Dua minggu lalu, seorang wartawan anti-kerajaan Arab Saudi , Jamal Khashoggi dilaporkan ‘hilang’ selepas memasuki Pejabat Konsulat Arab Saudi di Istanbul. Kenyataan Riyadh mengatakan Khashoggi hanya masuk selama beberapa minit dan keluar selepas itu. Namun pihak berkuasa Turki percaya bahawa dia sebenarnya telah dibunuh apabila rakaman menunjukkan beliau memang tidak pernah keluar dari bangunan tersebut.
Pihak polis mendakwa memiliki bukti wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, dibunuh di bangunan Konsulat Arab Saudi, sebelum mayatnya dibuang atau dihapuskan. Kenyataan terbaharu ini dibuat ketika pihak berkuasa Turki menggeledah kediaman diplomat Mohammed al-Otaibi, selepas beliau meningalkan negara itu.
Menurut media Turki, Mohammed meninggalkan Turki untuk ke Riyadh melalui penerbangan jam 2 petang waktu tempatan pada hari Selasa. Dilaporkan, Mohammed kembali ke tanah air, sebaik menerima berita polis Turki mahu menggeledah kediamannya.
Menurut laporan CNN, mayat Khashoggi dipotong kepada beberapa bahagian selepas dibunuh di dalam bangunan konsulat itu. Dakwaan itu pertama kali didedahkan kepada akhbar New York Times oleh sumber keselamatan Turki.
Jamal Khashoggi merupakan wartawan Arab Saudi, bekas pengurus besar dan ketua editor di Al-Arab News Channel. Dia juga pernah berperanan sebagai editor bagi Al Watan, sebuah syarikat surat khabar yang beraliran progresif yang lantang mengkritik kerajaan Arab Saudi. Pada tahun 2017, beliau mula aktif menulis di Washington Post sehingga kritikan-kritikannya terhadap Arab Saudi mendapat perhatian ramai.
Khashoggi dilaporkan ke pejabat konsulat tersebut untuk mendapatkan dokumen bagi melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, warga Turki Hatice Cengiz. Riyadh mendakwa Khashoggi meninggalkan bangunan konsulat, namun tunangnya menegaskan tidak lagi melihat kelibat beliau selepas memasuki bangunan itu.
Sumber:
Astroawani.com

