Site icon Tazkirah

Membina Jiwa Yang Merdeka

Dalam kita ingin membentuk dan merangka masyarakat ke arah lebih baik. Seseorang itu perlu bertanya kepada dirinya sendiri

“Adakah aku orang yang merdeka?”

Ini kerana tidak pernah dalam sejarah dunia seseorang itu dapat melakukan perubahan yang besar kepada masyarakat, kaki dan tangannya kepunyaan orang lain.

Apatah lagi kita hidup di zaman yang mengagungkan istilah kebebasan tetapi hakikatnya ramai daripada kita dijajah akal dan jiwanya.

Orang yang merdeka itu dia mengengam akalnya sendiri dan tidak mudah terpengaruh lantaran khabar yang datang kepadanya.

Berani kerana benar, sabar atas apa yang ditempuh, kuat dan teguh. Itulah sifat asas bagi orang yang merdeka.

Peribadi yang merdeka tidaklah hanya dengan ucapan;

“Aku ini bebas”

Tetapi kemerdekaan peribadi itu ada jalannya, ada pintunya dan ada asasnya bahkan dalam perjalanan menjadi orang yang merdeka ada halangan perlu ditempuh dan ia akan sentiasa ada sehingga nafas terakhir.

Maka kita boleh nyatakan untuk mencapai jiwa yang merdeka itu ada kuncinya dan ia adalah melalui ilmu pengetahuan dan mencari jawapan bagi setiap persoalan. Dengan itu, dapat membentuk jalan untuk kebebasan akal dan jiwa.

#1- Harta

Orang yang bebas menyatakan akalnya bukanlah dengan poketnya penuh. Kerana ramai orang yang kaya tetapi menggugat mata pencariannya. Maka dia menjadi hamba. Dan itulah fitnah yang melanda umat ini. Benarlah Rasulullah S.A.W bersabda;

“Sesungguhnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan” Riwayat Tirmizi

Bukan orang kaya sahaja, ramai orang yang miskin boleh dibeli jiwa mereka kerana kesusahan itu adalah fitnah kehidupan bagi orang yang lemah peribadinya.

Perihal rezeki telah mengubah manusia dalam banyak perkara, perbuatannya, percakapan, malah ia boleh mengubah akidah mereka.

Hatta jika kita melihat pada akhir zaman ketika mana dajjal mendatangi manusia, ketika itu dajjal mengumpan manusia dengan harta kekayaan untuk menjadikan kita hamba. Dari Abi Umamah Al-Bahiliy apabila menceritakan Khubah Rasulullah S.A.W tentang dajjal, antaranya;

“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.”

Harta seakan-akan persis tuhan kepadanya kita patuh dan tunduk. Kerana itu orang yang merdeka itu jiwanya besar dalam hal ini. Tuhan baginya adalah sebaik-baik tempat bergantung harap bukannya makhluk.

Hidup ini ada beberapa perkara pilihan perlu dibuat termasuk dalam hal ini. Sehinggakan ada ungkapan yang disandarkan kepada Nabi Isa A.S:

“Manusia tidak sanggup menyembah dua Tuhan, salah satu mesti ditinggalkan, iaitu Allah S.W.T atau harta”

Maka Allah S.W.T tempat sandaran kita yang mutlak.

#2- Perempuan

Sebahagian lelaki pada penilaian mereka apabila memiliki perempuan maka itulah kejayaan dalam hidup. Tetapi mereka lupa mereka bukan sahaja memiliki bahkan telah terpengaruh dengan perempuan itu.

Itu alamat kemerdekaan mereka sedang dikikis sedikit demi sedikit. Maknanya kemedekaan mereka sudah tiada.

Dengan sebab itu para alim ulama ada sebahagian mereka mengingatkan kepada murid mereka akan hal ini. Takut-takut pengajian mereka mati di tengah jalan.

Bahkan bertapa ramai orang yang berjuang dilapangan akalnya ada tetapi akalnya itu mati kerana takut- “nyonya” dirumah tidak setuju. Apatah lagi “nyonya” masih cantik. Gustave Flaubert seorang penulis Roman yang masyhur berkata;

“Kecantikan perempuan adalah musuh yang sebesar-besarnya dari kemerdekaan seorang laki-laki. Orang yang tidak hati-hati tentu diancam oleh kecelakaan. Ketika itu musnahlah dan habislah mahkota laki-laki yang semahal-mahalnya.”

