kepada Allah. Allah S.W.T telah memberikan akal kepada kita, anggota tubuh yang lengkap untuk digunakan untuk bekerja, jadi, berusahalah.

Namun jangan pula terlampau kuat berusaha hingga tidak mahu berdoa, sebaliknya lakukan seiringan. Bantuan Allah pasti datang.

Jika baik dan seperti yang kita kehendaki, alhamdulillah. Jika tidak seperti yang dihajatkan, tabah dan sabar kerana Allah lebih tahu. Mari fahami hadis ini;

“Betapa ajaibnya urusan orang yang beriman. Sesungguhnya segala urusannya adalah baik. Tidaklah yang sedemikian itu bagi seseorang kecuali hanya bagi seseorang yang beriman. Jika dia mendapat kesenangan, dia mensyukuri, maka yang demikian itu baik untuknya. Manakala jika dia mendapat mudarat, dia bersabar, maka itu baik untuknya.”Hadis riwayat Muslim

Pemahaman terhadap konsep tawakal ini akan menjadikan kita tenang dan tidak mudah melatah iaitu perasaan kacau bilau, cepat marah, gundah gulana dan lain-lain lagi.

Apatah lagi apabila kita turut memahami bahawa semua ini hanya sementara. Tiada yang kekal melainkan Allah S.W.T.

Rujukan:
1. Tawakal Dan Kesannya
2. Hayati Konsep Tawakal
3. Tawakal Kunci Kekuatan

Exit mobile version