Kekuatan boleh dibahagikan kepada dua, kekuatan fizikal dan juga kekuatan rohani. Islam menfokuskan kedua-duanya. Penjagaan jasmani dapat memberi kesan kepada kekuatan rohani begitu juga sebaliknya. Seperti idea yang digagaskan oleh Imam al-Ghazali tentang ‘soul and body’ iaitu ‘jiwa dan badan’, kedua-duanya perlu diberi perhatian kerana saling mempengaruhi antara satu sama lain.
Berikut merupakan keterangan dari hadis, bagaimana sebenarnya Islam memandang ‘kekuatan’ dari sudut rohani dan jasmani.
#1- Orang Yang Kuat Adalah Orang Yang Boleh Mengawal Diri
Dari Abu Hurairah radliallahu ‘anhu bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu yang pandai berlawan, tapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya ketika ia marah.”(HR Bukhari No: 5649) -Hadis Sahih
Orang yang kuat menurut hadis di atas adalah orang yang boleh mengawal diri sendiri apabila ditekan oleh emosi. Rasulullah SAW juga pernah menasihati seorang sahabat sebanyak tiga kali supaya ‘jangan marah’.
Dari hal ini, kita tahu bahawa orang yang kuat adalah orang yang bijak menguruskan konflik terutama konflik diri sendiri. Mengawal marah bererti mengawal dua perkara, tindakan fizikal dan juga rohani.
#2- Orang Yang Kuat Adalah Orang Yang Bersungguh Dalam Hal Yang Boleh Mendatangkan Manfaat
“Bersungguh-sungguhlah dalam hal-hal yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan kepada Allah (dalam segala urusan), serta janganlah sekali-kali kamu bersikap lemah. Jika kamu tertimpa sesuatu (kegagalan), maka janganlah kamu mengatakan, ‘seandainya aku berbuat demikian, pastilah tidak akan begini atau begitu’. Tetapi katakanlah, ‘ini telah ditakdirkan oleh Allah dan Allah berbuat sesuai dengan apa yang dikehendaki’. Karena sesungguhnya perkataan seandainya akan membuka (pintu) perbuatan syaitan”(HR. Muslim No. 2664)
Bersungguh-sungguh dalam setiap urusan pula adalah kekuatan dari sudut fizikal. Setiap orang yang mengaku beriman perlu menunaikan hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan dalam Islam dengan sebaik-baik perlaksanaan.
#3- Orang Yang Kuat Adalah Orang Yang Tidak Menyesali Apa Yang Telah Terjadi
Dalam hadis di atas juga (hadis yang sama pada nombor dua) Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya jangan mengatakan ‘kalau’ jika ditimpa suatu kegagalan . Mungkin kita ada membuat pilihan yang salah dalam hidup, namun ia bukan suatu kebetulan. Tidak ada satu pun kebetulan atas dunia melainkan segalanya telah diatur dan ditetapkan oleh Allah.
Jika kita terlampau melayan perasan dan menyesali apa yang telah terjadi, ianya dapat mendedahkan diri kita kepada masalah-masalah lain seperti tertekan, sakit dan paling penting hilang keyakinan kepada Tuhan.
#4- Orang Yang Kuat Adalah Orang Yang Berharap Kepada Tuhan
“Hendaklah salah seorang di antara kalian meminta seluruh hajatnya pada Rabbnya, walaupun itu adalah meminta dalam hal tali sandal yang terputus.”(Diriwayatkan oleh Anas bin Malik dari Kitab Jami’ At-Tirmizi – Hadis dinilai sahih)
Jika dilihat dari mata kasar, betapa kecil hal yang disebutkan dalam hadis di atas. Hanya tentang tali kasut. Namun maksud di sebaliknya jauh lebih besar iaitu pengharapan serta kebergantungan kepada Tuhan. Seharusnya kita menjadikan Allah tempat pengaduan dan permintaan yang utama mendahului segala makhlukNya, kerana Dia adalah Pemberi Yang Paling Kaya.