Bukanlah semua perempuan bergitu. Bertapa ramai lelaki menjadi sejati kerana perempuan. Seperti mana diukilkan dalam karya Merantau Ke Deli;

“Engkau jatuh dia menyambut, engkau karam dia yang menyelami”

Ada kata pujangga yang menggambarkan wanita;

“Perempuan adalah lautan, bila kita tidak kuat merenangi, kita akan ditelannya”

Maka berhati-hatilah.

#3- Sifat Orang Beriman

Pada zaman Amirul Mukminin Umar Al-Khattab, tercetusnya peperangan Qadisiyah antara negara Islam dan empayar Parsi, terakamnya satu kisah ketikamana Sa’ad Bin Abi Waqash menghantar wakil tenteranya Rib’I Bin Amir bertemu Raja Parsi, iaitu Rustam.

Dengan pakaian yang lusuh beliau bertemu dengan Rustam yang dikelilingi kemewahan lalu beliau berkata dengan ucapan yang sanggat agung yang selayaknya ditulis dengan tinta emas;

“Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki dari penghambaan terhadap sesama hamba kepada penghambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia mengutus kami dengan agamaNya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka barangsiapa yang menerima hal tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi barangsiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya hingga kami berhasil memperoleh apa yang dijanjikan Allah”

Terzahirnya dari tanah arab yang dulu hina di mata mereka tetapi tempat yang mereka anggap tiada nilai itu lahirnya satu kelompok manusia yang mempunyai jiwa yang besar.

Jiwa yang merdeka!. Bukan sahaja kemerdekaan akal tetapi jiwa mereka yang mempunyai keazaman yang besar bagi membebasan jiwa perhambaan sesame manusia. Benarlah kata Hukama;

“Keimanan kepada Allah menghilangkan ketakutan dan duka cita, menimbulkan daya hidup. Tegasnya juga menimbulkan dinamik hidup. Itulah jiwa bebas!”

Jiwa yang bebas itu tidak sesekali terikat dengan dunia yang mereka duduk dan tinggal. Bahkan tiada ketakutan dalam hati-hati mereka walaupun datangnya berita tentera musuh yang ingin mencabut nyawa mereka.

Tetapi mereka tetap tenang dengan bala yang akan datang kerana mereka tahu Allah S.W.T bersama mereka. Firman Allah S.W.T:

“(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” Surah Al-Fath : 4

#4- Tegas Dalam Kebenaran

Pada tahun 1977 Hamka telah dilantik menjadi ketua umum Majlis Ulama Indonesia yang pertama.

Buya Hamka telah mengeluarkan fatwa menolak dasar kerajaan yang akan menguatkuasakan Rang Undang-undang Perkahwinan tahun 1973 dan mengecam dasar yang membenarkan hari krismas diraikan bersama orang Kristian.

Pada ketika itu Hamka diasak hebat oleh pemerintah agar menarik balik fatwa yang dikeluarkan dan terus memegang ketua umum Majlis Ulama Indonesia. Walaupun diancam, Hamka tetap dengan pendiriannya.

Sesungguhnya kebenaran itu sanggat mahal dan ia perlu kita perjuangkan. Walaupun kita nampak kebenaran itu seakan-akan tengelam, tetapi kita percaya suatu hari nanti ia akan timbul juga. Dan yang menimbulkannya itu hasil tanggan orang yang merdeka.

Dalam kehidupan ini pasti ada saat yang akan menguji kita. Walaupun begitu hakikat yang kita tahu menjadikan ia sebagai sumber dalam melangkah dalam kehidupan yang benar.

Dunia dan apa yang ada di dalamnya ini kelihatan indah tetapi ia adalah fatamorgana yang sentiasa menjadikan kita lesu dalam perjuangan. Benarlah kata Buya Hamka dalam karyanya Tuan Direktur;

“Buat apa satu sangkar daripada emas, kalau sangka itu masih tetap sangkar? Satu kayu di rimba yang hujan kehujanan dan panas kepanasan, lebih disukai oleh seekor burung daripada sangkar emas itu. Adapun hujan atau panasnya, tidaklah seekor burung bimbang, sebab memang demikianlah mestinya hidup di rimba.”

Sesungguhnya mengetahui hakikat hidup dan memperjuangkannya itu adalah kemerdekaan yang sebenar.

Exit mobile version