Gaya Hidup

Luntur Adab Dek Kecanggihan Teknologi Masa Kini

Oleh Wan Zuriati Wan Jusoh  •  12 Oct 2018  •  5 min baca

Dunia semakin hari semakin berubah. Era globalisasi mempengaruhi perkembangan teknologi dari masa ke semasa. Kemajuan teknologi ini menjadikan dunia ini berkembang pesat tanpa sempadan dan batas.

Kemajuan teknologi ini juga menyebabkan pelbagai perubahan yang berlaku dari segi adat dan nilai. Nilai-nilai ketimuran semakin terhakis. Agama dan nilai murni, keprihatinan dan kasih sayang digantikan dengan teknologi.

Buktinya orang lebih gemar memegang telefon bimbit daripada al-quran. Kenapa kita membiarkan teknologi yang hadirnya untuk membantu kita ke arah kemodenan menjadi alat untuk menghapuskan nilai di dalam diri kita?

Tidak dapat dinafikan hakikat bahawa kemajuan teknologi seperti adanya komputer, jaringan internet, kemudahan media sosial dan kewujudan alat siber yang lain juga memberi seribu satu manfaat kepada kita.

Dengan adanya media sosial, kita akan mampu untuk menyambung silaturahim dengan ahli keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai yang berada jauh.

Kemajuan ini juga membolehkan kita untuk menyampaikan sesuatu maklumat dan info secara cepat dan pantas. Namun penyalahgunaan kemajuan teknologi inilah yang membinasakan kita.

Di sini, ingin saya kongsikan tentang tips dan cara tentang bagaimana kita oleh mengelakkan daripada membiarkan kemajuan teknologi dari menghapuskan adab dan nilai moral di dalam diri kita.

#1- Hadkan Masa Penggunaan Gajet

Remaja sering menghabiskan hampir sebahagian waktunya dengan menggunakan gajet. Kerja seharian di rumah, kerja sekolah dan aktiviti lain bersama rakan diabaikan.

Anak-anak seharusnya diajar untuk membantu dan menolong ibu bapa dengan melaksanakan kerja rumah. Sama halnya dengan kerja sekolah yang diberikan oleh guru, jika tidak dikawal, maka anak-anak sudah pastinya akan mengabaikan kerja sekolah mereka akibat terlalu leka dengan gajet.

Oleh itu, masa yang dihabiskan bersama gajet haruslah dihadkan. Gunakanlah gajet ketika hanya ingin mendapatkan dan melaksanakan kerja-kerja penting dan keperluan sahaja. Jangan biarkan gajet merampas waktu-waktu solat dan waktu-waktu kita bersama Allah.

Jangan biarkan ibadah dipercepatkan hanya kerana ingin menggunakan gajet. Gunakanlah masa dengan sebaik mungkin agar kita tidak tergolong di dalam golongan yang rugi. Allah S.W.T berfirman tentang masa yang mana bermaksud;

“Demi masa ! Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”Surah al-Asr

#2- Sebarkan Maklumat Yang Terbukti Kesahihannya

Fitnah menfitnah dan gosip, saling memburukkan antara satu sama lain adalah sudah menjadi kebiasaan di internet dan laman sosial.

Kita tidak lagi merasa takut dan gentar dalam menyampaikan dan menyebarkan komen dan pandangan negatif ke atas seseorang sehingga ianya menyebabkan terjadinya salah faham, dendam dan boleh menyebabkan pergaduhan.

Seharusnya sebelum kita menyebarkan sesuatu maklumat atau sesuatu info, pastikan apa yang ingin kita sebarkan itu adalah perkara yang sudah terbukti kesahihannya dan sekiranya sahih pastikan perkara itu adalah perkara yang positif dan tidak memudaratkan penerima. Ingatlah Allah S.W.T berfirman di dalam tentang bahaya fitnah yang bermaksud:

“Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan”Surah al-Baqarah : 191

Maka berhati-hatilah dengan apa yang kita sampaikan.

#3- Melayari Laman Web Yang Bermanfaat

Terdapat begitu banyak laman web, video dan gambar lucah yang disebarkan di internet sehingga ianya sudah menjadi tidak terkawal lagi. Adanya iklan-iklan yang mengghairahkan yang disebarluaskan dengan sengaja untuk mengangkat nafsu syahwat sudah pun tersebar luas di internet.

Ianya tanpa disedari telah dilayari oleh berbagai peringkat umur sekalipun. Anak-anak yang masih kecil, yang tidak dikawal dan diselidiki penggunaannya mungkin sahaja menjadi peminat tegar video-video ini.

Buktinya ada sahaja kita dengar di dada-dada akhbar bahawa pelajar sekolah pun sudah tahu dan mengamalkan seks dengan rakan-rakan di sekolahnya. Laman web dan video pornografi ini merosakkan minda dan tingkah laku dan adab seseorang. Remaja dan dewasa sekalipun turut terlibat.

Oleh itu, gunakanlah internet untuk mendapatkan perkara yang bermanfaat sahaja. Terdapat banyak laman web, video yang bermanfaat yang boleh kita dapati di internet.

Bahkan terdapat pelbagai platform dakwah, ceramah-ceramah agama, video motivasi dan alunan ayat suci al quran yang boleh diakses dan ditemui dengan mudah di internet.

Bagi anak-anak pula, ibu bapa haruslah mengawal gerak geri mereka dan latih mereka untuk melihat animasi yang dapat membentuk adab dan moral di dalam diri mereka.

#4- Gunakan Gajet Ketika Perlu Sahaja

Masyarakat menggunakan gajet hampir di mana sahaja mereka berada. Ketika bersama keluarga, bersama kawan-kawan dan sanak-saudara, gajet tidak pernah terlepas di tangan dan selalu dipegang.

Hormatilah dan raikanlah ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan kita. Hentikanlah penggunaan gajet ketika bersama mereka. Ambil masa untuk mengeratkan hubungan, bertemu mesra dan bergurau senda bersama mereka.

Jangan biarkan masa kita bersama mereka berlalu begitu sahaja hanya kerana terlalu ketagih dengan gajet.

Lebih parah apabila ibu bapa sendiri mengabaikan hak anak-anak kerana terlalu asyik dengan gajet dan laman sosial sehingga waktu bersama anak-anak diabaikan begitu sahaja. Ada juga isteri-isteri yang tidak sempat mengemas rumah dan memasak untuk suami hanya kerana ghairah menggunakan gajet.

Islam adalah agama yang mementingkan kesejahteraan ummatnya. Islam tidak pernah menghalang kemajuan teknologi di dalam kehidupan manusia.

Namun kemudahan itu perlukan digunakan dengan sebaiknya supaya kita tidak melanggar batas-batas dan adab-adab yang digariskan di dalam agama. Teknologi pasti akan memberi banyak kebaikan sekiranya digunakan dengan sebaiknya.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Wan Zuriati Wan Jusoh

Merupakan anak kelahiran Kelantan Darul Naim. Telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi Dan Dakwah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Berminat di dalam pembacaan buku pelbagai genre dan turut aktif di dalam bidang penulisan dan kini sedang bergelar sebagai seorang pendidik di Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kuala Krai Kelantan.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami