Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud;
Seseorang telah melakukan dosa, lalu dia berkata: ‘Wahai Tuhanku ampunilah dosaku.’
Lalu Allah berfirman: ‘HambaKu telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. (dalam riwayat lain ditambah) Aku ampunkan dosanya.’
Kemudian, dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku.’
Lalu Allah berfirman: ‘HambaKu telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. (dalam riwayat lain ditambah) Aku ampunkan dosanya.’
Lalu hamba tersebut melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa. Ampunilah dosaku.’
Lalu Allah berfirman: ‘HambaKu telah melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya. Maka Aku ampunkan dosa hambaKu ini, buatlah apa yang engkau mahu, Aku ampunkan engkau.’Riwayat Bukhari dan Muslim
Kebanyakan daripada kita pasti pernah mengalami situasi yang sama. Di mana, kita melakukan dosa lalu, kemudiannya memohon ampun dan bertaubat kepada Allah S.W.T. Tetapi kemudiannya, mengulangi lagi dosa dan seterusnya kembali bertaubat semula.
Perlu untuk setiap manusia yang ingin bertaubat, memenuhi syarat taubat terlebih dahulu. Pertama, harus timbul rasa kesal dan benci akan perbuatan dosa yang dilakukan.
Kedua, meminta ampun kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dan yang ketiga, berazam atau bertekad untuk tidak mengulangi lagi dosa tersebut.
Dari hadis tersebut menerangkan dengan jelas, bahawa setiap manusia yang melakukan dosa dan kembali bertaubat pada Allah sekalipun dosa dan taubatnya diulang-ulang, tetap sahaja Allah mengampunkan dan menerima taubat hambaNYA yang ikhlas.
Namun, harus diingatkan, bahawa seseorang manusia itu tidak dapat mengetahui bila ajalnya. Andai kata dia tidak sempat untuk bertaubat lalu mati dalam keadaan berbuat dosa, maka sia-sia sahaja taubatnya yang pernah dilakukan sebelum ini.
Jadi, sebelum terlambat, carilah jalan untuk mengelakkan diri dari mengulangi semula dosa sesudah bertaubat agar taubat kita sempurna dan berkekalan hingga bertemu Allah suatu masa yang dijanjikan nanti.
#1- Menjaga Solat 5 Waktu
Tidak menjaga solat merupakan punca utama manusia kembali terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat.
Solat itu merupakan asas bagi setiap hamba memprolehi hidayah dan rahmat Allah S.W.T. Solat juga mampu mencengah manusia daripada melakukan perkara keji dan mungkar.
#2- Berdoa Dengan Bersungguh-sungguh
Doa merupakan salah satu pelindung manusia daripada godaan hawa nafsu dan syaitan. Amalan berdoa perlulah berterusan dan harus diiringi dengan keyakinan terhadap Allah. Sepertimana Allah berfirman dalam Al Quran yang bermaksud;
Dan apabila hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKU. Maka hendaklah mereka memenuhi segala perintahku dan hendaklah mereka beriman kepadaku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Surah Al- Baqarah : 186
#3- Perbanyakkan Beristighfar
Cuba praktikkan beristighfar sebanyak 100 kali sehari. Memohon ampunlah kepada Allah walau dimana pun kita berada.
Sesungguhnya istighfar itu tanda hamba ingat kepada Pencipta dan mengakui segala dosa-dosanya. Kata para Hukama;
Tidak ada dosa kecil jika tak dilakukan terus menerus dan tidak ada dosa besar bersama dengan adanya istighfar.”
#4- Dekatkan Diri Dengan Al-Quran
Allah berfirman yang bermaksud;
“Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu Al-Quran yang menjadi pengajaran dan peringatan daripada Tuhan kamu, menjadi penawar bagi penyakit yang ada dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk serta rahmat bagi orang beriman.” Surah Yunus : 57
Bacalah Al Quran dengan tartil dan istiqamah (berterusan) kerana Al Quran itu sendiri merupakan syifa’ (penawar) bagi hati.
#5- Mendampingi Sahabat Yang Soleh
Walau isu ini kelihatan remeh, namun peranan sahabat cukup besar dalam penghijrahan seorang manusia.
Sama ada sahabat itu mampu menarik kita kearah kebaikan ataupun menolak kita kedalam jurang maksiat, itu semua bergantung kepada kita dalam memilih sahabat yang kita dampingi. Seperti bait kata ini;
Sahabat yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat Allah. Mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”
#6- Mengisi Masa Lapang dengan Aktiviti Berfaedah
Elakkan daripada bersendirian dan berangan-angan. Keluarlah beriadah bersama teman atau keluarga.
Jadikan Al Quran, buku motivasi, video/audio ceramah agama sebagai peneman setia agar hati sentiasa hidup dan segar malah, perkara tersebut dengan mudah dapat menghalang diri daripada melakukan perkara yang ditegah Allah.
#7- Jangan Berputus Asa Dengan Rahmat Allah
Walaupun sering mengulangi taubat, sebolehnya Jangan pernah merasa taubat yang dilakukan itu sia-sia dan akur saja dengan hawa nafsu serta hasutan syaitan yang menyesatkan. Ingatlah firman Allah yang bermaksud;
“Katakanlah kepada hambaKU yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah Al Zumar : 53
Lawanlah! Percayalah dengan diri, bahawa satu saat nanti, kita pasti menang. Merdeka daripada perbuatan dosa yang selalu diulang-ulang. Jangan pernah menyerah kalah.
Berjuanglah habis-habisan. Kerana ujian melawan godaan syaitan dan nafsu syahwat ini adalah ujian yang paling berat dan merupakan ujian sepanjang kehidupan. Hayatilah firman Allah S.W.T ini yang bermaksud;
Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun atas dosa-dosa mereka, dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, mereka kekal didalamnya, dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi mereka yang beramal.” Surah Ali Imran : 135-136

