“Impian saya lebih besar dari kesalahan yang saya lakukan”, kata Renato Da Silva.
Walaupun masih perlu melalui 10 tahun lagi hukuman di penjara, cita-cita untuk menjadi seorang peguam tidak pernah padam.
Beliau merupakan seorang penghuni dan juga pelajar di Persatuan Perlindungan dan Bantuan Kepada Banduan atau lebih dikenali sebagai Association for Protection and Assistance to Convicts (Apac) di Brazil. Ia merupakan sebuah penjara dengan sistem yang sangat berbeza dengan penjara biasa di Brazil.
Di situ para banduan diberi kebenaran untuk memakai baju milik sendiri dan dipanggil dengan nama sebenar dan bukan kod nombor seperti di penjara lain. Kunci untuk pintu utama penjara tersebut juga dipegang oleh banduan yang sudah pulih dan mampu meikul tanggungjawab. Brazil mempunyai populasi banduan yang keempat terbesar di dunia. Rusuhan kerap kali berlaku sehingga mengakibatkan kematian.
Namun di Apac, suasana sangat berbeza, maruah mereka dikembalikan dan dilayan sebagai seorang manusia yang juga punyai hak yang sama seperti orang lain. Seorang hakim bernama Paulo Antonio berpendapat bahawa apabila seseorang itu dihukum bersalah dan dimasukkan ke dalam penjara, seharusnya hanya kebebasan fizikal yang ditarik dan bukan hak-hak asas mereka sebagai seorang manusia.
Kata seorang penghuni di situ yang merupakan seorang ibu berusia 26 tahun, tinggal di Apac telah mengembalikan maruahnya sebagai seorang wanita. Di situ dia dibenarkan memiliki cermin dan dapat melihat raut wajahnya sebagai seorang wanita.
Di dinding bangunan Apac juga ada falsafah tertulis; “Hanya orang yang masuk, kesalahannya tertinggal di luar”
Banduan yang melakukan kesalahan yang sangat dahsyat pun, apabila berada di Apac berasa sangat selamat dan tenang. Mereka diajar membangunkan diri, menghormati diri dan orang di sekeliling dalam masa yang sama menyumbang kepada masyarakat di luar. Mereka menghasilkan bahan-bahan buatan tangan yang dapat dijual di luar seperti sabun, roti untuk kanak-kanak sekolah serta bahan-bahan plastik untuk perusahaan kereta.
Sebenarnya bukan di Apac sahaja yang menjalankan sistem baru bagi para banduan. Usaha yang lebih menarik juga ada dilakukan di beberapa penjara lain. Hukuman dapat dikurangkan apabila mereka membaca buku dan menulis laporan. Dengan cara tersebut, banduan yang keluar dari penjara kelak adalah banduan yang mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih luas tentang dunia.

