Keluarga

Sifat Ehsan Dan Matang; Jaminan Keharmonian Keluarga Bahagia

Oleh Azian Mohamed Isa  •  14 Oct 2018  •  4 min baca

Dari Jabir R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

“Takutlah kalian untuk berbuat zalim, sebab kezaliman itu mendatangkan kegelapan-kegelapan pada hari kiamat.”Hadis Riwayat Muslim


Perkataan zalim dalam hadis ini dirujuk sebagai ketidakadilan. Dalam konteks hubungan suami isteri, konflik tercetus apabila wujud ketidakadilan dalam pemikiran dan reaksi spontan isteri atau suami.

Bagaimana terjadi ketidakadilan dalam pemikiran? Setiap manusia ada sangkar otak atau encoded assumption yang terhasil daripada harapan atau expectation, nilai-nilai yang diperolehi hasil didikan ibu bapa/ penjaga dan juga pengalaman yang dilalui dalam kehidupan.

Jika ada sesuatu yang melanggar atau mencemari sangkar otak kita, kita akan cenderung untuk membuat andaian awal dengan sebab-sebab ciptaan kita sendiri. Akibatnya, berlakulah tindakbalas hasil daripada pemikiran itu tadi. Tindakbalas itu pula terbahagi kepada dua:

#1- Reaksi spontan

#2- Reaksi matang

Sebagai contoh, cuba lihat senario ini. Ani, seorang suri rumah sepenuh masa, mempunyai seorang anak kecil berumur 2 tahun. Selain daripada menjaga anak, rutin hariannya ialah menyediakan makanan tengah hari untuk suaminya.

Suaminya akan pulang dari pejabat untuk makan tengah hari dan balik semula ke pejabat hingga selesai tugasan.

Satu hari, si suami pulang ke rumah dan mendapati tidak ada makanan tengah hari yang dihidangkan seperti diharapkan. Encoded assumption yang tertanam dalam otak suami iaitu isteri sediakan makan tengah hari telah dilanggar.

Suami yang bereaksi spontan akan terus memarahi dan mencari salah isteri tanpa usul periksa. Isteri dituduh cuai dan malas dalam menyempurnakan tanggungjawab. Inilah yang dikatakan ketidakadilan dalam pemikiran.

Ani, yang pada awalnya ingin menerangkan kepada suami kenapa hidangan makan tengah hari tidak dapat disediakan pasti akan berasa terkilan dan sedih. Akibatnya berlaku konflik di antara Ani dan suami, komunikasi tidak berlaku dengan baik dan akhirnya membawa kepada pertengkaran.

Hal ini, pasti dapat dielakkan sekiranya si suami tadi berlaku adil dalam pemikiran dan bereaksi matang dalam tindakannya.

Benar, suami yang baru pulang dari pejabat itu tentu sahaja berasa penat dan lapar, tetapi asbab keadilan dalam pemikirannya yang membuang segala prasangka yang melulu, tindakan matang dan sifat ehsannya, dapat mengawal dirinya daripada berlaku zalim pada isterinya.

Suami yang bereaksi matang akan lebih peka dengan suasana dan emosi di sekelilingnya daripada memikirkan keperluannya semata-mata. Isteri mungkin kepenatan kerana menjaga anak kecil yang masih aktif dan memerlukan perhatian sepenuhnya.

Anak tadi mungkin kurang sihat, meragam dan merengek sepanjang masa sehingga mengganggu rutin biasa Ani untuk memasak. Dengan sifat ehsan, suami akan lebih sabar dan menerima kelemahan isteri tadi.

Daripada fokus mencari salah, suami bersikap tenang untuk memahami punca sebenar yang berlaku dan mencari solusi untuk mengelakkan perkara yang sama berulang kembali.

Dalam banyak kes, ramai pasangan suami isteri bercerai kerana bertindak balas dengan reaksi spontan ini. Padahal punca sebenar mungkin hal-hal remeh yang boleh sahaja diselesaikan sekiranya pasangan mengambil pendekatan tindak balas reaksi matang.

Untuk tindak balas reaksi matang, Ustaz Muhammad bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amin menganjurkan untuk kita besarkan ‘circle of tolerence’ atau tanamkan sifat ehsan dalam diri. Sifat ehsan dapat dipupuk dengan memahami dua perkara ini.

#1- Semua manusia itu tidak sempurna

#2- Setiap yang berlaku semuanya tertakluk pada takdir Allah.

Yang paling penting setiap pasangan harus berusaha semaksima mungkin untuk keharmonian rumah tangga. Tenang dalam menangani konflik, waras dan rasional dalam setiap tindakan.

Ingat, ujian rumah tangga akan sentiasa ada. Syaitan juga akan sentiasa berusaha untuk meruntuhkan penyatuan dua jiwa.

Teruskan berdoa agar tindakan tidak berdasarkan nafsu dan amukan syaitan. Sabar dan solat, semoga Allah limpahkan kekuatan.

“Great marriages are built brick by brick, day after day, over a lifetime.” Dieter F Uchtdorf


Semoga dengan perkongsian ini kita lebih adil dalam memahami pasangan masing-masing. Adil dalam pemikiran dengan besarkan ehsan kita dan bertindak balas dengan reaksi matang dalam setiap konflik yang timbul. InshaAllah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Azian Mohamed Isa

Pemegang Sarjana dalam bidang Sains Biologi, pernah menyandang jawatan pensyarah. Kini seorang penulis sepenuh masa. Seorang pemikir dan pengembara. Kisah kembaranya di Xi’an, China dan Pulau Mauritius boleh diikuti di dalam majalah E&T yang diterbitkan oleh MySet, myset.org.my. Juga seorang penulis yang telah menerbitkan lima buah buku di bawah Galeri Ilmu

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami